Thursday, March 15, 2018

Ini ada satu cerita...

KENAPA Malim Rindu?

Selain akaun ini, saya mempunyai satu lagi akaun didaftarkan sebagai Malim Rindu sejak 2009 lagi. Ada rakan2 fb yg bertanyakan rahsia nama Malim Rindu. Sebenarnya tak ada apa-apa yang istimewa pun di sebalik nama Malim Rindu tu. Cuma ada sedikit rahsia dan sentimental value pada nama itu.

Semuanya bermula pada tanggal 1 Ramadan 1993, tahun saya terjun ke dunia kewartawanan. Mingguan Tempo merupakan akhbar tabloid pertama saya mengasah bakat sebagai wartawan. Ketika itu editor saya Dahlan Maamor (kini bergelar Datuk). Bersama-sama saya sbg rakan seperjuangan ketika itu adalah Mohd Rozi Hassan, Zuraidah Abd Halim, Ruzana Jaafar,  MOhamed Ali Othman, Rosmini Mohamed, Hasmidar Ali, Mohd Sakri dan beberapa rakan lain yg saya telah lupa nama mereka.

Saya kemudian dilantik sebagai Penolong Editor dan kemudiannya memangku tugas Editor selepas Dahlan Maamor meletak jawatan. Tidak lama kemudian Mingguan Tempo yang sebelum itu beroperasi di Taman Permata, Hulu Kelang berpindah ke Taman Kosas di Ampang, Selangor.

Dwan Inzaghi (Ridzuan Abd Rahman kini di Harian Metro) kemudian menyertai Mingguan Tempo sbg tenaga pentadbiran bersama arwah Haniff (bekas editor Media Hiburan) sbg wartawan dan Zamzuri Razmi. Kemudian diikuti Dik Zul  (Zulkifli Omar), Roslah Othman, Allahyarham Seri Bayu (Jamaluddin Sulik) dan Nazz Othman. Ada beberapa rakan yang saya terlupa nama mereka. Mohon maaf yer.

Dalam akhbar Mingguan Tempo terdapat satu halaman dikhususkan untuk berita dan artikel tentang sastera dan budaya. Di halaman itulah wujudnya satu sudut novel bersiri bertajuk Airmata Lelaki yang saya garap dengan nama Malim Rindu.

Sejarah Airmata Lelaki bermula ketika Dahlan Maamor menjadi editor dan saya meneruskan novel bersiri itu dalam gaya dan pengucapan serta fantasi sendiri sehingga ke tahun 1997 sebelum saya menyertai akhbar Mingguan Perdana.

Selama 5 tahun di Mingguan Tempo, saya kira lebih kurang 200 siri yang dihasilkan dalam 3 episod berbeza. Nama pun Airmata Lelaki, sudah pastilah ceritanya tentang cinta, keperitan dan kepedihan dalam percintaan. Ketiga-tiga cerita itu mengambil tempat di Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Melaka, Cameron Highland dan Kuala Lumpur.

Sebenarnya Airmata Lelaki adalah kisah 80% benar dan latar masanya bermula di bangku sekolah menengah sehingga kehidupan penulis di Kuala Lumpur. Menjadikan ia lebih menarik, segar dan realiti, Airmata Lelaki digarap disolek dengan perasaan dan rasa cinta yang abadi serta dihiasi dengan warna kehidupan suka dan duka.

Biarpun kini Airmata Lelaki sudah kering dan tidak menitis lagi, namun nama Malim Rindu tetap kekal dalam lipatan memori kerana ia membawa saya terbang tinggi dalam dunia sastera dan kewartawanan.

'Cinta Itu Nikmat Tetapi Azab...'

No comments:

Post a Comment