Friday, April 13, 2018

ANAK KU DIAMBIL BUNIAN

(Disiarkan di akhbar Mingguan Tempo tahun 1993)

TOLONG PULANGKAN EMI...

Prolog
Ini adalah pengalaman aku menemubual sebuah keluarga yang kehilangan anak lelaki berumur 2 tahun di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, Selangor. Kejadian misteri ini berlaku pada tahun 1993. Sudah 25 tahun berlalu. Aku pun sudah lupa nama ketua keluarga tersebut tapi nama anaknya yang hilang itu masih kuingati.

Ini juga merupakan antara tugasan terawalku sebagai wartawan.
                              ***********

Misteri kehilangan Emi benar-benar mengejutkan penduduk Kampung Melayu Wira Damai. Belum pernah lagi dalam sejarah kampung tersebut berlaku kejadian seperti itu. Lebih mengejutkan kehilangannya langsung tidak meninggalkan sebarang jejak atau petunjuk. 

Timbul pelbagai pendapat dan pandangan di kalangan penduduk. Ada yang kata Emi diculik tapi kalau betul kanak-kanak malang itu diculik untuk apa dia diculik. Keluarganya bukan orang kaya, tambahan pula tiada sesiapapun yang menghubungi keluarganya menuntut wang tebusan!

Beberapa hari sebelum kehilangan Emi, ibunya bermimpi didatangi seorang lelaki berjubah putih, berserban dan berjanggut putih. Anehnya wanita itu bermimpi hal yang sama berulang kali.

Ketika kejadian, Emi dikatakan sedang bermain sendirian di depan rumahnya manakala rumah jiran terdekat yang terletak berhadapan hanya berjarak 5 meter. Si ibu ketika itu sedang sibuk menyediakan juadah untuk berbuka puasa maghrib nanti.

Tergerak hatinya untuk melihat Emi yang ditinggalkan sebentar tadi, si ibu lantas ke muka pintu namun kelibat Emi langsung tidak kelihatan. Setelah puas mencari di dalam rumah dan di kawasan sekitar Emi tidak juga ditemui.

Hati ibu mana yang tidak risau bila anak kesayangan yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa tiba-tiba hilang begitu sahaja. Lesap sekelip mata. Hancur luluh hati si ibu. Berderai air mata gugur tidak berhenti.

Emi, anak kecil yang keletah dan bijak berkata-kata sememangnya menjadi tumpuan jiran-jiran. Emi jua lah penghibur keluarga tersebut. Namun kini Emi hilang secara misteri. 

Sejam kemudian penduduk kampung mula berkumpul dan gerakan mencari mula dilakukan. Rumah-rumah di kawasan sekitar diperiksa namun Emi masih tidak juga ditemui. 

Malam itu beberapa orang bomoh dan pengamal perubatan tradisional dipanggil untuk membantu mengesan Emi namun semuanya tidak membuahkan hasil. Mereka cuma berkata Emi dilarikan oleh sesuatu yang tak dapat dilihat oleh mata kasar!

Selang beberapa hari ibu si Emi bermimpi didatangi lelaki berjubah putih yang pernah muncul dalam mimpinya sebelum itu. Lelaki berjubah putih itu memberitahu wanita berkenaan bahawa anaknya itu berada dalam keadaan selamat di bawah jagaannya. 

Menurut lelaki berjubah putih itu lagi, Emi seorang kanak-kanak  istimewa dan beliau mengambilnya sebagai anak angkatnya. Lelaki itu juga berpesan agar wanita itu tidak risau dengan kehilangan Emi kerana sampai masa nanti Emi akan dihantar pulang dengan selamat namun lelaki berjubah putih itu tidak pula menyatakan berapa lama dan sampai bila Emi akan berada di dunianya.

Berhubung dengan misteri kehilangan Emi itu aku bertanyakan kepada seorang kenalan (guru silat terkenal) tentang kejadian tersebut.

Beliau mendakwa kawasan kampung berkenaan berkemungkinan besar merupakan penempatan orang bunian dan waktu kejadian/kehilangan Emi (tengahari) merupakan waktu orang bunian keluar bersiar-siar dari perkampungan mereka.

Sewaktu aku mendengar penjelasan tersebut, tidak semena mena bulu romaku meremang! Malah guru silat berkenaan turut berasa seperti yang aku rasai.

Beberapa tahun berlalu dan aku kembali berjumpa keluarga Emi namun khabar sedih yang kuterima Emi masih tidak ditemui atau dalam erti kata lain Emi masih belum dipulangkan...

Benarkah Kampung Melayu Wira Damai merupakan kawasan perkampungan bunian? Dan aku tidak menolak dakwaan itu!

Ikuti blog saya; Http://malimrindu.blogspot.com




No comments:

Post a Comment