Wednesday, October 31, 2018

MEMORI ZAMAN REMAJA

BOLA LAWAN KAMPUNG

Pelik bunyinya kan? Baca sampai habis cerita ini untuk mengetahui apa itu Bola Lawan Kampung.

Salah satu memori indah zaman remajaku ketika penghujung tahun 70an dan 80an pastinya adalah berkisar tentang permainan. Seperti remaja yang lain, aku memang minat bolasepak dan disebabkan minat ku itu, aku dipilih mewakili sekolahku, SK Batu 48, Dungun, Terengganu ke pertandingan peringkat daerah.

Selain bermain untuk sekolah, aku juga mewakili pasukan bolasepak untuk rumah sukan Delima (Merah) ketika di bangku sekolah. Ada tiga lagi pasukan iaitu Nilam (Hijau), Zamrud (Biru) dan Intan (Kuning).

Boleh dikatakan setiap petang jika tiada aktiviti di sekolah, aku akan bermain bolasepak di padang kampungku bersama rakan-rakan sekampung yang sebaya. Ada juga beberapa rakan dari kampung lain yang tumpang bermain.

Ketika itu keluargaku menyewa sebuah rumah di Jalan Bunga Raya dan jarak padang tersebut dari rumahku hanyalah 5 minit jika berbasikal.

Selain bermain dengan rakan-rakan sekampung, kami juga mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa kampung lain seperti Kampung Sungai Buaya, Sungai Udang, Padang Jambu, Sura, Alor Tembesu dan beberapa kampung lain.



Dari sinilah munculnya istilah LAWAN KAMPUNG di mana beberapa orang wakil dari pihak kami akan berunding dengan pihak kampung lawan membincangkan tarikh, padang dan masa untuk berentap.

Tiada hadiah diberikan. Hanya sekadar suka-suka. Tetapi kampung yang menang akan diberikan hak untuk bercakap besar dan berbangga dengan kemenangan. Tiada jurulatih dan pengurus tetapi ketua pasukan akan menentukan siapa yang akan turun bermain. Biasanya perlawanan diadakan pada petang Jumaat atau Sabtu kerana di Terengganu itu adalah hari cuti.

Tempoh permainan biasanya sejam atau lebih bergantung kepada cuaca atau keadaan semasa. Kebiasaannya kami akan berentap di padang rasmi sekolah di mana-mana kampung.

Had umur juga tidak terhad. Tapi semestinya tidak lebih dari Tingkatan 5 atau bawah 17 tahun. Atas pada tu dah dikira dewasa.

Antaran beberapa nama rakan sepasukanku yang masih kuingat ialah Nordin, Hamdan, Zakaria, Rosli, Anuar, Azman, Manan, Kassim, Karim, Adnan  dan Raziman.



Disebabkan zaman tu, kami kurang mampu, ada yang hanya memakai guard (kain elastik) yang dibeli di kedai barangan sukan sebagai pengganti boot (kasut bola). Ada juga yang memakai kasut sekolah malah ada yang berkaki ayam!

Maklum sajalah waktu itu, harga boot antara RM40 ke atas. Nilai duit tinggi. Kami yang masih bersekolah tidak mampu nak beli. Sekarang ni harga boot sudah mencecah ratusan ringgit bergantung kepada jenama.

Akhirnya dapat juga aku beli sepasang boot Adidas (stud 13) hasil menabung dan sedikit tambahan dari ayahku. Harganya aku dah lupa tapi rasanya kira-kira RM50.

Walaupun kini aku sudah bersara dari bermain bolasepak atau gantung boot, aku masih lagi memberikan sokongan kepada pasukan negeriku Terengganu, team Malaysia dan semestinya kelab kesayanganku Liverpool!

Sememangnya sungguh indah zaman remaja dahulu sebab waktu itu tiada gajet seperti sekarang. Tiada hp, tiada komputer. Yang ada cuma radio dan TV sebagai hiburan. Jika ada duit ldbih barulah ke pawagam menontong wayang.

Betullah kata orang zaman remaja adalah zaman paling indah...




No comments:

Post a Comment