Thursday, December 27, 2018

FENOMENA AIR LAUT SURUT

🔴 PABILA OMBAK MENGHEMPAS PANTAI
> simfoni alam anugerah Ilahi

Satu Malaysia heboh apabila tular di laman sosial foto air laut surut di Kuala Dungun dan Pantai Teluk Lipat, Dungun, Terengganu.

Ada yang memberi amaran ia adalah petanda Tsunami akan melanda hingga mencemaskan warga Dungun.

Sebenarnya fenomena tersebut bukanlah sesuatu yang luarbiasa, ganjil atau misteri. Bagi warga Dungun, ia fenomena biasa akhir tahun atau awal tahun. Ia juga berkaitan dengan aktiviti bulan purnama.

Saya teringat waktu saya di Tingkatan Enam dahulu (akhir 80an), saya bersama rakan karib sering lepak di belakang sekolah rendah Cina di Kuala Dungun pada waktu petang. Port kami tu memang strategik.

Ketika itu kawasan tersebut belum ada jalan raya seperti sekarang. Ramai juga yang datang memancing di situ.



Apabila air laut surut, kami dan pengunjung lain berjalan-jalan di beting pasir yang muncul itu hingga ke tengah laut. Yang berkeluarga bersama anak kecil bermain-main di pasiran pantai yang putih keemasan.

Bukan selalu, bukan setiap hari kita berpeluang berjalan di tengah laut yang sebelumnya penuh dengan air terdampar luas saujana mata memandang.

Ia memang suatu pengalaman yang indah sebab bukan semua orang berpeluang berjalan di tengah laut kemudian memandang dan menikmati panorama indah di daratan (tanah besar).

Begitupun waktu itu, belum ada internet dan media sosial seperti sekarang. Yang ada cuma radio dan tv serta kamera. Namun fenomena seumpama itu tidak pula menjadi hebahan kerana ia perkara biasa di sini.

Zaman sekarang serba pantas dan canggih, sesaat sahaja kita sudah ketahui pelbagai cerita dan berita dari seluruh pelusuk dunia. Semuanya di hujung jari.

Fenomena air surut dan kewujudan beting pasir adalah simfoni alam anugerah Allah SWT.  Ia adalah sebahagian dari kehidupan dunia. Dan kita wajib mengsyukurinya.

* foto ehsan warga Dungun

Sunday, November 25, 2018

NASI DAGANG TERENGGANU KITA

NASI DAGANG



Sudah menjadi kelaziman bagi warga Terengganu bersarapan Nasi Dagang - juadah tradisi Terengganu sejak zaman dahulu kala.

Di Terengganu, Nasi Dagang bukan hanya dinikmati di waktu malah boleh dimakan bila-bila masa samada pagi, tengahari, petang maupun malam.

Nasi Dagang versi Terengganu ni berbeza dengan Nasi Dagang Kelantan. Berbeza dari segi nasi dan juga lauknya. Nasi Dagang Terengganu berwarna putih, beras biasa dicampur dengan beras pulut manakala di Kelantan nasinya berwarna perang kemerahan.

Lauk Nasi Dagang Terengganu berwarna kemerahan tetapi di Kelantan ia berwarna kuning gelap sedikit, namun lauknya tetap sama menggunakan Ikan Tongkol (orang Terengganu sebut ikan Aya-sebutan Aye). Sesetengah tempat ikan tongkol juga disebut Ikan Kayu sebab saiznya yang besar dan isinya kental.


Ikan Tongkol/Aya

Ada beberapa restoran dan warung yang menyediakan Nasi Dagang yang sedap dan lazat jika anda berkunjung ke Terengganu khususnya di daerah Kuala Terengganu.

Antaranya ialah Nasi Dagang Kak Pah di Batu Buruk, Nasi Dagang Kampung Atas Tol, Nasi Dagang Kak Jah Bukit Besar, Nasi Dagang Ngah Chendering, Nasi Dagang Warisan tepi stesen minyak Shell Batu Buruk.



Monday, November 5, 2018

MISTERI WANITA KEBAYA MERAH DI PUWARKATA, JAWA BARAT

MISTERI WANITA KEBAYA MERAH JUGA TULAR DI INDONESIA

Kebetulan malam itu saya menonton rancangan Zona Angker di kaca TV. Mengisahkan tentang team Zona Angker menyelongkar misteri beberapa bangunan lama yang didakwa berpenunggu dan didiami makhluk halus di Kota Puwarkarta di Jawa Barat, Indonesia.

Paling menarik, si penjaga salah sebuah bangunan yang menjadi fokus team Zona Angker mendakwa pernah ternampak kelibat lembaga Wanita Kebaya Merah mundar mandir di dalam bangunan tersebut di waktu malam. Menyeramkan bukan?

Wanita Kebaya Merah itu didakwa sering muncul dan hanya berdiam diri. Tidak menegur dan tidak pula mengejar si penjaga. Cuma bergentayangan! Itu pun sudah cukup menyeramkan sesiapa jua yang kebetulan berada di situ ketika malam hari.



Wah..nampaknya Wanita Kebaya Merah bukan hanya popular dan tular di Malaysia malah di negara jiran kita pun wujud lembaga seperti itu, cuma empunya badan sahaja yang berbeza.

Namun Wanita Kebaya Merah masih kekal misteri di Malaysia biarpun ada anak muda yang nakal cuba meraih populariti dengan pembikinan drama pendek berkenaan wanita tersebut sehingga tular di media sosial.

Insha Allah, saya juga ada cerita menarik tentang lembaga Wanita Kebaya Merah yang akan saya tampilkan tidak lama lagi. Ia kisah benar yang berlaku pada seorang rakan di Kedah! TUNGGU!

Sila lawati blog saya - Http://malimrindu.blogspot.com

Thursday, November 1, 2018

AMPANG PARK TINGGAL MEMORI

MEMORI AMPANG PARK

Fakta:
Lokasi - Jalan Ampang
Mula dibina - 1972
Mula dibuka - 15 Mac 1973
Jumlah lot kedai - 250
Tempoh - 45 tahun
Ditutup - 31 Disember 2017
(Untuk memberi laluan kepada projek pembangunan baharu iaitu MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya)

*****


Pertama kali aku berkunjung ke pusat membeli belah tertua di Kuala Lumpur ini pada tahun 1974, sewaktu berumur 7 tahun. Begitu pantas masa berlalu.

Bagi diriku, terlalu banyak kenangan di sini selain singgah untuk menjamu selera dan mencuci mata.

Disebabkan tempat kerja (dan kemudiannya aku berpindah ke Ampang) di Ampang maka setiap hari aku melalui Ampang Park dan menyaksikan ikon pusat membeli belah ini berkembang pesat.

Meskipun saiznya agak kecil berbanding pusat beli belah yang lain namun ia tetap menjadi tumpuan wargakota kerana lokasinya yang berada dalam Segi Tiga Emas KL.

Memori yang berlalu tetap indah untuk dikenang...

BATTLE OF THE BAND 2006

PENGALAMAN JADI JURI



Memori...Sewaktu menjadi juri Battle Of The Band 2006 anjuran Anita Entertainment & Production di Berjaya Times Square Kuala Lumpur. Juri lain, Burn Meditasi, Keifli Melissa dan Zek Crossfire. Thanks to Anita Yusop Nita.

Artikel yang kutulis tentang BOTB 2006 disiarkan di akhbar Mingguan Perdana.

MAJALAH APO? BUMPER RAYA 2000

Memori KACANG HANTU



Ini adalah antara koleksi istimewa sewaktu aku menjadi Penulis Tamu ruangan Meremang Bulu Roma di Majalah Apo? Terbitan MOY Publishing Sdn Bhd yang turut menerbitkan majalah lawak Ujang.

Pada awalnya aku menggunakan nama Kacang Hantu namun selepas beberapa siri, pihak Editorial menukarnya kepada Zamree.

Sepanjang berkarya di Majalah Apo? Aku pun tak berapa ingat jumlah cerita yang disiarkan namun dalam simpananku ada lebih dari 100 cerita seram dan misteri.

Terimakasih pada Editor Majalah Apo? Rodin Darman yang memberi peluang dan ruang untukku mengasah bakat dan melebarkan sayap dalam dunia penulisan.

Wednesday, October 31, 2018

BANGUNAN PARLIMEN SIMBOL DEMOKRASI

44 TAHUN DAHULU
>Simbol Demokrasi Berparlimen



Foto ini dirakamkan pada tahun 1974. Ia adalah sebahagian daripada koleksi emas saya.

Bangunan Parlimen ini mula dibina pada September 1962 dan siap setahun kemudian. Ia dirasmikan pada November 1963. Kos pembinaannya adalah sebanyak RM18 juta.

Terdiri daripada 2 bahagian iaitu bangunan utama 3 tingkat dan menara 17 tingkat. Ia menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Untuk mendapatkan lebih banyak lagi cerita dan artikel sila lawati blog rasmi saya.

Http://malimrindu.blogspot.my

MEMORI ZAMAN REMAJA

BOLA LAWAN KAMPUNG

Pelik bunyinya kan? Baca sampai habis cerita ini untuk mengetahui apa itu Bola Lawan Kampung.

Salah satu memori indah zaman remajaku ketika penghujung tahun 70an dan 80an pastinya adalah berkisar tentang permainan. Seperti remaja yang lain, aku memang minat bolasepak dan disebabkan minat ku itu, aku dipilih mewakili sekolahku, SK Batu 48, Dungun, Terengganu ke pertandingan peringkat daerah.

Selain bermain untuk sekolah, aku juga mewakili pasukan bolasepak untuk rumah sukan Delima (Merah) ketika di bangku sekolah. Ada tiga lagi pasukan iaitu Nilam (Hijau), Zamrud (Biru) dan Intan (Kuning).

Boleh dikatakan setiap petang jika tiada aktiviti di sekolah, aku akan bermain bolasepak di padang kampungku bersama rakan-rakan sekampung yang sebaya. Ada juga beberapa rakan dari kampung lain yang tumpang bermain.

Ketika itu keluargaku menyewa sebuah rumah di Jalan Bunga Raya dan jarak padang tersebut dari rumahku hanyalah 5 minit jika berbasikal.

Selain bermain dengan rakan-rakan sekampung, kami juga mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa kampung lain seperti Kampung Sungai Buaya, Sungai Udang, Padang Jambu, Sura, Alor Tembesu dan beberapa kampung lain.



Dari sinilah munculnya istilah LAWAN KAMPUNG di mana beberapa orang wakil dari pihak kami akan berunding dengan pihak kampung lawan membincangkan tarikh, padang dan masa untuk berentap.

Tiada hadiah diberikan. Hanya sekadar suka-suka. Tetapi kampung yang menang akan diberikan hak untuk bercakap besar dan berbangga dengan kemenangan. Tiada jurulatih dan pengurus tetapi ketua pasukan akan menentukan siapa yang akan turun bermain. Biasanya perlawanan diadakan pada petang Jumaat atau Sabtu kerana di Terengganu itu adalah hari cuti.

Tempoh permainan biasanya sejam atau lebih bergantung kepada cuaca atau keadaan semasa. Kebiasaannya kami akan berentap di padang rasmi sekolah di mana-mana kampung.

Had umur juga tidak terhad. Tapi semestinya tidak lebih dari Tingkatan 5 atau bawah 17 tahun. Atas pada tu dah dikira dewasa.

Antaran beberapa nama rakan sepasukanku yang masih kuingat ialah Nordin, Hamdan, Zakaria, Rosli, Anuar, Azman, Manan, Kassim, Karim, Adnan  dan Raziman.



Disebabkan zaman tu, kami kurang mampu, ada yang hanya memakai guard (kain elastik) yang dibeli di kedai barangan sukan sebagai pengganti boot (kasut bola). Ada juga yang memakai kasut sekolah malah ada yang berkaki ayam!

Maklum sajalah waktu itu, harga boot antara RM40 ke atas. Nilai duit tinggi. Kami yang masih bersekolah tidak mampu nak beli. Sekarang ni harga boot sudah mencecah ratusan ringgit bergantung kepada jenama.

Akhirnya dapat juga aku beli sepasang boot Adidas (stud 13) hasil menabung dan sedikit tambahan dari ayahku. Harganya aku dah lupa tapi rasanya kira-kira RM50.

Walaupun kini aku sudah bersara dari bermain bolasepak atau gantung boot, aku masih lagi memberikan sokongan kepada pasukan negeriku Terengganu, team Malaysia dan semestinya kelab kesayanganku Liverpool!

Sememangnya sungguh indah zaman remaja dahulu sebab waktu itu tiada gajet seperti sekarang. Tiada hp, tiada komputer. Yang ada cuma radio dan TV sebagai hiburan. Jika ada duit ldbih barulah ke pawagam menontong wayang.

Betullah kata orang zaman remaja adalah zaman paling indah...




Friday, October 26, 2018

TETAMU SENJA - Misteri Pusara Bercahaya Di Sungai Manik

MISTERI PUSARA BERCAHAYA DI SUNGAI MANIK

(Ini adalah catatan pengalaman saya sewaktu melakukan tugasan sewaktu saya bertugas di akhbar Mingguan Perdana satu ketika dulu)

Aku dan Azman dalam perjalanan ke Sungai Manik di Perak untuk membuat tugasan satu kejadian aneh lagi misteri - sebuah pusara yang didakwa bercahaya atau mengeluarkan cahaya oleh para penduduk sebuah kampung di kawasan tersebut.

Tidak banyak maklumat yang aku dapat berhubung kejadian misteri itu namun aku sudah merencana beberapa langkah dan strategi untuk menyiapkan tugasan tersebut. Sudah menjadi kelazimanku, jika diberi tugasan luar (out station) aku akan membuat research sebelum berangkat.

Sebagai wartawan, aku sudah biasa menjelajah ceruk kampung, hutan, pulau dan sebagainya mencari cerita dan berita. Itu semua mesti kutempuhi. Aku tidak terikat dengan satu jurusan sahaja. Bukan mahu mendabik dada namun itulah aku, all rounder. Dan bos aku memang faham benar stail kerja aku.

Setibanya di Teluk Intan, kami berhenti untuk lunch dan berbincang apa yang patut. Cuaca nampak baik sekali bagaikan merahmati perjalanan kami.

Setelah mendapat panduan dari seorang jemaah surau sewaktu kami singgah untuk menunaikan solat Zuhur, kami segera ke lokasi yang dimaksudkan kerana tugasan harus diselesaikan sebelum senja. Kami tidak mahu bermalam di kampung tersebut. Kami perlu pulang ke Kuala Lumpur sebaik tugasan selesai.

Kami menuju ke rumah keluarga yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan arwah yang dikaitkan dengan pusara bercahaya itu namun malangnya setibanya kami di sana, rumah berkenaan sepi tak berpenghuni.

Akhirnya kami mengambil keputusan ke Tanah Perkuburan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas dan maklumat terperinci tentang kejadian aneh lagi misteri itu.

Setibanya di sana, kelihatan beberapa orang penduduk sedang berbual sesama sendiri sambil tangan mereka menunjukkan sesuatu ke arah tanah perkuburan tersebut. Aku merapati mereka untuk mendapatkan sedikit maklumat.

Aku mengarahkan Azman merakamkan beberapa keping foto yang bersesuaian dengan cerita yang akan kukarang nanti.

Dari perbualanku dengan mereka, aku dimaklumkan kejadian aneh itu sudah hampir seminggu berlaku dan cahaya misteri itu didakwa muncul pada waktu senja dan malam.

Pusara tersebut adalah milik Hajah Siah Hj Tamin, seorang penduduk yang tinggal di Sungai Manik,

Menurut mereka, sejak itu, berduyun-duyun penduduk kampung dan orang luar datang untuk menyaksikan sendiri dan memastikan kesahihan kejadian tersebut. Ada yang sanggup menunggu dari siang hingga ke malam!

Dari pengamatan dan tinjauan aku, tiada apa-apa yang luarbiasa atau tanda-tanda perbuatan manusia yang boleh dikaitkan dengan kejadian misteri tersebut.

Namun, misteri tetap jua misteri yang sememangnya sukar difahami, diduga dan diterima akal manusia. Sukar untuk ditafsirkan tapi hakikatnya ia adalah petunjuk dan sesuatu yang berhubungkait dengan kehidupan manusia.

Penduduk terawal yang menyedari dan menyaksikan kejadian misteri itu adalah seorang wanita yang rumahnya terletak kira-kira 50 meter dari tanah perkuburan tersebut. Ketika itu beliau sedang membersihkan halaman rumah dan mendakwa ternampak cahaya biru kehijauan yang menerangi suatu sudut di tanah perkuburan itu.

Pada awalnya Makcik Rokiah (bukan nama sebenar) tidak merasakan sesuatu yang ganjil kerana beranggapan mungkin ada seseorang membuat kerja di situ.

Bagaimanapun, kejadian sama berulang keesokkan harinya, namun cahaya itu muncul di waktu malam. Ia mengundang rasa pelik lantas menceritakan kepada suaminya tentang apa yang dilihatnya.

Seorang lagi saksi, juga seorang penduduk yang tinggal berhampiran tanah perkuburan tersebut mendakwa, bukan semua orang dapat menyaksikan cahaya misteri itu. Hanya insan terpilih yang dibuka hijabnya sahaja yang diberi keistimewaan oleh Allah SWT.

Menurut Pak Ismail (bukan nama sebenar), pusara yang didakwa bercahaya itu adalah milik seorang wanita yang semasa hayatnya mengajar kanak-kanak mengaji. Arwah juga dikatakan seorang yang sangat pemurah dan suka bersedekah. Selain itu, arwah sangat disenangi jiran tetangga dan penduduk sekitar kerana peribadinya yang luhur, mesra dan suka membantu orang susah.

Pendekata, jika dinilai latarbelakang, kehidupan dan peribadi arwah pastinya ia bukanlah perkara ganjil jika Allah SWT mahu meningkatkan martabat dan darjat seseorang hambaNya samada hambaNya itu masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Begitulah hujah Pak Ismail sambil memuji kebesaran Allah SWT. Itu semua pedoman untuk kita yang masih hidup.

Wednesday, October 3, 2018

MEMORI PANGGUNG WAYANG HAPPY

SIRI KENANGAN LALU

MEMORI PANGGUNG HAPPY DUNGUN

Dalam siri yang lepas, aku telah ceritakan tentang Panggung Fajar, kali ni aku nak cerita pula tentang sebuah lagi panggung wayang gambar (pawagam) iaitu Panggung Happy yang terletak di Kuala Dungun. Jarak antara kedua-dua panggung ini lebih kurang 5km.

Sebenarnya tak banyak memori aku tentang Panggung Happy ni sebab ia jauh dari rumah aku. Ketika itu aku tinggal di Jalan Bunga Raya. Disebabkan Panggung Fajar lebih dekat dengan rumah jadi aku lebih kerap menonton di panggung itu.

Panggung Happy ni terletak berhadapan dengan Padang Astaka dan bersebelahan dengan Stesen Bas Dungun (kini dipanggil Hentian Pengangkutan Awam Dungun).

Panggung Happy ni kerap menayangkan filem-filem Hindi, Indonesia dan Inggeris. Harga tiketnya lebih mahal sedikit dari Panggung Fajar. Kalau tak silap aku paling murah RM1 dan paling mahal RM2.

Disebabkan penjaga pintu panggung tu kaum kerabat ayah aku, seingat aku namanya Pak Man, jadi aku selalu dapat masuk free. Alah, setakat aku sorang masuk free takkan tokey panggung tu boleh bangkrap pulak kan..hihi.. 😆

Panggung Happy ni cuma setingkat. Saiznya lebih besar, lebih luas dan selesa berbanding Panggung Fajar. Di bahagian tengah hingga ke belakang kedudukan kerusi lebih tinggi untuk memberi keselesaan kepada penonton.

Aku tak pasti bila Panggung Happy menamatkan operasinya sebab aku dah berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1993 untuk mencari rezeki di Kota Metropolitan itu.

Namun panggung ni macam Panggung Fajar juga, menjadi tumpuan warga Dungun sewaktu era 60an,70an dan 80an. Maklumlah, itu sahaja hiburan yang ada waktu itu selain menonton wayang kulit, wayang pacak, funfair, ekspo dan sarkas (yang hanya muncul sekali sekala).

Majoriti penonton adalah golongan muda dan para nelayan kerana panggung ini terletak berhampiran dengan Pasar Dungun dan jeti pendaratan ikan serta hasil laut.

Panggung Happy ini kemudian dirobohkan setelah terbiar agak lama. Dengar cerita, bangunannya retak dan boleh mengundang kejadian yang tak diingini, jadi sebab itulah tokeynya ambil keputusan 'tutup kedai'.

Mungkin juga sebab penonton dah berkurangan apabila munculnya Home Video tape bersaiz besar (masa tu belum ada vcd) yang boleh disewa dari kedai HV membuatkan orang lebih gemar menonton filem di rumah.

Dan aku adalah antara generasi yang bertuah kerana pernah melalui dan merasai pengalaman menonton di pawagam tradisional ini sebelum munculnya pawagam yang selesa dan canggih seperti TGV, GSC, MBO dan sebagainya.

Ikuti blog saya - Http://malimrindu.blogspot.com
Panggung Wayang Happy

Tapak asal 

Hentian Pengangkutan Awam Dungun terletak bersebelahan dengan Panggung Wayang Happy

MEMORI BAS MINI WILAYAH (BMW)

SIRI MEMORI

BAS MINI WILAYAH (BMW)
(Episod 1)
-mula diperkenalkan 23 September 1975
-ditamatkan perkhidmatan 1 Julai 1998
-60 laluan

Merupakan antara pengangkutan bas awam tertua dan paling popular di Malaysia, merangkumi kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Bas-bas berkenaan dicat dengan warna asas merah jambu berserta jalur putih pada bahagian tepi, serta mempunyai muatan sekitar 20-30 penumpang, berikutan saiznya yang kecil. Bas kerkenaan beroperasi berasaskan sistem komisen, dengan pengusaha perkhidmatan dibayar mengikut jumlah kutipan tambang.

Perkhidmatan bas mini dihentikan mulai 1 Julai 1998 serta digantikan dengan perkhidmatan bas Intrakota dan kemudiannya, Bas rapidKL pada tahun 2005.

*******

Perkhidmatan bas mini bermula pada 23 September 1975 di bawah Kementerian Pengangkutan. Pada masa itu, bas mini beroperasi pada pelbagai laluan mengikut warna bas masing-masing (biru-putih, kuning-putih, merah-putih, ungu-putih dan hijau tua-putih).

Bas mini berkenaan bertanggungjawab mengendalikan sehingga hampir enam puluh laluan berbeza. Tiga syarikat utama (Syarikat Kerjasama Pengaman (M) Bhd, Bas Mini Wilayah dan Konsortium Pengusaha Bas Mini Sdn Bhd) memonopoli kebanyakan laluan bas sementara pengusaha yang lebih kecil dibenarkan beroperasi di tempat tertentu sahaja.

Pada tahun 1975, semasa bas mini diperkenalkan sebagai satu bentuk perkhidmatan, tambang bas asalnya cuma 40 sen. Kemudian pada tahun 1991, tambang dinaikkan ke 50 sen dan dua tahun kemudian, tambang dinaikkan lagi kepada 60 sen.

Bas mini tidak mempunyai jadual waktu tetap. Sebaliknya, perkhidmatan dijalankan berasaskan komisen di mana pengusaha dibayar mengikut bilangan trip serta kutipan tambang dalam sehari. Kadang-kadang, untuk bersaing dengan pengusaha lawan, pemandu mungkin akan melencong daripada laluan asal sehingga menyusahkan penumpang.

Pada tahun 1990, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Paduka Rahmah Osman, menetapkan warna piawai bas mini kepada "merah jambu" dan putih.

Wednesday, July 25, 2018

BAS MERAH THONG AIK

MEMORI BAS MERAH THONG AIK

APABILA melihat bas merah ini, terimbau kembali zaman kanak-kanak ku akhir 70an dan 80an. Setiap kali pulang ke kampung di Air Putih, Kemaman, Terengganu apabila cuti sekolah bermula pastinya bas merah Thong Aik Omnibus menjadi pengangkutan rasmi kami.

Perjalanan dari Dungun ke Chukai mengambil masa lebih kurang 2 jam. Kemudian mengambil pula bas ke Air Putih kira-kira setengah jam perjalanan. Kekerapan bas pula sebanyak 6 trip pergi dan balik dr Chukai ke pekan Air Putih.

Memang membosankan kerana basnya dipandu dalam kelajuan yang sederhana. Hanya duduk dan menikmati perjalanan serta mengagumi panorama alam di sepanjang laluan. Dahulu mana ada gajet seperti sekarang untuk menghilangkan rasa bosan! Hanya buku cerita, majalah atau akhbar sebagai teman perjalanan.

Kini bas merah hanya tinggal kenangan... 😢


Wednesday, April 18, 2018

PULAU UPEH, BERHANTU ATAU DISUMPAH?

MISTERI PULAU UPEH, MELAKA

Kebetulan malam ini (17 April 2018) saya menonton rancangan Paranormal disiarkan ASTRO yang mengisahkan tentang aktiviti paranormal di Pulau Upeh, Melaka. Pulau tersebut didakwa berhantu dan menjadi tempat kediaman pontianak (lokasinya tangki air) dan ada yang mendakwa pernah ternampak pontianak muncul di tangki air itu.

Teringat sewaktu bertugas sebagai wartawan akhbar Mingguan Tempo pada tahun 1997,  kakitangan syarikat diwajibkan menghadiri kursus motivasi di Pulau Upeh secara bergilir-gilir. Saya dan Kamarul (jurukamera) merupakan kumpulan terakhir dari syarikat kami yang berkursus.

Pulau Upeh ini saiznya tidaklah sebesar mana. Tetapi panoramanya sangat cantik dan terdapat sebuah resort di pulau tersebut. Resort berkenaan juga merupakan salah sebuah anak syarikat dalam kumpulan syarikat induk kami. Sebagai wartawan saya cuba mendapatkan info menarik tentang resort dan pulau tersebut. Namun lain yang dicari lain pula yang saya dapat!

Seorang pekerja resort memaklumkan pada saya, salah sebuah calet di situ ditutup kerana pernah berlaku 'gangguan' terhadap penghuni yang menyewa calet tersebut. Khabarnya penyewa mendengar pelbagai bunyi pelik, dinding calet dicakar-cakar dan apabila bangun dari tidur keesokkan paginya penyewa itu mendapati dirinya berada di luar calet sedangkan pada malamnya dia tidur di dalam calet! Bukan itu sahaja, mukanya juga berdarah dan ada kesan dicakar!

Pekerja tersebut turut menasihati saya agar tidak keluar bersiar-siar pada waktu malam kecuali lah saya mahu mengisi perut di kafe. Sebenarnya banyak lagi kisah misteri yang diceritakannya tetapi cukuplah jika saya katakan Pulau Upeh bukanlah sebuah pulau yang biasa-biasa!

Saya dan Kamarul diberi satu calet. Lebih 'mengujakan' terdapat sebuah kubur panjang (kira-kira 5 meter) terletak betul-betul depan tangga calet, jaraknya hanya 3 meter! Dalam hati saya Allah sahaja yang tau. Dugaan sungguh! Lebih mencemaskan saya, malam itu dan sepanjang tempoh berkursus saya terpaksa menginap seorang diri kerana Kamarul dihantar pulang ke Kuala Lumpur disebabkan deman. Hairan juga tiba-tiba sahaja beliau demam sedangkan sebelum itu beliau kelihatan sihat! Memang cobaannn.......

Malam itu saya tidur seorang diri. Tidur-tidur ayam! Sudahlah bersendirian di calet, di luar sana pula terdapat kubur panjang yang didakwa bersemadi seorang pahlawan atau peneroka awal pulau tersebut. Bermacam-macam perkara melintas di fikiran saya. Badan pun mula terasa seram sejuk, kadang berpeluh memikirkan apa yang bakal terjadi. Nak menumpang dicalet lain semuanya dah ada penghuni, lagipun nanti malu juga jika dikatakan penakut...Ego nak kena jaga juga!

Bila teringat cerita pekerja resort tadi memang cemas juga saya dibuatnya. Menyesal juga saya bertanya tentang misteri pulau tersebut! Sepanjang malam itu, saya antara tidur dan jaga, sebabnya saya macam terdengar paip air seperti dibuka seseorang dan ada bunyi derap tapak kaki seperti seseorang mundar mandir...

Namun, alhamdulillah, sepanjang saya berkursus tidak ada kejadian ganjil dan pelik berlaku kepada saya cuma saya masih tertanya-tanya tentang kewujudan kubur panjang yang terletak depan tangga calet.

Pulau Upeh kini terbiar tidak berpenghuni. Resort pun dah lama tutup. Persekitarannya nampak tidak terurus. Suasana pun kian sepi. Nampak begitu menyeramkan. Tiada sesiapa yang mahu berkunjung ke pulau tersebut kecuali para nelayan yang menumpang teduh dan berehat seketika melepaskan penat lelah setelah seharian mencari rezeki serta kumpulan penjejak paranormal yang mahu membuktikan kewujudan entiti makhluk halus di pulau berkenaan.

Memetik kata-kata host program itu, apa jua projek dan pembangunan di pulau tersebut tidak mungkin berhasil kerana mungkin ada pantang larang telah dilanggar. Yang pasti, saya juga punya cerita dan pengalaman tersendiri sewaktu berkursus di situ. Wallahualam.

Sila lawati blog saya - Http://malimrindu.blogspot.com



Cap: Siapa sangka pulau kecil ini menyimpan misteri dan rahsia tersendiri. Dari sebuah pulau yang sering dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara, Pulau Upeh kini hilang daya tarikan dan menjadi rumah persembunyian makhluk halus....


Friday, April 13, 2018

ANAK KU DIAMBIL BUNIAN

(Disiarkan di akhbar Mingguan Tempo tahun 1993)

TOLONG PULANGKAN EMI...

Prolog
Ini adalah pengalaman aku menemubual sebuah keluarga yang kehilangan anak lelaki berumur 2 tahun di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, Selangor. Kejadian misteri ini berlaku pada tahun 1993. Sudah 25 tahun berlalu. Aku pun sudah lupa nama ketua keluarga tersebut tapi nama anaknya yang hilang itu masih kuingati.

Ini juga merupakan antara tugasan terawalku sebagai wartawan.
                              ***********

Misteri kehilangan Emi benar-benar mengejutkan penduduk Kampung Melayu Wira Damai. Belum pernah lagi dalam sejarah kampung tersebut berlaku kejadian seperti itu. Lebih mengejutkan kehilangannya langsung tidak meninggalkan sebarang jejak atau petunjuk. 

Timbul pelbagai pendapat dan pandangan di kalangan penduduk. Ada yang kata Emi diculik tapi kalau betul kanak-kanak malang itu diculik untuk apa dia diculik. Keluarganya bukan orang kaya, tambahan pula tiada sesiapapun yang menghubungi keluarganya menuntut wang tebusan!

Beberapa hari sebelum kehilangan Emi, ibunya bermimpi didatangi seorang lelaki berjubah putih, berserban dan berjanggut putih. Anehnya wanita itu bermimpi hal yang sama berulang kali.

Ketika kejadian, Emi dikatakan sedang bermain sendirian di depan rumahnya manakala rumah jiran terdekat yang terletak berhadapan hanya berjarak 5 meter. Si ibu ketika itu sedang sibuk menyediakan juadah untuk berbuka puasa maghrib nanti.

Tergerak hatinya untuk melihat Emi yang ditinggalkan sebentar tadi, si ibu lantas ke muka pintu namun kelibat Emi langsung tidak kelihatan. Setelah puas mencari di dalam rumah dan di kawasan sekitar Emi tidak juga ditemui.

Hati ibu mana yang tidak risau bila anak kesayangan yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa tiba-tiba hilang begitu sahaja. Lesap sekelip mata. Hancur luluh hati si ibu. Berderai air mata gugur tidak berhenti.

Emi, anak kecil yang keletah dan bijak berkata-kata sememangnya menjadi tumpuan jiran-jiran. Emi jua lah penghibur keluarga tersebut. Namun kini Emi hilang secara misteri. 

Sejam kemudian penduduk kampung mula berkumpul dan gerakan mencari mula dilakukan. Rumah-rumah di kawasan sekitar diperiksa namun Emi masih tidak juga ditemui. 

Malam itu beberapa orang bomoh dan pengamal perubatan tradisional dipanggil untuk membantu mengesan Emi namun semuanya tidak membuahkan hasil. Mereka cuma berkata Emi dilarikan oleh sesuatu yang tak dapat dilihat oleh mata kasar!

Selang beberapa hari ibu si Emi bermimpi didatangi lelaki berjubah putih yang pernah muncul dalam mimpinya sebelum itu. Lelaki berjubah putih itu memberitahu wanita berkenaan bahawa anaknya itu berada dalam keadaan selamat di bawah jagaannya. 

Menurut lelaki berjubah putih itu lagi, Emi seorang kanak-kanak  istimewa dan beliau mengambilnya sebagai anak angkatnya. Lelaki itu juga berpesan agar wanita itu tidak risau dengan kehilangan Emi kerana sampai masa nanti Emi akan dihantar pulang dengan selamat namun lelaki berjubah putih itu tidak pula menyatakan berapa lama dan sampai bila Emi akan berada di dunianya.

Berhubung dengan misteri kehilangan Emi itu aku bertanyakan kepada seorang kenalan (guru silat terkenal) tentang kejadian tersebut.

Beliau mendakwa kawasan kampung berkenaan berkemungkinan besar merupakan penempatan orang bunian dan waktu kejadian/kehilangan Emi (tengahari) merupakan waktu orang bunian keluar bersiar-siar dari perkampungan mereka.

Sewaktu aku mendengar penjelasan tersebut, tidak semena mena bulu romaku meremang! Malah guru silat berkenaan turut berasa seperti yang aku rasai.

Beberapa tahun berlalu dan aku kembali berjumpa keluarga Emi namun khabar sedih yang kuterima Emi masih tidak ditemui atau dalam erti kata lain Emi masih belum dipulangkan...

Benarkah Kampung Melayu Wira Damai merupakan kawasan perkampungan bunian? Dan aku tidak menolak dakwaan itu!

Ikuti blog saya; Http://malimrindu.blogspot.com




Sunday, April 1, 2018

MISTERI WANITA KEBAYA MERAH

MISTERI WANITA BERKEBAYA MERAH
-kisah seram dari pengalaman seorang rakan

Dari semalam hingga ke hari ni, netizen masih membicarakan penampakan misteri wanita berkebaya merah berjalan sendirian dalam kegelapan malam yang akhirnya terungkai hanyalah sekadar lakonan dan mainan nakal beberapa orang pemuda bertujuan untuk meraih publisiti.

Ramai yang marah-marah namun tak kurang juga yang tersenyum dan tersengih dengan humor drama yang dipersembahkan mereka. Malah saya sendiri pada kali pertama menonton 'lakonan' tersebut turut terpedaya!

Namun hakikat sebenarnya wanita berkebaya merah benar-benar wujud dan kejadian yang menyeramkan itu pernah dialami seorang rakan facebook saya..

Ini kenyataan penuh rakan saya tanpa suntingan apa-apa:

"Pengalaman ni sama yg mcm sy dan keluarga sy penah lalui.. Dalam jam 12mlm.. kami dr SP nak balik ke Nami @ felda Lubuk Merbau.. kami ikut jalan hutan kayu balak utk shotcut.. Kami heran ada org tua bawak moto xada lampu dan org tua tu mmg dh tua sgt... dlm hutan bawak moto tiba2 nampak ada ppuan pakai baju kebaya merah duduk bersimpuh dgn payung kubur kat belakang... kami diam je... masing2 baca apa yg blh ingat.. sampai kat kawasan pekan felda makngah kami suruh berhenti dulu jgn balk umah terus... mmg real nampak .. pengalaman yg tak dpt dilupakan.

Ye tak dpt nk bayangkan... tp nasib moto tu arah bertentangan dan dia xmenjelma berulang kali.. so lepas kejadian tu kami semua dh sepakat klu blk kpg make sure sampai dlm kpg sebelum senja.. dan klu nk klr dr kpg pun sebelum senja.. byk dah org berckp pasal hal ni.. cuma kami sekali sekala blk kedah dr KL xpernah terfikir benda yg mcm ni.."

**** Apa pandangan anda semua?

NOSTALGIA PETALING STREET

SIRI NOSTALGIA

Petaling Street Di Zaman Silam.

Saya masih ingat pertama kali berkunjung ke Petaling Street atau Jalan Petaling di Kuala Lumpur sewaktu berusia 7 tahun (ketika itu tahun 1974) bersama Datuk saudara (Pak Su Jan) .

Tentu sekali pada ketika itu saya tidak tahu tempat yang saya kunjungi itu adalah China Town yang hari ini merupakan pusat perniagaan paling popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara.

Seingat saya, para penjaja di situ kesemuanya adalah berketurunan Cina yang menjual pelbagai barangan seperti ubat-ubatan, lukisan, jam tangan, makanan, pakaian dan sebagainya.

Mereka berjualan di hadapan kaki lima kedai dengan beralaskan kertas dan plastik. Ada juga yang menggunakan meja. Suasana ketika itu sungguh meriah dengan hiruk pikuk dan hingar bingar peniaga yang menawarkan barangan jualan mereka serta pembeli yang sibuk memilih barangan yang dihajati. Dan suasana itu masih lagi sama seperti sekarang, cuma jenis barangan yang dijual lebih beraneka.
 
Kini, Petaling Street antara lokasi wajib bagi pelancong yang berkunjung ke Kuala Lumpur.

Petaling Street dulu dan sekarang

Wednesday, March 28, 2018

NOSTALGIA - MENGUTIP PENGALAMAN DARI MATA PENA

BERUBAH HALUAN

Episod 2

Akhirnya khabar angin yang kami dengar itu menjadi kenyataan. Pada tahun 1994, warga kerja Mingguan Tempo berpindah ke Taman Kosas di Ampang secara rasmi.

Tempat baru, pejabat baru, perabot baru malah komputer PC pun baru. Semuanya serba baru!

Dan secara rasmi jugalah aku mengambil alih tugas Editor dari Dahlan Maamor - sesuatu yang tidak pernah kujangkakan. Aku bukan sahaja bertanggungjawab khusus untuk Editorial malah hampir keseluruhan benda yang ada dalam pejabat itu.

Sungguh berat tanggungjawab yang kupikul namun aku bersyukur dan beruntung kerana dibantu rakan-rakan yang bersama sewaktu di Taman Permata. Sebenarnya tanggungjawab ini juga adalah suatu ilmu dan pelajaran yang bagus untuk menguji kewibawaanku dalam dunia kewartawanan.

Menguruskan Editorial, sebagai Editor, sebagai wartawan, sebagai jurukamera dan menguruskan sebuah akhbar serta bertanggungjawab kepada operasi syarikat sesuatu yang menuntut komitmen yang tinggi.

Pergi pagi dan pulang lewat malam sudah menjadi kebiasaan bagiku. Seminggu sekali aku perlu ke kilang percetakan di Petaling Jaya untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan, seminggu sekali juga aku ke Segambut untuk memastikan filem (negatif) disiapkan untuk dihantar ke kilang percetakan.

Pada tahun 1994 juga, beberapa staff baru menyertai Mingguan Tempo sebagai wartawan dan juga tenaga pengurusan serta pentadbiran.

Antaranya ialah Ridzuan Abd Rahman (kini di Harian Metro), Zamzuri Razmi, Yahya Hamid, Mr Lawrence, Zulkifli Omar, Ku Zairul Hizan, Nazaria Othman, Hasniza Hasim, Roslah Othman, Rosmaria, Dewi dan beberapa rakan lagi.

Di sini jugalah bermulanya Airmata Lelaki versi Malim Rindu, sebuah novel bersiri yang disiarkan setiap minggu. Novel bersiri ini disiarkan selama 4 tahun dan dalam tempoh itu sebanyak 200 siri disiarkan.

Sehingga kini aku masih mengekalkan nama Malim Rindu sebagai trademark.

Suka dan duka, pengalaman yang diraih ketika di Mingguan Tempo terus mematangkan aku. Bagiku, Mingguan Tempo banyak mengajarku erti kedewasaan dan merakamkan memori terindah buat dalam hidup ini.

Pada tahun 1997, aku mengambil keputusan meletak jawatan dan memulakan perjuangan di Mingguan Perdana. Cabaran lebih hebat sedang menantiku..

Bersambung...

Tuesday, March 27, 2018

NOSTALGIA KERETAPI BUKIT BESI

SIRI KENANGAN SILAM

NOSTALGIA KERETAPI BUKIT BESI

Ramai yang tidak tahu bahawa di Terengganu, Dungun adalah satu-satunya daerah yang mempunyai perkhidmatan keretapi di zaman silam. Ia bermula pada tahun 1930 apabila lombong bijih besi mula dibuka di Bukit Besi dan berakhir pada tahun 1970.

Bukit Besi atau nama lamanya Bukit Batu Besi sangat terkenal di waktu itu dan menjadi tumpuan pelbagai bangsa mencari rezeki disebabkan aktiviti perlombongan yang begitu rancak.

Bandar Bukit Besi ini terletak kira-kira 30km dari Dungun dan dihubungkan oleh Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melalui jajaran Lebuhraya Jerangau Jabor.

Selepas aktiviti perlombongan dihentikan pada tahun 1970, secara beransur-ansur juga perkhidmatan keretapi ini ditamatkan. Keriuhan dan kesibukan para pekerja dan penumpang mula lenyap. Yang tinggal kini hanyalah beberapa monumen dan kesan sejarah sebagai bukti kewujudan aktiviti perlombongan.

Sekitar tahun 70an dan 80an, landasan keretapi masih boleh dilihat dari Bukit Tebuk melalui jajaran Nibong Stesen, Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Kg Alor Jejawi, Perumahan Jln Merbok, Pasar Malam Sura Gate hingga ke bandar Sura Gate dan seterusnya ke Pantai Teluk Lipat.

Difahamkan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), kerajaan Terengganu dan pihak berkuasa tempatan sedang berusaha untuk menjadikan Bukit Besi sebagai Bandar Sejarah menjelang tahun 2030 apabila siapnya sistem Rangkaian Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Ikuti blog saya Http://malimrindu.blogspot.com