Kisah benar yang dialami penulis sendiri ketika tinggal di Taman Cahaya, Ampang, Selangor beberapa tahun yang lalu.
Malam itu aku pulang agak lewat dari pejabat. Terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan kerana dateline sudah hampir. Kalau tak sempat siap mengikut waktu nanti kena stayback lagi di pejabat. Tak larat nak berjaga sampai pagi.
Bukan aku seorang sahaja yang kena stayback nanti tapi keseluruhan staff jabatan editorial, kalau artikel dan layout (susun letak) tak siap ikut jadual. Bos besar pun akan bising kepadaku sebab aku bos kecik...
Jadi untuk mengelakkan dari kena bambu dengan bos besar terpaksalah aku bekerja lebih masa secara sukarela. Tak apalah, aku kan memang suka kerja..hihihi
Tapi aku ni bukan suka sangat stayback sebab mata aku tak larat nak berjaga dan memandang skrin komputer. Lama-lama boleh jadi bengkak mata aku ni.
Beginilah rutin harianku sebagai tukang selak kain orang atau dalam bahasa moden - wartawan...
Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam, selepas mengisi perut yang berkeroncong sedari petang tadi, aku berbaring seketika di dalam bilik sambil melayani lagu-lagu malar segar (evergreen) yang berkumandang di corong radio.
Mendayu-dayu pula lagu-lagu yang diputarkan juruhebah@DJ radio malam itu, banyak lagu yang berirama perlahan. Mungkin disebabkan sudah hampir tengah malam maka lagu-lagu semacam itulah yang sesuai untuk para pendengar...
Hampir saja aku terlena dibuai kesyahduan lagu-lagu romantis sehinggalah DJ mengumumkan jam sudahpun menunjukkan tepat pukul 12 malam dan diikuti dengan siaran berita dari Radio Nasional.
Sebaik sahaja berita dibaca, tiba-tiba,
'Tok! tok! tok!, tok! tok, tok!' terdengar bunyi ketukan yang amat kuat di pintu bilik ku.
Terperanjat aku mendengar bunyi ketukan itu. Siapa pula yang mengetuk pintu bilik ku sedangkan aku tau bahawa aku seorang sahaja penghuni rumah itu. Tiada penghuni lain!
Tiba-tiba tombol pintu bilik ku pula dipulas-pulas! Berpusing-pusing seolah-olah ada seseorang dari luar mahu masuk ke dalam bilik! Lagilah menambahkan rasa terkejut pada aku.
Seketika kemudian... Dummmmm!
Bergegar pintu bilik aku dilanggar sesuatu yang aku tak pasti apa kebendanya... kuat sungguh 'benda' yang menghentam pintu bilik ku macam nak pecah dan tercabut dibuatnya
Timbul akal di fikiranku. Aku mengintai dari celahan bawah pintu untuk menyiasat apa benda yang melanggar pintu bilik ku, namun tiada apa-apa yang kelihatan. Tiada ternampak apa-apapun malah bayang pun tiada!
Disebabkan rasa tak puas hati, aku lantas membuka pintu bilik dan mataku melilau ke kiri dan kanan memandang ke serata rumah untuk memastikan apa yang berlaku sebenarnya. Sunyi dan sepi sahaja.
Aneh sungguh!
Sekonyong-konyongnya tiba-tiba sahaja aku terasa dingin dan macam ada angin yang bertiup lembut sehingga merinding bulu romaku.. kembang rasa bulu tengkuk,!
Aku pun lantas buka mp3 dan pasang bacaan ayat-ayat suci Al Quran untuk mententeramkan jiwa yang sedang dalam keresahan ini. Alhamdulillah tiada lagi gangguan selepas itu.
Besoknya di pejabat, aku menceritakan kejadian pelik itu kepada ustaz syarikat yang kebetulan berada di pejabat untuk segmen Tanyalah Ustaz.
Ustaz hanya ketawa kecil dan tersenyum mendengar ceritaku seraya menasihatkan aku agar tidak lalai mendirikan solat dan sentiasa pastikan badan dalam keadaan 'bersih'.
Adalah beberapa lagi tazkirah ringkas dari ustaz berkaitan kejadian misteri yang ku alami itu. Semuanya untuk kebaikan bersama.
Malah sempat pula ustaz mengusikku...
"Itulah...banyak sangat tulis cerita hantu misteri sampai benda tu datang rumah cari kamu..."ujar ustaz sambil menepuk-nepuk bahuku.
Bingung aku memikirkan tentang kejadian misteri itu. Dalam pada itu aku bersyukur kerana 'lembaga misteri' yang berkunjung ke rumahku pada malam itu tidak menjelma dan menampakkan rupanya yang sebenar!
Aku menganggap ia cuma mahu menduga dan mengusikku untuk menguji sejauh mana keberanianku. Tapi aku tidak pasti apa reaksi ku jika lembaga itu benar-benar muncul di hadapanku....
Sesungguhnya kejadian misteri itu satu peringatan kepadaku bahawa bukan kita sahaja makhluk Allah yang wujud di alam ini, ada makhluk lain yang hidup bersama kita... hidup kita ini penuh dengan perkongsian sebenarnya...
Siapakah yang mengetuk pintu bilikku di malam itu???.
Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri....
Follow blog saya: malimrindu.blogspot.my
gambar hiasan je...
No comments:
Post a Comment