Wednesday, March 28, 2018

NOSTALGIA - MENGUTIP PENGALAMAN DARI MATA PENA

BERUBAH HALUAN

Episod 2

Akhirnya khabar angin yang kami dengar itu menjadi kenyataan. Pada tahun 1994, warga kerja Mingguan Tempo berpindah ke Taman Kosas di Ampang secara rasmi.

Tempat baru, pejabat baru, perabot baru malah komputer PC pun baru. Semuanya serba baru!

Dan secara rasmi jugalah aku mengambil alih tugas Editor dari Dahlan Maamor - sesuatu yang tidak pernah kujangkakan. Aku bukan sahaja bertanggungjawab khusus untuk Editorial malah hampir keseluruhan benda yang ada dalam pejabat itu.

Sungguh berat tanggungjawab yang kupikul namun aku bersyukur dan beruntung kerana dibantu rakan-rakan yang bersama sewaktu di Taman Permata. Sebenarnya tanggungjawab ini juga adalah suatu ilmu dan pelajaran yang bagus untuk menguji kewibawaanku dalam dunia kewartawanan.

Menguruskan Editorial, sebagai Editor, sebagai wartawan, sebagai jurukamera dan menguruskan sebuah akhbar serta bertanggungjawab kepada operasi syarikat sesuatu yang menuntut komitmen yang tinggi.

Pergi pagi dan pulang lewat malam sudah menjadi kebiasaan bagiku. Seminggu sekali aku perlu ke kilang percetakan di Petaling Jaya untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan, seminggu sekali juga aku ke Segambut untuk memastikan filem (negatif) disiapkan untuk dihantar ke kilang percetakan.

Pada tahun 1994 juga, beberapa staff baru menyertai Mingguan Tempo sebagai wartawan dan juga tenaga pengurusan serta pentadbiran.

Antaranya ialah Ridzuan Abd Rahman (kini di Harian Metro), Zamzuri Razmi, Yahya Hamid, Mr Lawrence, Zulkifli Omar, Ku Zairul Hizan, Nazaria Othman, Hasniza Hasim, Roslah Othman, Rosmaria, Dewi dan beberapa rakan lagi.

Di sini jugalah bermulanya Airmata Lelaki versi Malim Rindu, sebuah novel bersiri yang disiarkan setiap minggu. Novel bersiri ini disiarkan selama 4 tahun dan dalam tempoh itu sebanyak 200 siri disiarkan.

Sehingga kini aku masih mengekalkan nama Malim Rindu sebagai trademark.

Suka dan duka, pengalaman yang diraih ketika di Mingguan Tempo terus mematangkan aku. Bagiku, Mingguan Tempo banyak mengajarku erti kedewasaan dan merakamkan memori terindah buat dalam hidup ini.

Pada tahun 1997, aku mengambil keputusan meletak jawatan dan memulakan perjuangan di Mingguan Perdana. Cabaran lebih hebat sedang menantiku..

Bersambung...

No comments:

Post a Comment