INILAH RUMAH PENINGGALAN MONA FANDEY DI KIJAL, KEMAMAN, TERENGGANU
IMBAS KEMBALI...
Coretan pengalaman penulis ketika negara digemparkan dengan tragedi pembunuhan Adun Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada tahun 1993.
Mona Fandey merupakan perancang utama di sebalik pembunuhan Adun Batu Talam, Raub, Pahang, Datuk Mazlan Idris, pd tahun 1993. Beliau dijatuhkan hukuman gantung sampai mati bersama-sama suaminya Mohd Affandi Abd Rahman dan pembantunya Juraimi Hussin pd 2 November 2001 di Penjara Kajang, Selangor.
Kes tersebut disifatkan antara yg paling menggemparkan dalam sejarah Malaysia. Pertamanya, Datuk Mazlan merupakan pemimpin politik yang agak dikenali dan yang keduanya arwah dibunuh secara kejam di luar batas dan norma manusia.
Mona atau nama sebenarnya Maznah Ismail adalah seorang penyanyi dan pelakon sebelum beralih ke bidang perbomohan. Namun begitu namanya kurang dikenali ramai sewaktu bergiat dalam dunia seni.
Waktu itu, saya bertugas sebagai wartawan di akhbar tabloid Mingguan Tempo. Ketika itu Umno sedang sibuk menghadapi pemilihan di peringkat bahagian. Datuk Mazlan ketika itu adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Raub yg akan bertanding merebut jawatan Ketua Umno Bahagian.
Paling mengharukan saya, seminggu sebelum kehilangan Datuk Mazlan dilaporkan media, saya ada berhubung dan bercakap dengannya beberapa kali untuk bertemu dan interbiu beliau menjelang pemilihan tersebut. Beliau memutuskan untuk berjumpa saya di Kampung Baru Kuala Lumpur.
Tetapi malangnya perjumpaan kami tidak menjadi kenyataan. Saya beberapa kali menghubungi talipon bimbitnya namun tidak berjawab. Saya kemudian menalipon ke rumahnya dan bercakap dengan isteri Datuk Mazlan dn saya diberitahu beliau sudah seminggu tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi. Kehilangan beliau kemudian dilaporkan media dan saya turut terperanjat mendengar berita tersebut.
Penangkapan Mona, Affandi dan Juraimi tidak lama selepas itu berjaya merungkai misteri kehilangan Datuk Mazlan. Kehidupan mewah mereka secara tiba-tiba dengan menayangkan kereta mewah dan gaya hidup yang luar biasa menimbulkan kecurigaan. Mereka juga menurut saksi adalah orang terakhir yang dilihat bersama Datuk Mazlan.
Juraimi, kemudian mengaku semua perbuatan itu adalah atas arahan Mona demi meragut kemewahan yg dimiliki Datuk Mazlan. Pembunuhan terancang itu sekaligus menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli-ahli politik akan keselamatan mereka selain menimbulkan kesangsian di kalangan orang awam tentang institusi perbomohan.
Setelah mengharungi tempoh perbicaraan yang agak panjang dari tahun 1993 hingga 2001, misteri, kesedihan, kepedihan dan seribu satu persoalan akhirnya menemui noktah sebaik sahaja mereka bertiga ke tali gantung.
Namun bukan sedikit yang menangisi kehilangan insan sebaik Datuk Mazlan. Apatah lagi pembunuhan tersebut dianggap paling kejam dalam sejarah negara kita. Yang pasti ia kekal misteri sehingga kini biarpun keadilan sudah dipersadanya.
Begitulah coretan detik-detik akhir antara saya dan Datuk Mazlan...
Al fatihah...
No comments:
Post a Comment