MISTERI PULAU UPEH, MELAKA
Kebetulan malam ini (17 April 2018) saya menonton rancangan Paranormal disiarkan ASTRO yang mengisahkan tentang aktiviti paranormal di Pulau Upeh, Melaka. Pulau tersebut didakwa berhantu dan menjadi tempat kediaman pontianak (lokasinya tangki air) dan ada yang mendakwa pernah ternampak pontianak muncul di tangki air itu.
Teringat sewaktu bertugas sebagai wartawan akhbar Mingguan Tempo pada tahun 1997, kakitangan syarikat diwajibkan menghadiri kursus motivasi di Pulau Upeh secara bergilir-gilir. Saya dan Kamarul (jurukamera) merupakan kumpulan terakhir dari syarikat kami yang berkursus.
Pulau Upeh ini saiznya tidaklah sebesar mana. Tetapi panoramanya sangat cantik dan terdapat sebuah resort di pulau tersebut. Resort berkenaan juga merupakan salah sebuah anak syarikat dalam kumpulan syarikat induk kami. Sebagai wartawan saya cuba mendapatkan info menarik tentang resort dan pulau tersebut. Namun lain yang dicari lain pula yang saya dapat!
Seorang pekerja resort memaklumkan pada saya, salah sebuah calet di situ ditutup kerana pernah berlaku 'gangguan' terhadap penghuni yang menyewa calet tersebut. Khabarnya penyewa mendengar pelbagai bunyi pelik, dinding calet dicakar-cakar dan apabila bangun dari tidur keesokkan paginya penyewa itu mendapati dirinya berada di luar calet sedangkan pada malamnya dia tidur di dalam calet! Bukan itu sahaja, mukanya juga berdarah dan ada kesan dicakar!
Pekerja tersebut turut menasihati saya agar tidak keluar bersiar-siar pada waktu malam kecuali lah saya mahu mengisi perut di kafe. Sebenarnya banyak lagi kisah misteri yang diceritakannya tetapi cukuplah jika saya katakan Pulau Upeh bukanlah sebuah pulau yang biasa-biasa!
Saya dan Kamarul diberi satu calet. Lebih 'mengujakan' terdapat sebuah kubur panjang (kira-kira 5 meter) terletak betul-betul depan tangga calet, jaraknya hanya 3 meter! Dalam hati saya Allah sahaja yang tau. Dugaan sungguh! Lebih mencemaskan saya, malam itu dan sepanjang tempoh berkursus saya terpaksa menginap seorang diri kerana Kamarul dihantar pulang ke Kuala Lumpur disebabkan deman. Hairan juga tiba-tiba sahaja beliau demam sedangkan sebelum itu beliau kelihatan sihat! Memang cobaannn.......
Malam itu saya tidur seorang diri. Tidur-tidur ayam! Sudahlah bersendirian di calet, di luar sana pula terdapat kubur panjang yang didakwa bersemadi seorang pahlawan atau peneroka awal pulau tersebut. Bermacam-macam perkara melintas di fikiran saya. Badan pun mula terasa seram sejuk, kadang berpeluh memikirkan apa yang bakal terjadi. Nak menumpang dicalet lain semuanya dah ada penghuni, lagipun nanti malu juga jika dikatakan penakut...Ego nak kena jaga juga!
Bila teringat cerita pekerja resort tadi memang cemas juga saya dibuatnya. Menyesal juga saya bertanya tentang misteri pulau tersebut! Sepanjang malam itu, saya antara tidur dan jaga, sebabnya saya macam terdengar paip air seperti dibuka seseorang dan ada bunyi derap tapak kaki seperti seseorang mundar mandir...
Namun, alhamdulillah, sepanjang saya berkursus tidak ada kejadian ganjil dan pelik berlaku kepada saya cuma saya masih tertanya-tanya tentang kewujudan kubur panjang yang terletak depan tangga calet.
Pulau Upeh kini terbiar tidak berpenghuni. Resort pun dah lama tutup. Persekitarannya nampak tidak terurus. Suasana pun kian sepi. Nampak begitu menyeramkan. Tiada sesiapa yang mahu berkunjung ke pulau tersebut kecuali para nelayan yang menumpang teduh dan berehat seketika melepaskan penat lelah setelah seharian mencari rezeki serta kumpulan penjejak paranormal yang mahu membuktikan kewujudan entiti makhluk halus di pulau berkenaan.
Memetik kata-kata host program itu, apa jua projek dan pembangunan di pulau tersebut tidak mungkin berhasil kerana mungkin ada pantang larang telah dilanggar. Yang pasti, saya juga punya cerita dan pengalaman tersendiri sewaktu berkursus di situ. Wallahualam.
Sila lawati blog saya - Http://malimrindu.blogspot.com
Cap: Siapa sangka pulau kecil ini menyimpan misteri dan rahsia tersendiri. Dari sebuah pulau yang sering dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara, Pulau Upeh kini hilang daya tarikan dan menjadi rumah persembunyian makhluk halus....
No comments:
Post a Comment