MISTERI PUSARA BERCAHAYA DI SUNGAI MANIK
(Ini adalah catatan pengalaman saya sewaktu melakukan tugasan sewaktu saya bertugas di akhbar Mingguan Perdana satu ketika dulu)
Aku dan Azman dalam perjalanan ke Sungai Manik di Perak untuk membuat tugasan satu kejadian aneh lagi misteri - sebuah pusara yang didakwa bercahaya atau mengeluarkan cahaya oleh para penduduk sebuah kampung di kawasan tersebut.
Tidak banyak maklumat yang aku dapat berhubung kejadian misteri itu namun aku sudah merencana beberapa langkah dan strategi untuk menyiapkan tugasan tersebut. Sudah menjadi kelazimanku, jika diberi tugasan luar (out station) aku akan membuat research sebelum berangkat.
Sebagai wartawan, aku sudah biasa menjelajah ceruk kampung, hutan, pulau dan sebagainya mencari cerita dan berita. Itu semua mesti kutempuhi. Aku tidak terikat dengan satu jurusan sahaja. Bukan mahu mendabik dada namun itulah aku, all rounder. Dan bos aku memang faham benar stail kerja aku.
Setibanya di Teluk Intan, kami berhenti untuk lunch dan berbincang apa yang patut. Cuaca nampak baik sekali bagaikan merahmati perjalanan kami.
Setelah mendapat panduan dari seorang jemaah surau sewaktu kami singgah untuk menunaikan solat Zuhur, kami segera ke lokasi yang dimaksudkan kerana tugasan harus diselesaikan sebelum senja. Kami tidak mahu bermalam di kampung tersebut. Kami perlu pulang ke Kuala Lumpur sebaik tugasan selesai.
Kami menuju ke rumah keluarga yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan arwah yang dikaitkan dengan pusara bercahaya itu namun malangnya setibanya kami di sana, rumah berkenaan sepi tak berpenghuni.
Akhirnya kami mengambil keputusan ke Tanah Perkuburan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas dan maklumat terperinci tentang kejadian aneh lagi misteri itu.
Setibanya di sana, kelihatan beberapa orang penduduk sedang berbual sesama sendiri sambil tangan mereka menunjukkan sesuatu ke arah tanah perkuburan tersebut. Aku merapati mereka untuk mendapatkan sedikit maklumat.
Aku mengarahkan Azman merakamkan beberapa keping foto yang bersesuaian dengan cerita yang akan kukarang nanti.
Dari perbualanku dengan mereka, aku dimaklumkan kejadian aneh itu sudah hampir seminggu berlaku dan cahaya misteri itu didakwa muncul pada waktu senja dan malam.
Pusara tersebut adalah milik Hajah Siah Hj Tamin, seorang penduduk yang tinggal di Sungai Manik,
Menurut mereka, sejak itu, berduyun-duyun penduduk kampung dan orang luar datang untuk menyaksikan sendiri dan memastikan kesahihan kejadian tersebut. Ada yang sanggup menunggu dari siang hingga ke malam!
Dari pengamatan dan tinjauan aku, tiada apa-apa yang luarbiasa atau tanda-tanda perbuatan manusia yang boleh dikaitkan dengan kejadian misteri tersebut.
Namun, misteri tetap jua misteri yang sememangnya sukar difahami, diduga dan diterima akal manusia. Sukar untuk ditafsirkan tapi hakikatnya ia adalah petunjuk dan sesuatu yang berhubungkait dengan kehidupan manusia.
Penduduk terawal yang menyedari dan menyaksikan kejadian misteri itu adalah seorang wanita yang rumahnya terletak kira-kira 50 meter dari tanah perkuburan tersebut. Ketika itu beliau sedang membersihkan halaman rumah dan mendakwa ternampak cahaya biru kehijauan yang menerangi suatu sudut di tanah perkuburan itu.
Pada awalnya Makcik Rokiah (bukan nama sebenar) tidak merasakan sesuatu yang ganjil kerana beranggapan mungkin ada seseorang membuat kerja di situ.
Bagaimanapun, kejadian sama berulang keesokkan harinya, namun cahaya itu muncul di waktu malam. Ia mengundang rasa pelik lantas menceritakan kepada suaminya tentang apa yang dilihatnya.
Seorang lagi saksi, juga seorang penduduk yang tinggal berhampiran tanah perkuburan tersebut mendakwa, bukan semua orang dapat menyaksikan cahaya misteri itu. Hanya insan terpilih yang dibuka hijabnya sahaja yang diberi keistimewaan oleh Allah SWT.
Menurut Pak Ismail (bukan nama sebenar), pusara yang didakwa bercahaya itu adalah milik seorang wanita yang semasa hayatnya mengajar kanak-kanak mengaji. Arwah juga dikatakan seorang yang sangat pemurah dan suka bersedekah. Selain itu, arwah sangat disenangi jiran tetangga dan penduduk sekitar kerana peribadinya yang luhur, mesra dan suka membantu orang susah.
Pendekata, jika dinilai latarbelakang, kehidupan dan peribadi arwah pastinya ia bukanlah perkara ganjil jika Allah SWT mahu meningkatkan martabat dan darjat seseorang hambaNya samada hambaNya itu masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.
Begitulah hujah Pak Ismail sambil memuji kebesaran Allah SWT. Itu semua pedoman untuk kita yang masih hidup.
No comments:
Post a Comment