Thursday, March 3, 2011

CERPEN SERAM - KORBAN MALAM PENGANTIN

KORBAN MALAM PENGANTIN

by Malim Rindu on Friday, February 11, 2011 at 12:44am

(Disiarkan dalam Majalah Apo? terbitan MOY Publishing Sdn Bhd 1999)

Shakila tiba-tiba jatuh terjelepok di atas pelamin. Tetamu yang sedang asyik menyaksikan pengantin bersanding menjadi kecoh. Ada yang menjerit. Masing-masing tergaman. Pak Ngah yang sedang menepung tawar Shakila juga tergaman. Azrul suami Shakila teperanjat bukan kepalang. Shakila diusung ke bilik pengantin. Pak Ngah semakin tidak keruan. 

Para tetamu yang sedang menjamu selera bawah khemah di laman juga turut terkejut. Manakala Mak Ngah, ibu kepada pengantin perempuan yang sibuk di dapur terkocoh-kocoh ke ruang tamu. Bala apa pula yang menimpa majlis perkahwinan anak sulung mereka itu?

Badan Shakila bermandikan peluh. Terdengar jeritan dari dalam bilik. Itu jeritan Mak Ngah. Tiba-tiba Shakila muntah darah. Membuak-buak. Merah pekat. Darah hidup! Meleleh keluar dari mulut Shakila. Kemudian keluar pula dari kedua-dua belah telinga Shakila. Mak Ngah makin panic. Pak Ngah pula cemas bukan main.

“Ya ALLAH! Apa dah jadi pada anak kita ni bang?” Mak Ngah cemas bukan kepalang. Tak terduga majlis perkahwinan Shakila bertukar jadi bala.

“Sabar,sabar! bawa bertenang! agaknya dia tak sihat!” Pujuk Pak Ngah menenangkan isterinya, sedangkan dia sendiri mengelabah. Mak Ngah mula melolong-lolong. Saudara-mara yang ada membantu menenangkannya.

“Tapia bang, Ila ni muntah darah. Pasti ada sesuatu yang tak kena ni? Cepat panggilkan Pak Harun! Takkan kita nak biarkan Ila macam ni sahaja?!” Mak Ngah sudah seperti orang sasau melihat keadaan Shakila. Dia mengesat peluh di muka anaknya itu. Mata Shakila terpejam rapat. Nafasnya turun naik. Sekujur badannya dibasahi peluh. Darah meleleh-leleh membasahi baju pengantin yang dipakainya. Bau hanyir menusuk-nusuk rongga hidung. Shakila masih tidak sedarkan diri. Badannya masih panas. Darah masih keluar dari mulut dan telinga dan mula membasahi cadar pengantin pula.

Azrul termenung di beranda. Kemudian mundar mandir keresahan. Malam pertama yang diimpikan sekian lama sudah tidak difikirkan lagi. Semua sudah tidak penting. Yang penting sekarang ialah nyawa isterinya. Dia akur, semua dugaan ALLAH kepada hambaNya. Dia harus bersabar dan bersedia menerima sebarang kemungkinan. Dia sejak tadi berfikir apakah punca isterinya jadi begitu. Adakah itu suatu penganiayaan? Jika benar ada orang yang menganiaya isterinya. Siapakah yang tergamak melakukannya? Siapakah yang mahu memalukan keluarga sebelah mentuanya? Siapa? Adakah dia atau Shakila dimusuhi? Dia resah, geram dan marah.

Lamunan Azrul terhenti apabila mendengar namanya dipanggil. Dia bergegas ke bilik pengantin melabuhkan punggung di sisi Shakila yang baru dinikahinya semalam. Azrul memandang wajah Shakila yang kelihatan pucat itu dengan penuh kasih sayang. Wajah Shakila ditatapnya sepenuh hati. Diusap-usap rambut Shakila. Digenggam erat-erat tangan Shakila. Inai di jari masih merah. Hiba hati Azrul melihat keadaan isterinya. Pak Harun yang dipanggil sedaya upaya untuk memulihkan keadaan. Sehabis daya Pak Harun berikhtiar. Namun darah masih tidak berhenti keluar dari mulut Shakila. Membuak-buak. Tak habis-habis Mak Ngah panic. Pak Ngah berusaha untuk kelihatan tenang.

Pak Harun menggeleng-gelengkan kepala. Wajahnya berkerut. Muka dan badannya juga berpeluh. Sekejap badannya menggigil seperti kesejukkan. Sekejap tegak seperti menarik sesuatu. Lebih kurang lima belas minit barulah Pak Harun menghela nafas. Shakila yang tadinya terbaring tiba-tiba bingkas bangun. Pantas dia melompat dari katil. Beberapa orang yang ada di situ pantas memegangnya. Azrul kemas memegang isterinya sementara yang lain cuba membaringkannya semula ke katil tetapi Shakila menggelepar. Meronta-ronta. Lima orang yang memegangnya terpelanting.

Shakila sudah dikuasai sesuatu. Kekuatannya amat luar biasa. Ada kuasa aneh yang menyerap masuk ke dalam tubuhnya. Kemudian kedengaran Shakila merungut-rungut dalam buah butir yang tidak difahami. Dia terus mahu melepaskan diri. Pak Harun menghampiri Shakila. Dia menekan ibu jarinya ke pangkal leher Shakila. Shakila menjerit sekuat hati. Jeritannya itu kedengaran hingga ke laman. Sebentar kemudian dia pengsan semula dan keadaan kembali tenteram.

Menurut Pak Harun, Shakila terkena santau dari miang buluh bercampur dengan habuk kaca. Kata Pak Harun lagi, ada orang yang sakit hati dengan mereka anak beranak. Pak Ngah dan Mak Ngah berpandangan sesama sendiri. Tak sangka. Benar-benar tidak sangka. Siapa pula yang sanggup menganiaya keluarga mereka. Setahu Pak Ngah, dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa. Setahunya, Shakila juga tidak bermusuh dengan sesiapa. Nak kata dia pernah menolak pinangan orang. Seingat mereka, tiada. Malah, tiada siapa yang datang meminang anaknya itu selain daripada keluarga Azrul. Bingung dia.

Habis, siapa punya angkara? Malam itu keadaan tenang. Shakila tidur nyenyak. Mak Ngah masih belum berenggang dengan anaknya. Masing-masing berjaga, takut-takut kalau keadaan Shakila semakin parah. Santau yang menyerap ke dalam tubuh Shakila bukan sebarangan. 

Namun, sebelum fajar menyingsing, keluarga Pak Ngah sekali lagi dikejutkan. Mak Ngah melolong-lolong. Mukanya disembam ke tubuh Shakila. Air matanya bercucuran. Pak Ngah terduduk. Azrul terdiam tak terkata.

Penangan santau yang menyerap ke tubuh Shakila terlalu ampuh. Shakila menghembuskan nafasnya yang terakhir. Azrul menangisi pemergian isteri yang baru dinikahinya. Pak Ngah terkedu menahan sebak di dada. Mak Ngah pengsan. Saudara-mara dan jiran tertangga sama-sama bersedih, sama-sama tumpang simpati dengan apa yang berlaku. 

Azrul kelihatan tenang, namun hatinya amat terhiris. Takdir menentukan segala-galanya. Dia dan Shakila bercerai mati hanya dalam tempoh dua hari selepas bernikah. Kasih sayang yang di pupuk dan dibaja sejak sekian lama akhirnya putus kerana angkara manusia yang tidak berhati perut. Namun, kasihnya tidak terlerai. Biarpun Shakila telah pergi untuk selama-lamanya dia tetap tabah menghadapi dugaan itu. Dia redha.

“Sabarlah Azrul, biarlah dia pergi dengan tenang. Ayah dan mak kehilangan anak dan kau pula kehilangan isteri, kita sama-sama kehilangan…sabarlah! Ingat banyak-banyak pada ALLAH….” Ujar Pak Ngah sambil memeluk menantunya. Keduanya tenggelam dalam kesedihan. Suasana diselubungi hiba. Azrul memandang jarinya, inai masih merah.

The End.


No comments:

Post a Comment