Thursday, March 15, 2018

SIRI MERINDING BULU ROMA - Misteri Rumah Banglo Di Bukit Bauk

MISTERI RUMAH BANGLO DI BUKIT BAUK
(sepertimana yang diceritakan oleh Arwah Ayah Ngah Ismail kepada penulis).

Cerita ini panjang tetapi penulis sudah meringkaskannya tanpa mengubah jalan cerita, plot dan kesahihan. Ini adalah kisah benar!

Prolog
Sebut sahaja nama Bukit Bauk, warga Dungun atau pengguna jalan raya yang pernah lalu di kawasan itu pasti akan mengaitkannya dengan kisah misteri yang menyeramkan.

Wanita cantik berambut panjang, kelibat askar Jepun, adalah antara cerita misteri yg  tersebar sehingga menimbulkan rasa seram apabila melalui kawasan tersebut di waktu malam apatah lagi jika memandu bersendirian! Ada yang mengaitkan kejadian2 misteri itu dengan beberapa kemalangan yang pernah berlaku di laluan bengkang bengkok tersebut.

Misteri bermula...
Jusuh (bukan nama sebenar) berusia 50an dalam perjalanan pulang ke Jertih selepas menghantar penumpang di bandar Chukai, Kemaman. Ketika itu hampir dinihari. Jusuh memandu teksinya sendirian. Malam2 begitu agak sukar mendapatkan penumpang.

Jusuh memandu berhati-hati kerana hujan renyai-renyai mula turun. Sampai di Kemasik, seorang wanita menahan teksinya dan memberitahu mahu ke Dungun, kira-kira 45km dari situ. Senang hati Jusuh sebab ada teman berbual. Sesekali Jusuh mengerling ke sebelah. Cantik juga, bisik hati kecilnya.

Cuaca malam agak dingin. Jusuh menghulurkan sehelai kain pelikat setelah dia merasakan wanita itu seperti kedinginan. Pantas wanita itu membalut tubuhnya. Sedang rancak berbual wanita itu tiba-tiba meminta Jusuh memberhentikan teksinya dan memberitahu dia mahu turun di situ kerana rumahnya terletak berhampiran sahaja.

Jusuh sekonyong-konyongnya melihat sebuah rumah tersergam indah dan kelihatan terang benderang bercahaya tidak jauh dari situ. Jusuh melihat ke kiri kanan dan menyedari dia berada di Bukit Bauk. Wanita itu menghulurkan sekeping not RM50 kpd Jusuh namun Jusuh menolak, ikhlas kata Jusuh. Sebenarnya Jusuh sudah cukup mewah hari tu sebab penumpang sebelumnya dari Jertih ke Chukai telah membayar sejumlah wang yang banyak kepadanya. Dalam kebasahan Jusuh memberikan kain pelikat tadi kpd wanita itu sebagai penutup kepala.

Maka wanita itu pun berjalan menuju ke rumahnya sambil diperhatikan Jusuh sehinggalah wanita itu hilang dari pandangannya namun mata Jusuh tak berkelip memandang ke arah rumah yang tersergam indah itu.

Jusuh meneruskan permanduannya hingga ke Jertih sambil memikirkan tentang wanita cantik jelita itu. Setibanya di rumah, Jusuh pantas merebahkan badannya dek terlalu penat memandu seharian.

Dua tiga hari lepas tu, rezeki Jusuh murah sungguh. Ada sahaja penumpang yang mahu menyewa teksinya. Tak putus-putus! Ada yg dekat ada yang jauh. Senang hati Jusuh sebab pendapatannya meningkat.

Sebulan kemudian sekali lagi Jusuh ke Chukai menghantar tiga penumpang ke sana. Dalam perjalanan pulang setibanya di Bukit Bauk, Jusuh berhenti sekejap kerana terasa mahu membuang air kecil. Dia teringat tentang wanita jelita yang menumpang teksinya di tengah malam buta yang turun di situ kira-kira sebulan yang lalu.Matanya melilau mencari rumah wanita tersebut tetapi di depannya hanyalah hutan dan bukit sahaja. Pelik juga getus hati kecil Jusuh.

Selesai melepaskan hajatnya, Jusuh tergamam apabila terlihat sehelai kain pelikat tergantung pada dahan sebatang pokok tidak jauh dari situ. Melambai-lambai ditiup angin petang seolah-olah melambai-lambai kepadanya. Jusuh kenal benar itu kain pelikat yang diberikannya kepada wanita jelita dulu. Berderau darah Jusuh bila teringat kejadian malam itu. Merinding bulu romanya. Kembang rasa tengkuknya! Cepat-cepat Jusuh masuk ke dalam kereta dan beredar meninggalkan Bukit Bauk.

Sepanjang perjalanan, Jusuh tertanya-tanya sendirian apa sebenarnya yang terjadi dan siapakah wanita itu. Misteri wanita dan rumah banglo tersergam indah itu sehingga kini belum terungkai. Dan rezeki Jusuh terus murah!

Wallahualam...




No comments:

Post a Comment