Bersama Pak Sam (Syamsuar Hasyim vokalis D'lloyd) dan Pak Bartje (Van Houten) serta rakan wartawan, Fariza Saidin dan Wan Manisah.
Oh Tuhan Yang Kuasa
Berilah Petunjuk Mu
Betapa Pedih Ku Rasakan
Kasih Ku Tak Sampai.....
Demikian sebahagian bait-bait lirik lagu Mengapa Harus Jumpa dendangan kumpulan D'lloyd yang amat meruntun hati sang pendengar. Itu adalah antara lagu hits yang menjadi siulan para peminat sehingga kini.
Sedar tak sedar sudah hampir 40 tahun D'lloyd mengabdikan diri mereka kepada muzik. Ternyata lagu-lagu mereka masih utuh bertahan dan tetap evergreen. Bukan hanya kepada peminat dan pendengar di Indonesia malah nama D'lloyd cukup tersohor di Malaysia. Begitulah kuatnya pengaruh kepada peminat seni suara di Nusantara.
Mengimbau zaman kanak-kanakku dan zaman remajaku, aku membesar dengan lagu-lagu D'lloyd, aman sekali rasanya apabila mendengar lagu-lagu merela diputarkan dicorong-corong radio. malah aku sendiri memiliki beberapa album (ketika itu kaset) mereka. Siap kuhafal lagi lagu-lagu mereka!
Saban hari aku mendengarnya tanpa jemu. Kelunakan suara Sam (Syamsuar Hasyim) vokalis D'lloyd ditambah dengan melodi yang menarik membuatkan lagu-lagu mereka sangat mengesankan.
Sebenarnya banyak sekali lagu-lagu D'lloyd yang meniti di bibir peminat. Antaranya Keagungan Tuhan, Tak Mungkin, Oh Di Mana, Karena Nenek, Semalam di Malaysia, Cinta Hampa dll.
Setelah sekian lama menjadi peminat dan pendengar setia D'lloyd, aku berkesempatan bertemu dengan mereka awal Mac lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, kebetulan mereka hadir untuk sidang media konsert mereka di Istana Budaya pada 6-8 Mei 2011.
Apa yang menariknya sewaktu sidang media itu, rakan-rakan wartawan termasuk jurukamera dan mereka yang hadir di majlis itu semuanya menyanyi bersama Pak Sam ketika beliau mendendangkan beberapa lagu hitsnya dengan diiringi petikan gitar Pak Bartje. Sehinggakan Pak Sam menitiskan airmata dek terlalu terharu dengan sambutan rakan-rakan di Malaysia.
Sempat juga aku bertanyakan pada Pak Bartje (Van Houten) ketua kumpulan dan gitar utama D'lloyd, apa rahsia kejayaan mereka dan apa yang tersirat dalam lagu mereka sehingga ia kekal diminati sehingga kini.
Menurutnya, lagu-lagu itu dihasilkan dengan tulus ikhlas, lahir dari hati nurani yang jujur dan suci. Lagu-lagu itu juga menyentuh aspek kemanusiaan dan jiwa raga manusia itu sendiri dilontarkan secara benar dan bukan dibuat-buat.
Tambah Pak Bartje lagi, ketika lagu-lagu itu dihasilkan, melodinya memang luhur dan tidak dicemari oleh muzik bising atau muzik keras seperti zaman sekarang. Muzik ketika itu masih bersih dan kekal KeMelayuannya. Kerana itulah ia tetap diminati sehingga kini.
Zaman 70an, pengaruh muzik luar terutama dari Barat tidak begitu ketara. Bukan seperti zaman sekarang yang terlalu banyak genre muzik.
Ternyata benar sekali jawaban Pak Bartje kerana pada pandanganku (mungkin juga pada pandangan pembaca) lagu lama lebih dekat pada jiwa kita. Lebih jujur dan lebih menyelami hati dan perasaan kita. Secara tepatnya, lagu-lagu lama adalah cermin diri kita. Liriknya indah dan mudah difahami. membawa maksud yang mendalam, tidak seperti lirik sekarang yang terlalu metafora dan berbelit-belit sehingga kita tidak tahu di mana pangkal dan di mana hujungnya!
Aku bukanlah mengagungkan D'lloyd tetapi tidak salah meminati mereka dan membesar dengan lagu-lagu dendangan mereka. Bagiku D'lloyd tiada galang gantinya.....
No comments:
Post a Comment