Pertama kali mendengar nama Tunjuk Laut, aku terpaut hati untuk mengetahui apa yang tersirat di sebalik nama Tunjuk Laut yang begitu unik itu. Kata orang, apa ada pada nama...tapi bagiku sesuatu nama itu membawa pengertian dan maksud yang tersendiri. Nama juga adalah pengenalan dan identiti tak kiralah untuk manusia, haiwan, tempat dan apa saja yang mempunyai nama. Kalau namanya pelik maka peliklah maksudnya, kalau namanya unik, maka sudah tentulah unik juga maknanya.
Kenapa Tunjuk Laut? Tunjuk Laut di Tanjung Leman. Apa kaitannya Tunjuk Laut dengan Tanjung Leman? Pelik tapi menarik! Siapa pula Leman ni? Apa kaitannya dengan Tunjuk Laut?
Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta, dah kenal baru rasa nak bercinta...alkisahnya Tunjuk Laut itu membawa maksud menunjuk ke arah laut - kerana lokasinya yang terletak paling hujung di Tanjung Leman, mungkin Leman lah orangnya yang suka menunjuk-nunjuk ke arah laut maka dikhabarlah sekalian orang kampung bahawa itulah tempatnya yang bernama Tunjuk Laut.
Maka sesiapa jua yang berada di tanjung itu, akan tangannya pasti menunjuk-nunjuk ke arah laut yang terbentang luas saujana mata memandang. Apa yang ditunjuk tiada siapa jua yang tahu, hanya si penunjuk yang tahu apa yang ditunjuknya. Disebabkan terlalu ramai yang mennjuk-nunjuk maka kata sepakat dicapai - namakan saja Tunjuk Laut kata si Leman sewaktu dia dan orang-orang kampung berada di hujung tanjung itu......
Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun, orang kampung makin serasi dan terlalu suka akan nama Tunjuk Laut itu. malah dikhabarkan juga jika ada orang berdagang yang datang berkunjung ke situ maka Tunjuk Laut lah tempat mereka dan bermalam. Begitulah kisahnya......
Kami berkesempatan bersantai di Tunjuk Laut Resort yang terletak bersebelahan dengan Felda Residence. Panorama yang mengasyikkan membuatkan aku terlupa sejenak akan kebingitan kota. Sungguh mendamaikan sekali. Deruan ombak yang berlagu memukul pantai diselangi jeritan sang camar yang bebas menakluki angkasa menambat rasa hati ini.
Sesekali berada jauh dari kesibukan memang sesuatu yang dicari oleh orang macam aku yang sering dihimpit urusan kerja yang tak berkesudahan. Apatah lagi berada di hujung tanjung yang indah dan mempesonakan terasa seperti tidak mahu pulang lagi ke Kuala Lumpur!
Tunjuk Laut Resort tidak kurang hebatnya berbanding Felda Residence yang menawarkan pelbagai kemudahan selesa kepada para pengunjung. Resort yang berkonsepkan secara terbuka dan lokasinya yang terletak hampir dengan pantai pasti menggamit mereka yang mencari kelainan ketika bercuti. Sesuai sekali bagi mereka yang ingin bercuti secara berpasangan, berkumpulan atau berkeluarga.
Pantainya memang menarik, cuma yang kurang menariknya, aku lihat pantainya kian terhakis sehingga sedikit sebanyak mencacatkan permandangan. Dengar khabar, pihak berkaitan akan menjalankan kerja-kerja menambak dan membuat benteng pemecah ombak bagi menghalang berlakunya hakisan.
Bersambung.....
bagilah komen...jangan duk baca je...heheheheheh
ReplyDelete