Thursday, December 27, 2018

FENOMENA AIR LAUT SURUT

🔴 PABILA OMBAK MENGHEMPAS PANTAI
> simfoni alam anugerah Ilahi

Satu Malaysia heboh apabila tular di laman sosial foto air laut surut di Kuala Dungun dan Pantai Teluk Lipat, Dungun, Terengganu.

Ada yang memberi amaran ia adalah petanda Tsunami akan melanda hingga mencemaskan warga Dungun.

Sebenarnya fenomena tersebut bukanlah sesuatu yang luarbiasa, ganjil atau misteri. Bagi warga Dungun, ia fenomena biasa akhir tahun atau awal tahun. Ia juga berkaitan dengan aktiviti bulan purnama.

Saya teringat waktu saya di Tingkatan Enam dahulu (akhir 80an), saya bersama rakan karib sering lepak di belakang sekolah rendah Cina di Kuala Dungun pada waktu petang. Port kami tu memang strategik.

Ketika itu kawasan tersebut belum ada jalan raya seperti sekarang. Ramai juga yang datang memancing di situ.



Apabila air laut surut, kami dan pengunjung lain berjalan-jalan di beting pasir yang muncul itu hingga ke tengah laut. Yang berkeluarga bersama anak kecil bermain-main di pasiran pantai yang putih keemasan.

Bukan selalu, bukan setiap hari kita berpeluang berjalan di tengah laut yang sebelumnya penuh dengan air terdampar luas saujana mata memandang.

Ia memang suatu pengalaman yang indah sebab bukan semua orang berpeluang berjalan di tengah laut kemudian memandang dan menikmati panorama indah di daratan (tanah besar).

Begitupun waktu itu, belum ada internet dan media sosial seperti sekarang. Yang ada cuma radio dan tv serta kamera. Namun fenomena seumpama itu tidak pula menjadi hebahan kerana ia perkara biasa di sini.

Zaman sekarang serba pantas dan canggih, sesaat sahaja kita sudah ketahui pelbagai cerita dan berita dari seluruh pelusuk dunia. Semuanya di hujung jari.

Fenomena air surut dan kewujudan beting pasir adalah simfoni alam anugerah Allah SWT.  Ia adalah sebahagian dari kehidupan dunia. Dan kita wajib mengsyukurinya.

* foto ehsan warga Dungun

No comments:

Post a Comment