Wednesday, October 30, 2019

SITKOM - PI MAI PI MAI TANG TU

DI SEBALIK TABIR

Waktu Yang Berlalu Tak Akan Kembali Lagi...

Imbas kembali di sebalik tabir pembikinan sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada tahun 1998. Ketika itu saya bertugas di akhbar tabloid Mingguan Perdana.

🔴 PI MAI PI MAI TANG TU

By: Zackusa Trg

* Mengisahkan sketsa kehidupan seharian penduduk Flat Seri Wangi. Sitkom ini adalah cetusan idea Hatta Azad Khan dan diarahkan oleh Othman Hafsham. Ia ditayangkan di TV3 dari tahun 1985-2004 selama 17 musim dengan 1,210 episod.

Antara pelakon yang menjayakan sitkom ini adalah Imuda (Abd Rahim Muda - Budin), Zami Ismail (Pak Uda), Mohamad Abdullah (Pak Busu), Ahmad Busu (Mat Deris), Sabri Yunus (Wan Ismail Golok), Sulaiman Yassin (Mat Over), Sathiya (Ravi), Khatijah Tan (Mak Ngah), Angeline Tan (Lucy) dan Marlia Musa (Ana).

Sebenarnya terdapat ramai lagi pelakon PMPMTT seperti Wan Maimunah, Accapan, Afida Es, Soo San Ho dan beberapa orang lagi tapi mereka mengundur diri pada tahun 1997. Sesetengahnya sudah tidak bersama PMPMTT sejak tahun 1991.


>>>>>>>>>>>>>>>>>

Ini merupakan salah satu tugasan yang saya gemari. Bukanlah tugasan yang mudah tapi menyenangkan hati.

Jarak pejabat saya dengan studio latihan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu (selepas ini akan disebut PMPMTT) dekat sahaja, rasanya tak sampai 2km. Pejabat saya terletak di Taman Melawati manakala studio tersebut di Wangsa Melawati.

Ketika saya tiba di studio sekitar jam 10 pagi bersama jurukamera, hanya terdapat beberapa orang pelakon sahaja yang ada. Ternampak kelibat Imuda, Zami Ismail, Sathia, Mat Over, Ahmad Busu, Angeline Tan dan Khatijah Tan di situ. Othman Hafsham, pengarahnya pun ada. Yang lain-lain mungkin dalam perjalanan agaknya.


Ada di antara mereka sedang menghafal skrip. Sebenarnya skrip itu sekadar panduan sahaja sebab mereka diberi kebebasan untuk mengucapkan dialog yang sesuai dengan sketsa. Yang penting, dialog-dialog mestilah ada unsur kelucuan dan kelakar.

Saya meminta jurukamera merakamkan situasi latihan dan gelagat para pelakon PMPMTT dengan gaya bersahaja untuk menimbulkan mood, selari dengan konsep segmen kami.

Saya sempat interbiu dan berborak dengan kesemua pelakon yang hadir ke sesi latihan hari tu termasuk pengarahnya sekali Othman Hafsham.

Jujur saya katakan, tak semua pelakon yang kita lihat melakonkan karekter yang lucu dan bersahaja itu lucu juga di luar set. Ada juga yang bersikap serius dan tak banyak cakap bila disoal begitu begini. Tapi yang paling ramah adalah Sathiya dan Khatijah serta Zami.


Paling seronok, walaupun mereka ini popular tapi mereka tetap humble (merendah diri). Saya pula lebih suka mengamalkan  stail atau kaedah berborak santai untuk mendapatkan info. Tidak perlu terlalu formal dan serius bila bersoal jawab. Sebabnya, penulisan perlulah bersahaja tapi haruslah sarat dengan idea.

Pembaca lebih gemar karya/penulisan yang jujur dan lebih mencerminkan realiti, bukan direka-reka sebagai penyedap cerita. Namun gaya bahasa perlulah cantik dan sesuai dengan kisah yang mahu dipaparkan.

Bila ditanya pada Othman, apakah rahsia PMPMTT boleh bertahan lama dan begitu popular di kalangan penonton, jawapannya mudah sahaja - ia memaparkan senario sebenar kehidupan rakyat Malaysia golongan sederhana dan bawahan ditambah dengan dialog yang bersahaja serta melucukan.

Disebabkan saya mempunyai tugasan lain pada sebelah petang, saya bergegas pulang ke pejabat. Ketika itu kelihatan Sabri Yunus baru sahaja tiba. Nampaknya tiada rezeki nak interbiu Wan Ismail Golok hari tu!

End.


No comments:

Post a Comment