* Imbas kembali di sebalik tabir ketika saya bertugas sebagai wartawan di akhbar tabloid Mingguan Perdana pada tahun 1998, - 21 tahun yang lalu.
🔵 KASUT BUATAN GOMBAK
"Apa salahnya kasut saya buatan Gombak", ujar seorang pemuda kepada gadis di sebelahnya seraya mengayakan kasut yang dipakainya.
"Tak salah, kasut buatan Gombak kan bagus!" jawab gadis itu sambil menunjukkan kasut yang dipakainya juga buatan Gombak.
Begitulah dialog antara Ashraff Sinclair dan Vanida Imran, dua pelakon remaja (ketika itu) di dalam bas Intrakota menerusi iklan Kasut Buatan Gombak.
Masihkah anda ingat iklan yang sangat popular pada tahun 1998 itu? Disebabkan ia sangat popular dan menjadi bualan ramai, Pengarang saya memberi tugasan kepada saya untuk merungkai rahsia di sebalik tabir pembikinan iklan tersebut.
Maka saya pun mulalah mencari dan mengumpul info serta maklumat tentang iklan berkenaan. Saya juga membuat beberapa ringkasan untuk memudahkan kerja. Sememangnya segmen Di Sebalik Tabir menjadi trade mark saya waktu itu.
Pada mulanya, firma pengiklanan Leo Burnett yang terletak di Menara Olympia di Jalan Raja Chulan yang bertanggungjawab menghasilkan dan menerbitkan iklan tersebut enggan memberikan kerjasama, namun setelah saya memujuk dan menjelaskan secara terperinci tujuan sebenar, baharulah mereka mengalah.
Mungkin pihak Leo Burnett bimbang kalau-kalau saya mencuri idea mereka atau menceritakan teknik-teknik pembikinan iklan mereka pada syarikat iklan lain agaknya. Maklum sajalah Leo Burnett merupakan firma pengiklanan antarabangsa. Rahsia syarikat!
Ketika saya interbiu penerbit dan individu (maaf saya dah terlupa nama mereka) yang bertanggungjawab dalam pembikinan iklan tersebut, mereka menunjukkan kepada saya dua pasang kasut buatan gombak yang dipakai oleh Ashraff dan Vanida itu.
Hanya terdapat dua pasang kasut tersebut yang direka khas untuk iklan dan ia juga direka khas mengikut saiz kaki Ashraff dan Vanida. Kasut tersebut dibuat di sebuah kilang di Gombak. (Mereka rahsiakan nama kilang itu). Sebab itulah ia dinamakan Kasut Buatan Gombak.
Kasut tersebut memang cantik malah saya sendiri sanggup membelinya jika mereka mahu menjualnya. Saya memang menyukai rekaannya yang menarik dan sesuai dengan jiwa remaja dan belia. Tapi malangnya kasut tersebut hanya ada dua pasang dan mereka mahu menyimpannya sebagai arkib syarikat.
Saya jamin, jika kasut buatan Gombak itu dikomersilkan ia mungkin laris di pasaran! Sayang sungguh!
Iklan yang diterbitkan sempena Hari Kemerdekaan pada tahun 1998 itu sebenarnya bertujuan untuk memupuk minat rakyat Malaysia membeli barangan dan mengutamakan produk tempatan. Ia bertepatan dengan slogan Beli Barangan Malaysia.
Kebetulan pula, ketika itu negara dilanda kegawatan ekonomi dan kerajaan memperkenalkan beberapa dasar untuk memulihkan kembali prestasi ekonomi negara. Jadi, iklan tersebut adalah antara idea-idea dari PETRONAS yang diberi tanggungjawab untuk membantu kerajaan.
Selain itu, iklan tersebut turut membawa mesej bahawa produk tempatan contohnya kasut buatan Gombak juga berkualiti dan sama seperti produk luar negara.
Jadi, apabila Ashraff Sinclair dan Vanida Imran berasa bangga memakai kasut buatan Gombak, kita juga patut yakin dan percaya pada kualiti barangan Made In Malaysia!
End.
No comments:
Post a Comment