Friday, May 6, 2011

D'lloyd - Semalam Di Malaysia

Bergambar kenangan dengan Pak Sam dan Pak Bartje Van Houten

Aku baru pulang dari nonton Konsert D'lloyd Semalam Di Malaysia di Istana Budaya 5 Mei 2011, penuh sesak Panggung Sari, kebanyakannya adalah penonton Malaysia yang mana zaman remaja mereka dibesarkan dengan lagu D'lloyd hampir 40 tahun lalu. Ternyata D'lloyd menjadi jambatan persahabatan antara dua negara, Malaysia dan Indonesia.

Umum tahu, rakyat kedua-kedua negara yang berjiran dan serumpun ini sering bercakaran dan saling tuduh menuduh sejak dulu lagi. Aku sebenarnya tidak berminat untuk membicarakan tentang situasi itu. Yang ingin aku bicarakan di sini ialah kehebatan group dari Indonesia itu beraksi walaupun sudah hampir 40 tahun ia ditubuhkan.

Kuperhatikan, 70% dari penonton yang hadir menyaksikan konsert tersebut berusia 40 tahun ke atas. Ada juga yang muda tapi tidaklah seramai mana. Ternyata, mereka ini adalah peminat tegar D'lloyd ternasuklah aku!

Sewaktu Pak Sam mendendangkan lagu-lagunya dan mengajak penonton ikut menyanyi, ramai yang sudah terlupa liriknya, maklum sajalah semuanya sudah otai. Ada yang ingat separuh sahaja, ada pula yang hanya ingat satu rangkap sahaja, namun ia tetap menghiburkan.

Aku paling minat lagu Mengapa Harus Jumpa, Cinta Hampa dan Semalam Di Malaysia. Itulah lagu yang sering aku putarkan. 

Ternyata para penonton amat berpuas hati dengan persembahan D'lloyd biarpun Pak Sam sudah dimamah usia, vokalnya masih mantap dan ia tetap bertenaga mendendangkan lagu tanpa henti selama hampir 2 jam.

Sebenarnya ini kali pertama aku menyaksikan secara live persembahan D'lloyd, maklum sajalah sudah puluhan tahun mereka tidak mengadakan konsert di Malaysia. Kukira biarpun diadakan di Panggung Sari, jumlah penonton yang hadir sangatlah luarbiasa. Barangkali jika diadakan di stadium mungkin jumlahnya puluhan ribu.

Apapun, hampir 40 tahun berlalu, D'lloyd tetap mantap dan hebat dan lagu-lagunya akan terus kekal menjadi nostalgia buat para peminat di Malaysia. Terimakasih D'lloyd  kerana menghiburkan kami....

End..

Friday, March 18, 2011

Nostalgia D'lloyd



Bersama Pak Sam (Syamsuar Hasyim  vokalis D'lloyd) dan Pak Bartje (Van Houten) serta rakan wartawan, Fariza Saidin dan Wan Manisah.


Oh Tuhan Yang Kuasa
Berilah Petunjuk Mu
Betapa Pedih Ku Rasakan
Kasih Ku Tak Sampai.....


Demikian sebahagian bait-bait lirik lagu Mengapa Harus Jumpa dendangan kumpulan D'lloyd yang amat meruntun hati sang pendengar. Itu adalah antara lagu hits yang menjadi siulan para peminat sehingga kini. 

Sedar tak sedar sudah hampir 40 tahun D'lloyd mengabdikan diri mereka kepada muzik. Ternyata lagu-lagu mereka masih utuh bertahan dan tetap evergreen. Bukan hanya kepada peminat dan pendengar di Indonesia malah nama D'lloyd cukup tersohor di Malaysia. Begitulah kuatnya pengaruh kepada peminat seni suara di Nusantara.

Mengimbau zaman kanak-kanakku dan zaman remajaku, aku membesar dengan lagu-lagu D'lloyd, aman sekali rasanya apabila mendengar lagu-lagu merela diputarkan dicorong-corong radio. malah aku sendiri memiliki beberapa album (ketika itu kaset) mereka. Siap kuhafal lagi lagu-lagu mereka!

Saban hari aku mendengarnya tanpa jemu. Kelunakan suara Sam (Syamsuar Hasyim) vokalis D'lloyd ditambah dengan melodi yang menarik membuatkan lagu-lagu mereka sangat mengesankan.

Sebenarnya banyak sekali lagu-lagu D'lloyd yang meniti di bibir peminat. Antaranya  Keagungan Tuhan, Tak Mungkin, Oh Di Mana, Karena Nenek, Semalam di Malaysia, Cinta Hampa dll.

Setelah sekian lama menjadi peminat dan pendengar setia D'lloyd, aku berkesempatan bertemu dengan mereka awal Mac lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, kebetulan mereka hadir untuk sidang media konsert mereka di Istana Budaya pada 6-8 Mei 2011.

Apa yang menariknya sewaktu sidang media itu, rakan-rakan wartawan termasuk jurukamera dan mereka yang hadir di majlis itu semuanya menyanyi bersama Pak Sam ketika beliau mendendangkan beberapa lagu hitsnya dengan diiringi petikan gitar Pak Bartje. Sehinggakan Pak Sam menitiskan airmata dek terlalu terharu dengan sambutan rakan-rakan di Malaysia.

Sempat juga aku bertanyakan pada Pak Bartje (Van Houten) ketua kumpulan dan gitar utama D'lloyd, apa rahsia kejayaan mereka dan apa yang tersirat dalam lagu mereka sehingga ia kekal diminati sehingga kini.

Menurutnya, lagu-lagu itu dihasilkan dengan tulus ikhlas, lahir dari hati nurani yang jujur dan suci. Lagu-lagu itu juga menyentuh aspek kemanusiaan dan jiwa raga manusia itu sendiri dilontarkan secara benar dan bukan dibuat-buat.

Tambah Pak Bartje lagi, ketika lagu-lagu itu dihasilkan, melodinya memang luhur dan tidak dicemari oleh muzik bising atau muzik keras seperti zaman sekarang. Muzik ketika itu masih bersih dan kekal KeMelayuannya. Kerana itulah ia tetap diminati sehingga kini. 

Zaman 70an, pengaruh muzik luar terutama dari Barat tidak begitu ketara. Bukan seperti zaman sekarang yang terlalu banyak genre muzik. 

Ternyata benar sekali jawaban Pak Bartje kerana pada pandanganku (mungkin juga pada pandangan pembaca) lagu lama lebih dekat pada jiwa kita. Lebih jujur dan lebih menyelami hati dan perasaan kita. Secara tepatnya, lagu-lagu lama adalah cermin diri kita. Liriknya indah dan mudah difahami. membawa maksud yang mendalam, tidak seperti lirik sekarang yang terlalu metafora dan berbelit-belit sehingga kita tidak tahu di mana pangkal dan di mana hujungnya!

Aku bukanlah mengagungkan D'lloyd tetapi tidak salah meminati mereka dan membesar dengan lagu-lagu dendangan mereka. Bagiku D'lloyd tiada galang gantinya.....






Tuesday, March 15, 2011

CERITA BUKA BAJU KU (18SX)

Di suatu kawasan pedalaman di Dakota, seorang penternak yang mempunyai ladang ternak yang luas dan berjaya telah meninggal dunia. Dia meninggalkan seorang balu yang masih muda dan cantik, namanya Janet. 


Janet membuat keputusan untuk meneruskan kerjaya suaminya dengan  mengambil alih ladang ternakan tersebut, tetapi dia tidak mempunyai  kemahiran yang cukup untuk mengendalikan ladangnya. Jadi dia pun membuat keputusan untuk mengiklankan di dalam akhbar untuk mencari seorang pembantu yang akan mengerjakan ladang ternaknya dengan menawarkan gaji dan sebuah bilik di rumahnya sebagai tempat kediaman memandangkan ladang yang dimaksudkan hanya berada di belakang rumahnya. 



Selang beberapa hari kemudian ada dua orang pemuda yang memohon pekerjaan tersebut. Seorang gay, dan seorang kaki mabuk. Memandangkan tiada sesiapa lagi yang memohon jawatan tersebut selain dari dua orang  pemuda tadi, Janet terpaksa memilih salah seorang dari mereka. Setelah menimbangkan semasak-masaknya, Janet memilih si gay, bernama John untuk  bekerja dengannya, dengan anggapan bahawa dia berasa lebih selamat tinggal bersama seorang gay daripada tinggal dengan seorang pemabuk. 

Minggu demi minggu berlalu. John telah melakukan tugasnya dengan penuh tekun dan rajin. John kerap kali menghabiskan waktunya sehingga  malam untuk membuat kerja-kerja di ladang ternakan. Ladangnya menjadi semakin berjaya dan ternakan semakin banyak membiak dan sihat-sihat belaka. Gembiralah si Janet ni tadi... kerana ingin menghargai kerajinan si John nii, Janet pun berkata kepada John, "John, kau telah melakukan kerja dengan baik dan ladang ternakan pun kulihat semakin bagus, kau sepatutnya ambil cuti pergi ke pekan berjalan-jalan untuk melegakan tekanan kerja..." Gembiralah John, dan pada suatu malam minggu, dia pun pergi ke pekan. 

Sampailah ke tengah malam, John tak pulang-pulang ke rumah.Pukul 1 tak pulang, pukul 2 tak pulang. Pukul 2.30 pagi barulah John pulang kerumah. Sampai ke rumah, didapati Janet sedang menunggunya sambil duduk di sofa berhampiran unggun api. 

"Buka butang bajuku dan tanggalkannya." Kata Janet. 

John dengan tangan yang terketar-ketar dan perasaan yang terkejut, melakukan apa yang diarahkan. 


"Sekarang, buka kasut but ku."  John buat, perlahan sekali. 
"Buka, setokin ku.." 

 Dia buat juga. 


 "Sekarang, buka skirt ku." 

  Dia buat juga. 


 "Sekarang buka coliku." 

  Dengan tangan yang menggigil, dia buat apa yang disuruh. 


 "Sekarang....buka seluar dalamku..." 

 Dengan perlahan, dia melucutkannya ke bawah dan menanggalkannya. 


Kemudian, Janet pun memandang John, sambil berkata... 

"Sekali lagi kau pergi pekan dengan memakai pakaian aku, aku  pecat kau on the spot."



ingat apa haaa...tak baik citer yg gitu-gitu tau.....huhuhu.

>tamat<

POCO POCO....Ayuh dong .....


Sesekali kita berdansa, hiburkan hati sambil sihatkan badan....

RAHSIA GAYA WANITA BERJALAN

Kaum lelaki sememangnya gemar sekali memerhatikan wanita berjalan. Tidak kira samada wanita itu cantik atau sebaliknya, lenggang lenggok mereka seringkali jadi perhatian! Apatah lagi jika si wanita itu pakaiannya agak seksi dan meruntun hati maka kaum lelaki pastilah tidak melepaskan peluang.

Mengenai cara berjalan, ianya ada kaitan juga dengan 'mood' kita pada ketika itu. Kalau berjalan di tempat sunyi, mungkin langkah kita lebih cepat. Kalau berjalan bersama 'awek' mungkin dada kita nampak besar sedikit dan perut kita nampak kempis sedikit. Si 'awek' pula, mungkin goyangnya lebih sedikit. Bila kembali berjalan seorang, di masa itulah mungkin kita akan dapat lihat cara berjalan mereka yang sebenar, itu pun kalau mereka ini tidak perasan bahawa mereka sedang diperhatikan!


Nah, cuba lihat analisa ini tentang rahsia gaya wanita berjalan. Mungkin ada tergolong dalam analisa ini..





1. Jika berjalan, dari belakang kelihatan seperti tidak memijak tanah. Golongan wanita yang jalannya berginjat, konon wanita ini adalah wanita yang tidak jujur, kalau berbual, mulutnya laser dan menyinggung perasaan orang lain. Wanita yang berjalan seperti ini juga terkenal dengan sikap egonya. Lebih parah, wanita ini biasanya pemboros atau suka membazir wang tanpa berfikir sebelum berbelanja. Padahal, wang yang dimilikinya itu masih banyak kegunaannya. Tapi jangan berkecil hati, kerana wanita seperti ini biasanya menjadi pujaan ramai lelaki. 

2. Jika berjalan, sering menoleh ke kanan and kiri. Wanita seperti ini biasanya pandai menyimpan rahsia. Walaupun ramai yang menganggap wanita seperti ini tidak jujur, suka menipu teman sendiri,dan merugikan teman bualnya, namun, ramai lelaki yang berusaha untuk menakluk hatinya. Konon wanita seperti ini senang diatur dan diuruskan. 

3. Jika berjalan suka menunduk. Cara berjalan melambangkan wanita seperti ini memiliki sifat yang tertutup. Ia hanya akan berbual dengan orang-orang yang rapat dengannya dan boleh dipercayai untuk menyimpan rahsianya. Wanita seperti ini biasanya sukar untuk ditakluk hatinya. Di samping sikapnya yang dingin, wanita seperti ini tidak peduli dengan kehidupan cinta. 

Namun, jika ada lelaki yang berjaya menawan hati wanita dengan cara berjalan menunduk ini, dijamin akan mendapat kebahagiaan. Sebab, wanita jenis ini sangat setia, dan dia tidak akan mengkhianati lelaki yang dicintainya. 

4. Jika berjalan menatap lurus ke depan. Wanita seperti ini biasanya memiliki pendirian yang teguh, bukan senang hendak menggoncangkan imannya. Jangan sekali-sekali menentang apa yang pernah dikatanya, jika anda tidak mahu mendengar dia berleter panjang lebar. Meski pendiriannya teguh, tapi dia selalu berselisih pendapat. Jangan hairan jika wanita seperti ini hanya mahu berbual dengan orang yang berpengalaman luas. 

5. Jika berjalan badan bergerak ke kanan dan kiri. Wanita yang berjalan dengan gaya yang sedemikian tidak ambil kisah dengan masalah yang berlaku. Apa pun masalah yang ada dihadapannya, dia dianggap kecil. Padahal masalah itu sebenarnya memerlukan kebijaksanaan untuk diselesaikan. Kerana sifatnya yang suka ambil mudah ini, banyak persoalan yang akhirnya tidak dapat diselesaikan dan akibatnya merugikan dirinya sendiri. 

6. Jika berjalan badan tampak tegak. Wanita ini tegas menentukan sikapnya sendiri. Dia tidak mahu urusan peribadinya dicampur oleh orang lain. Gaya bicaranya serius seperti ingin menunjukkan dia memiliki pendirian teguh. Yang menarik dari wanita ini, dia bertanggungjawap terhadap apa yang pernah dilakukannya. Dia menyenangi lelaki yang berdikari tanpa meninggalkan sifat-sifat romantiknya. 

7. Jika berjalan seperti zirafah. Maksudnya, ketika melangkahkan kaki ,badannya ia kelihatan bergerak ke depan dan ke belakang. Wanita jenis ini sangat lemah perasaannya. Dia seorang yang mudah terasa dan mudah tersinggung. Jadi, jika anda berbual dengan wanita seperti ini kenalah menjaga perasaannya agar tidak tersinggung, kerana wanita ini mudah mengalirkan air mata. 


Habis dah......

Friday, March 4, 2011

Mencari Rindu di Tunjuk Laut



Pertama kali mendengar nama Tunjuk Laut, aku terpaut hati untuk mengetahui apa yang tersirat di sebalik nama Tunjuk Laut yang begitu unik itu. Kata orang, apa ada pada nama...tapi bagiku sesuatu nama itu membawa pengertian dan maksud yang tersendiri. Nama juga adalah pengenalan dan identiti tak kiralah untuk manusia, haiwan, tempat dan apa saja yang mempunyai nama. Kalau namanya pelik maka peliklah maksudnya, kalau namanya unik, maka sudah tentulah unik juga maknanya.

Kenapa Tunjuk Laut? Tunjuk Laut di Tanjung Leman. Apa kaitannya Tunjuk Laut dengan Tanjung Leman? Pelik tapi menarik! Siapa pula Leman ni? Apa kaitannya dengan Tunjuk Laut?

Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta, dah kenal baru rasa nak bercinta...alkisahnya Tunjuk Laut itu membawa maksud menunjuk ke arah laut - kerana lokasinya yang terletak paling hujung di Tanjung Leman, mungkin  Leman lah orangnya yang suka menunjuk-nunjuk ke arah laut maka dikhabarlah sekalian orang kampung bahawa itulah tempatnya yang bernama Tunjuk Laut.

Maka sesiapa jua yang berada di tanjung itu, akan tangannya pasti menunjuk-nunjuk ke arah laut yang terbentang luas saujana mata memandang. Apa yang ditunjuk tiada siapa jua yang tahu, hanya si penunjuk yang tahu apa yang ditunjuknya. Disebabkan terlalu ramai yang mennjuk-nunjuk maka kata sepakat dicapai - namakan saja Tunjuk Laut kata si Leman sewaktu dia dan orang-orang kampung berada di hujung tanjung itu......

Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun, orang kampung makin serasi dan terlalu suka akan nama Tunjuk Laut itu. malah dikhabarkan juga jika ada orang berdagang yang datang berkunjung ke situ maka Tunjuk Laut lah tempat mereka dan bermalam. Begitulah kisahnya......



Kami berkesempatan bersantai di Tunjuk Laut Resort yang terletak bersebelahan dengan Felda Residence. Panorama yang mengasyikkan membuatkan aku terlupa sejenak akan kebingitan kota. Sungguh mendamaikan sekali. Deruan ombak yang berlagu memukul pantai diselangi jeritan sang camar yang bebas menakluki angkasa menambat rasa hati ini.

Sesekali berada jauh dari kesibukan memang sesuatu yang dicari oleh orang macam aku yang sering dihimpit urusan kerja yang tak berkesudahan. Apatah lagi berada di hujung tanjung yang indah dan mempesonakan terasa seperti tidak mahu pulang lagi ke Kuala Lumpur!

Tunjuk Laut Resort tidak kurang hebatnya berbanding Felda Residence yang menawarkan pelbagai kemudahan selesa kepada para pengunjung. Resort yang berkonsepkan secara terbuka dan lokasinya yang terletak hampir dengan pantai pasti menggamit mereka yang mencari kelainan ketika bercuti. Sesuai sekali bagi mereka yang ingin bercuti secara berpasangan, berkumpulan atau berkeluarga.

Pantainya memang menarik, cuma yang kurang menariknya, aku lihat pantainya kian terhakis sehingga sedikit sebanyak mencacatkan permandangan. Dengar khabar, pihak berkaitan akan menjalankan kerja-kerja menambak dan membuat benteng pemecah ombak bagi menghalang berlakunya hakisan.

Bersambung.....


Thursday, March 3, 2011

CERPEN SERAM - KORBAN MALAM PENGANTIN

KORBAN MALAM PENGANTIN

by Malim Rindu on Friday, February 11, 2011 at 12:44am

(Disiarkan dalam Majalah Apo? terbitan MOY Publishing Sdn Bhd 1999)

Shakila tiba-tiba jatuh terjelepok di atas pelamin. Tetamu yang sedang asyik menyaksikan pengantin bersanding menjadi kecoh. Ada yang menjerit. Masing-masing tergaman. Pak Ngah yang sedang menepung tawar Shakila juga tergaman. Azrul suami Shakila teperanjat bukan kepalang. Shakila diusung ke bilik pengantin. Pak Ngah semakin tidak keruan. 

Para tetamu yang sedang menjamu selera bawah khemah di laman juga turut terkejut. Manakala Mak Ngah, ibu kepada pengantin perempuan yang sibuk di dapur terkocoh-kocoh ke ruang tamu. Bala apa pula yang menimpa majlis perkahwinan anak sulung mereka itu?

Badan Shakila bermandikan peluh. Terdengar jeritan dari dalam bilik. Itu jeritan Mak Ngah. Tiba-tiba Shakila muntah darah. Membuak-buak. Merah pekat. Darah hidup! Meleleh keluar dari mulut Shakila. Kemudian keluar pula dari kedua-dua belah telinga Shakila. Mak Ngah makin panic. Pak Ngah pula cemas bukan main.

“Ya ALLAH! Apa dah jadi pada anak kita ni bang?” Mak Ngah cemas bukan kepalang. Tak terduga majlis perkahwinan Shakila bertukar jadi bala.

“Sabar,sabar! bawa bertenang! agaknya dia tak sihat!” Pujuk Pak Ngah menenangkan isterinya, sedangkan dia sendiri mengelabah. Mak Ngah mula melolong-lolong. Saudara-mara yang ada membantu menenangkannya.

“Tapia bang, Ila ni muntah darah. Pasti ada sesuatu yang tak kena ni? Cepat panggilkan Pak Harun! Takkan kita nak biarkan Ila macam ni sahaja?!” Mak Ngah sudah seperti orang sasau melihat keadaan Shakila. Dia mengesat peluh di muka anaknya itu. Mata Shakila terpejam rapat. Nafasnya turun naik. Sekujur badannya dibasahi peluh. Darah meleleh-leleh membasahi baju pengantin yang dipakainya. Bau hanyir menusuk-nusuk rongga hidung. Shakila masih tidak sedarkan diri. Badannya masih panas. Darah masih keluar dari mulut dan telinga dan mula membasahi cadar pengantin pula.

Azrul termenung di beranda. Kemudian mundar mandir keresahan. Malam pertama yang diimpikan sekian lama sudah tidak difikirkan lagi. Semua sudah tidak penting. Yang penting sekarang ialah nyawa isterinya. Dia akur, semua dugaan ALLAH kepada hambaNya. Dia harus bersabar dan bersedia menerima sebarang kemungkinan. Dia sejak tadi berfikir apakah punca isterinya jadi begitu. Adakah itu suatu penganiayaan? Jika benar ada orang yang menganiaya isterinya. Siapakah yang tergamak melakukannya? Siapakah yang mahu memalukan keluarga sebelah mentuanya? Siapa? Adakah dia atau Shakila dimusuhi? Dia resah, geram dan marah.

Lamunan Azrul terhenti apabila mendengar namanya dipanggil. Dia bergegas ke bilik pengantin melabuhkan punggung di sisi Shakila yang baru dinikahinya semalam. Azrul memandang wajah Shakila yang kelihatan pucat itu dengan penuh kasih sayang. Wajah Shakila ditatapnya sepenuh hati. Diusap-usap rambut Shakila. Digenggam erat-erat tangan Shakila. Inai di jari masih merah. Hiba hati Azrul melihat keadaan isterinya. Pak Harun yang dipanggil sedaya upaya untuk memulihkan keadaan. Sehabis daya Pak Harun berikhtiar. Namun darah masih tidak berhenti keluar dari mulut Shakila. Membuak-buak. Tak habis-habis Mak Ngah panic. Pak Ngah berusaha untuk kelihatan tenang.

Pak Harun menggeleng-gelengkan kepala. Wajahnya berkerut. Muka dan badannya juga berpeluh. Sekejap badannya menggigil seperti kesejukkan. Sekejap tegak seperti menarik sesuatu. Lebih kurang lima belas minit barulah Pak Harun menghela nafas. Shakila yang tadinya terbaring tiba-tiba bingkas bangun. Pantas dia melompat dari katil. Beberapa orang yang ada di situ pantas memegangnya. Azrul kemas memegang isterinya sementara yang lain cuba membaringkannya semula ke katil tetapi Shakila menggelepar. Meronta-ronta. Lima orang yang memegangnya terpelanting.

Shakila sudah dikuasai sesuatu. Kekuatannya amat luar biasa. Ada kuasa aneh yang menyerap masuk ke dalam tubuhnya. Kemudian kedengaran Shakila merungut-rungut dalam buah butir yang tidak difahami. Dia terus mahu melepaskan diri. Pak Harun menghampiri Shakila. Dia menekan ibu jarinya ke pangkal leher Shakila. Shakila menjerit sekuat hati. Jeritannya itu kedengaran hingga ke laman. Sebentar kemudian dia pengsan semula dan keadaan kembali tenteram.

Menurut Pak Harun, Shakila terkena santau dari miang buluh bercampur dengan habuk kaca. Kata Pak Harun lagi, ada orang yang sakit hati dengan mereka anak beranak. Pak Ngah dan Mak Ngah berpandangan sesama sendiri. Tak sangka. Benar-benar tidak sangka. Siapa pula yang sanggup menganiaya keluarga mereka. Setahu Pak Ngah, dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa. Setahunya, Shakila juga tidak bermusuh dengan sesiapa. Nak kata dia pernah menolak pinangan orang. Seingat mereka, tiada. Malah, tiada siapa yang datang meminang anaknya itu selain daripada keluarga Azrul. Bingung dia.

Habis, siapa punya angkara? Malam itu keadaan tenang. Shakila tidur nyenyak. Mak Ngah masih belum berenggang dengan anaknya. Masing-masing berjaga, takut-takut kalau keadaan Shakila semakin parah. Santau yang menyerap ke dalam tubuh Shakila bukan sebarangan. 

Namun, sebelum fajar menyingsing, keluarga Pak Ngah sekali lagi dikejutkan. Mak Ngah melolong-lolong. Mukanya disembam ke tubuh Shakila. Air matanya bercucuran. Pak Ngah terduduk. Azrul terdiam tak terkata.

Penangan santau yang menyerap ke tubuh Shakila terlalu ampuh. Shakila menghembuskan nafasnya yang terakhir. Azrul menangisi pemergian isteri yang baru dinikahinya. Pak Ngah terkedu menahan sebak di dada. Mak Ngah pengsan. Saudara-mara dan jiran tertangga sama-sama bersedih, sama-sama tumpang simpati dengan apa yang berlaku. 

Azrul kelihatan tenang, namun hatinya amat terhiris. Takdir menentukan segala-galanya. Dia dan Shakila bercerai mati hanya dalam tempoh dua hari selepas bernikah. Kasih sayang yang di pupuk dan dibaja sejak sekian lama akhirnya putus kerana angkara manusia yang tidak berhati perut. Namun, kasihnya tidak terlerai. Biarpun Shakila telah pergi untuk selama-lamanya dia tetap tabah menghadapi dugaan itu. Dia redha.

“Sabarlah Azrul, biarlah dia pergi dengan tenang. Ayah dan mak kehilangan anak dan kau pula kehilangan isteri, kita sama-sama kehilangan…sabarlah! Ingat banyak-banyak pada ALLAH….” Ujar Pak Ngah sambil memeluk menantunya. Keduanya tenggelam dalam kesedihan. Suasana diselubungi hiba. Azrul memandang jarinya, inai masih merah.

The End.


Catatan Perjalanan ke Tanjung Leman






Sebelum ini. aku tidak mengenali Tanjung Leman yang terletak di daerah Mersing, Johor. Pernah mendengar namanya namun tidak pernah menjejakkan kaki ke sana. Alhamdulillah, akhirnya aku tiba jua ke destinasi yang menghadap Laut China Selatan  itu pada 25hb Feb 2011.

Tiada catatan menarik sebenarnya sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tanjung Leman. Permandangan kiri dan kanan biasa sahaja, maklumlah kami menyusuri Lebuhraya Utara Selatan yang berlatarbelakangkan ladang kelapa sawit dan getah, senario biasa yang kulihat setiap kali pulang ke kampung halaman ku di Terengganu ketika melalui Lebuhraya Pantai Timur.

Tapi yang menariknya dan rasanya inilah kali pertama aku lalui - kami (aku dan rakan-rakan media termasuk rakan-rakan dari Discover Global & Tour Sdn Bhd) terpaksa menukar bas sebanyak 3 kali sebelum selamat tiba di Felda Residence Resort Tanjung Leman. Memang memenatkan perjalanan 7 jam itu. 

Begitupun, pengalaman menukar bas sebamyak 3 kali itu rasanya berbaloi kerana dapat menikmati keenakan Nasi Ayam Penyek yang ditaja oleh bos LC Catering Sdn Bhd, Haji Zaini Atan di Johor Bharu. Itulah pertama kali aku merasai kelembutan dan aroma Nasi Ayam Penyek. Memang sedap dan menyelerakan!
Kalau tak percaya, anda boleh berkunjung ke Restoran LC Catering yang terletak di Jalan Tebrau, Taman Melodies Johor Bharu. Thanks Haji Zaini.

Jam 3.30 petang, kami selamat tiba di Felda Residence Resort yang menjadi tempat penginapan kami selama 3 hari 2 malam itu. Baru 2 bulan dibuka. Tempatnya agak mengujakan meskipun lokasinya agak jauh. 


FELDA RESIDENCE RESORT TANJUNG LEMAN


View yang menarik...

bersambung..

Sunday, February 6, 2011

Edisi pertama RAJA SEHARI berada di pasaran

Alhamdulillah.....akhirnya yang ditunggu dah tiba!!!!Setelah empat bulan menanti, buah tangan sulung Karya Lagenda Enterprise menemui pembaca di minggu pertama bulan Februari 2011. Sememangnya penantian itu suatu penyiksaan kata orang, namun ianya berbaloi kerana Raja Sehari mendapat feed back yang cukup positif dari para pembaca.

Sebenarnya masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian berhubung dengan kemunculan Raja Sehari. Bagaimanapun yang pasti kehadiran Raja Sehari merancakkan lagi senarai majalah-majalah yang berkaitan dengan dunia perkahwinan. Tak kisah lah walaupun dah banyak majalah-majalah semacam itu berada di pasaran, ianya tetap sesuatu yang menarik, lagipun bukankah dalam dunia perkahwinan sentiasa sahaja ada benda baru!

Setiap majalah pastinya ada kelainan tersendiri, begitulah juga dengan Raja Sehari. Tak boleh disamakan Raja Sehari dengan majalah lain kerana ianya pasti berbeza. Kalau anda tak percaya, anda boleh mendapatkan senaskhah Raja Sehari, Harganya pun tak mahal, cuma RM7.90.

Nak tahu apa yang lainnya tentang Raja Sendiri? Kenapa tidak dapatkan senaskhah untuk anda hari ini di kedai-kedai buku berhampiran anda?

BACA DULU BARU TAHU!!!!!!!


Monday, January 17, 2011

FAKTA SENI YANG MUNGKIN ANDA NAK TAHU...

Siti Nurhaliza Pegang Rekod Paling Banyak Menang Anugerah
Siti Nurhaliza sudah memenangi lebih 100 anugerah/awards. Namun, tiada satu pun dari kemenangan tersebut datang dari bidang lakonan. Semua kemenangan adalah dalam bidang nyanyian (vokal terbaik, persembahan terbaik, album terbaik..)
Ini menggambarkan betapa unggulnya Siti Nurhaliza dalam bidang nyanyian. Artis lain yang menggabungkan kemenangan mereka dalam bidang nyanyian, penciptaan dan lakonan masih belum mampu menandingi kehebatan Siti Nurhaliza. Siti memenanginya di Malaysia, Singapura (MTV), Indonesia, Shanghai, Australia dan Kazakhstan.

Rekod Paling Lama Menunggu Untuk Buat Konsert
Ahmad Jais menunggu selama 40 tahun sebelum dapat mengadakan konsert solo. Konsert Ambang Sore diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya pada 1 Oktober 2004 adalah yang pertama untuk artis bertaraf 'terkenal' seperti Ahmad Jais, yang berumur 68 tahun.
Syarikat Casa Elegan Sdn. Bhd. menjadi syarikat pertama yang menawarkan Ahmad Jais untuk menjayakan konsert solo. Ahmad Jais sempat merakamkan 15 album dan 200 lagu sepanjang kariernya. Lagu Kuchupan Azimat adalah lagu pertama yang dirakamkan oleh Ahmad Jais iaitu pada 29 November 1965. Itu lah lagu pertama yang dinyanyikan di atas pentas ketika konsert berlangsung.

Paling Lama Jadi Artis
Tan Sri S.M Salim (Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros) telah menjadi artis selama lebih 50 tahun. Mula menyanyi lagu nasyid, zapin dan keroncong di majlis-majlis perkahwinan semasa kecil lagi. Menyertai pertandingan menyanyi Bintang Radio di Singapura pada tahun 1952 dan mendapat tempat ketiga setelah tewas kepada P.Ramlee dan R.Azmi.

Artis Pertama Bergelar Tan Sri Semasa Masih Hidup
Tan Sri S.M. Salim adalah artis pertama bergelar Tan Sri semasa masih hidup. Beliau dikurniakan pangkat "Panglima Setia Mahkota" (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Artis Pertama Bergelar Tan Sri
Seniman Agung P.Ramlee menerima pingat  Tan Sri pada Jun 1990, selepas 17 tahun beliau meninggal dunia.

Friday, January 14, 2011

PETUA MENCUCI HATI

Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati.

1 - Dirikan solat dan banyakan berdoa - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdoa sebutkan "Ya Allah jadikan hatiku bersih"

2 - Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW paling minima 100 X sebelum tidur, Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Di samping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3 - Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4 - Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati  juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.

5 - Bermaaf-maafan sesama kawan setiap hari - Semasa bermaafan, Maaf perlu disebutkan.

6 - Bisikkan kepada diri sendiri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri  sendiri. Katakanlah  "Aku sebenarnya......(perkara yang elok-elok belaka)

7 - Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur,  senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cucilah otak ku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian saikologi, apa yang disebut  sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya -CUBALAH!!

8 - Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9 - Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan,  tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa)

10 - Kekalkan wuduk

11 - Bersedekah

12 - Belanja orang makan.

13 - Jaga makanan - jangan makan makanan yang subhat

14 - Berkawan dengan ulama

15 - Berkawan dengan orang miskin (menginsafi)

16 - Pesan pada orang, jadi baik

17- Menjaga pancaindera (mata, telinga, mulut...dsb), jangan dengar  orang mengumpat.

Monday, January 10, 2011

8 Ciri Lelaki Buruan Wanita

Benarkah Wanita lebih cerewet dalam soal memilih pasangan hidupnya. Fikirkan sejenak apa kemahuan golongan hawa ini yang mungkin tersirat daripada pengetahuan lelaki..
1. Keyakinan Diri
Keyakinan diri adalah kualiti penting yang sering di cari oleh wanita, lakukan sesuatu perkara itu dengan terbaik. yang paling penting, jangan memperkecilkan kelemahan diri sendiri. Ada yang menyerah kalah sebelum berbuat apa-apa. Ini bukan sifat lelaki sejati. Sebaliknya kamu harus berikan alasan kukuh, kenapa kamu tidak boleh lakukan. penting untuk berlatih bersungguh tanpa mengenal erti putus asa dan sentiasa berfikiran positif.
2. Pandai  Buat Lawak
Jangan bercakap terlalu serius atau ketawa yang dibuat-buat. lebih teruk kalau tersengeh-sengeh tak tentu fasal. Ingat untuk menjadi seorang yang kelakar tidak semestinya kamu membuat lawak bodoh. Belajar berlawak secara spontan dan bersahaja kerana ini akan menghiburkan hatinya. Lawak bersahaja itulah yang membuatkan si dia akan terua merindui karenahmu.
3. Romantik
Wanita sebenarnya menginginkan seorang yang romantik. Ingat, romantik bukanya gatal atau miang, lelaki yang romantik adalah pandai mengambil hati dan bijak menggunakan kata-kata. Suka mengambil berat dan penyayang kata-kata. Suka mengambil berat dan penyayang juga menjadi salah satu aspek yang menarik perhatian wanita. Biar seseorang wanita itu kelihatan ‘rugged’ atau agresif. namun dalam hal teman lelaki, kebanyakannya memilih yang romantik.
4. Wang
Tidak disangkal lagi ramai wanita bersifat materialistik atau mata duitan. Mereka hanya mahukan lelaki yang berjaya dan mempunyai wang yang banyak sahaja. Selain bekerja, kamu juga boleh bergaul dengan orang kaya atau ternama yang mungkin boleh membantu kamu menjadi kaya suatu hari nanti. Belilah baju atau kasut jenama, kamu bakal mencuri pandang wanita. biar papa asal bergaya. papa dalam hal ini adalah kamu perlu menyesuaikan diri dengan gaya orang kaya. Biar terpaksa mengeluarkan wang yang lebih sedikit, namun hasilnya hanya kamu yang mendapat nikmatnya. Umpama membeli kereta BMW walaupun tanpa aksesori, ia tetap di lihat gah berbanding dengan kereta biasa yang penuh dengan aksesori.
5. Pintar
Wanita sering mengimpikan mendapat seorang lelaki yang berpenddikan dan pandai. Jika kamu berasakan kamu kurang bijak, mungkin kamu boleh mengambil langkah untuk melanjutkan pelajaran. Luangkan masa kamu mendengar berita dan rajin mengisi teka silang kata supaya tampak berilmu. Wanita suka lelaki yang bijak dan suka membaca. Tidak semesti kamu adalah seorang ahli akademik. caranya, baca ulasan buku seolah olah kamu telah membaca keseluruhan buku tersebut. pakailah cermin mata yang tidak berkuasa untuk memperlihatkan kamu bergaya seperti seorang intelek.
6. Sensitif.
Setiap kali pasangan kamu bercakap, dengarlah dengan khusyuk sambil memandang bola mata hitamnya. malah mungkin kamu boleh berkata ” saya memahami perasaan awak” bagaimanapun jangan pula kamu terlalu sensitif kerana sebagai tempat berlindung tentulah mereka memerlukan pohon yang kukuh.
7. Suka Kanak-Kanak
Wanita menganggap seorang lelaki yang bijak adalah berpengetahuan luas dalam semua bidang termasuk menjaga kenak-kanak. Hati wanita mudah tersentuh dengan lelaki yang sukakan kanak-kanak. Apabila si dia membelai kanak-kanak yang di temuinya. kamu memberikan perhatian kepadanya. Selepas itu kamu pula boleh mendukung sambil mengagah kanak-kanak itu. perbuatan kamu ini secara tidak langsung akan memperlihatkan yang kamu memang layak menjadi bapa yang penyayang.
8. Bijak Berdandan
Lelaki juga kena pandai merawat atau memanjakan tubuh. bagi yang mempunyai kulit berminyak, kamu perlu meluangkan masa untuk melakukan perawatan bagi mengelakkan jerawat atau penyakit kulit yang lain muncul. Selain berpakaian kemas dan sesuai. Kebersihan tubuh juga hendaklah diberi tumpuan. Kuku hendaklah dipotong rapi dan bersih. pendek kata, kebersihan tubuh mesti di jaga kerana ia memberikan kesan kepada hubungan kamu dan si dia nanti.
Apapun, tiada lelaki yang sempurna, namun kamu boleh berpura-pura menjadi sempurna. perlu di ingatkan, kamu semestinya mempunyai kelebihan yang tertentu. jadikan gunakan kelebihan itu dengan sebaik mungkin. yang penting kamu mampu melakukan sesuatu yang terbaik. Sementara yang selebihnya kamu bolehlah berpura-pura. Jika segalanya berjalan lancar dan hatinya sudah berjaya di tawan, tidak mustahil si dia akan menjadi permaisuri hidupmu.