Sunday, October 13, 2019

BAS MINI WILAYAH (BMW) - Episod 2

BAS MINI WILAYAH (BMW)

Episod 2

AKU DAN BAS MINI

Rasanya sebilangan besar warga kota yang hidup era 70an, 80an dan 90an pasti ada kisah suka dan suka ketika menggunakan pengangkutan awam Bas Mini. Tak terkecuali aku!

Tak payahlah aku cerita panjang lebar tentang fizikal bas mini dan situasi dalam bas. Semua orang tahu, sebut sahaja bas mini pasti terbayang bas yang dipandu laju, padat dan sendat dengan penumpang, konduktornya yang melaung-laung  destinasinya sambil melambai-lambai memanggil penumpang, bas yang boleh 'shortcut' laluan, boleh mencilok kenderaan lain, siap panjat penghadang jalan dan bermacam karenah lagi.

Tapi paling best, aku suka naik bas mini sebab tambangnya murah dan boleh dengar lagu. Masa tu zaman rock kapak! Macam-macam lagu boleh dengar. Tapi selalunya lagu kumpulan IKLIM jadi pilihan bas-bas mini ni.

Dekat atau jauh destinasi yang kita tuju tambangnya tetap sama. Mula-mula harga tambangnya 40 sen, lepas tu 50 sen, kemudian 60 sen dan yang terakhir 70 sen. Tapi masa tu memang murah gila tambangnya!

Bas Mini nombor 10, 20, 33 dan 34 sangat sinonim dengan aku. Bas-bas inilah yang paling kerap aku naik. Nanti aku ceritakan satu persatu.



                                     Penumpang Setia

Selepas menerima tawaran bertugas sebagai wartawan di akhbar tabloid Mingguan Tempo yang berpejabat di Taman Permata, Hulu Kelang pada awal 1993, aku kembali menetap di Selayang Bharu.

Sebenarnya waktu kecil dahulu, aku tinggal di Kepong dan juga Selayang Bharu. Arwah bapaku bertugas di FRIM (Institiut Perhutanan Malaysia). Apabila cuti sekolah, aku akan tinggal di rumah Datuk Saudaraku, Pak Su Jan di Selayang Bharu. Jadi aku membesar di rumah saudaraku yang sarat dengan memori. Rumah tersebut (dahulunya rumah papan, kini konkrit) berjiran dengan Balai Polis Selayang Bharu.

Disebabkan aku tiada kenderaan waktu itu maka bas minilah yang jadi pengangkutan rasmi aku.

Dari Selayang Bharu, aku menuju ke ibukota menaiki bas mini nombor 10 yang melalui Jalan Kucing, Jalan Ipoh, Chow Kit, Jalan Raja Abdullah (Kg Baru KL), Lebuh Ampang dan tamat di Bangkok Bank. Agak jauh juga perjalanannya.

Biasanya jam 6.30 pagi aku dah tercongok tunggu bas sebab aku masuk kerja jam 9.00 pagi. Pagi-pagi lagi bas dah sendat dan padat dengan penumpang. Maklumlah mereka macam aku juga mengejar waktu! Waktu pagi satu bas berbau wangi dan harum. Semerbak! Waktu petang apabila semua penumpang berebut untuk pulang ke rumah, bau toksah cakaplah!

Bila bas melalui Jalan Kucing, sempatlah aku mengimbau memori silam sewaktu zaman kanak-kanak memerhati beberapa buah kapal korek sedang beroperasi melombong bijih timah di kiri dan kanan jalan. Kini, kawasan lombong itu bertukar menjadi premis perniagaan, taman perumahan, pejabat, taman reakriasi dan macam-macam lagi.

Kadang kala terfikir jugak aku bagaimana mereka boleh mencipta kapal korek yang sebesar itu tapi boleh terapung di atas air. Tapi aku memang suka tengok kapal korek! Maklumlah kanak-kanak. Suka tengok benda pelik-pelik.

Aku sebenarnya ada dua pilihan untuk ke pejabat di Taman Permata, Hulu Kelang. Samada turun di 'Pulau' Chow Kit, (wargakota tentu tahu apa Pulau tu) tunggu bas mini nombor 17 atau ambik bas panjang Len Seng nombor 170 atau 191. Bas Len Seng ni popular juga. Dalam filem Masam Masam manis lakonan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee ada memaparkan babak P Ramlee naik bas Len Seng yang melalui Jalan Pahang dan Jalan Genting Kelang (Setapak) Ketiga-tiga bas itu menuju ke Taman Melawati yang berjiran dengan Taman Permata. Cuma perlu menyeberang jalan dan menapak sikit.

Aku turun di Jalan Raja Abdullah untuk mengambil bas mini nombor 20 pula. Perjalanannya agak jauh juga melalui Jalan Raja Muda Musa, Jalan Semarak, Datuk Keramat, Lembah Keramat, Zoo Negara sehinggalah ke destinasi terakhirnya
Taman Permata.



                                        Panorama

Walaupun perjalanannya memakan masa namun taklah rasa bosan sebab aku ni jenis yang suka memerhati panorama sambil menikmati suasana perjalanan. Kadang-kadang ada ilham yang menjelma dalam fikiran. Boleh dijadikan bahan berita dan penulisan.

Bas mini nombor 20 akan melalui depan pejabat aku. Sungguh mudah. Turun sahaja bas terus masuk pejabat! Masa tu Hypermarket GIANT Taman Permata belum wujud lagi.

Skrip yang sama apabila pulang dari kerja. Tetapi selalunya aku lebih suka ambil bas di Bangkok Bank. Sementara tunggu bas, boleh jamu selera, boleh merayap di Kota Raya atau Central Market. Lagipun naik di Bangkok Bank boleh duduk, tak perlu berebut. Selalunya malam baru aku sampai rumah. Maklum sajalah walaupun jadual kerja habis pukul 5 namun sebagai wartawan aku tak terikat dengan masa, kadang kala pukul 6 atau 7 petang, aku masih di pejabat.

Dan aku terus menjadi penumpang setia bas mini 10 sehinggalah aku berpindah ke Kg Bharu beberapa bulan selepas itu.

Disebabkan aku sudah tinggal di Kg Bharu maka hanya bas nombor 20 sahaja yang perlu aku ambil untuk ke pejabat. Jimatlah sikit belanja tambang. Masa pun jimat. Tak perlu menunggu bas di pagi buta lagi!

Namun jodohku dengan bas mini 20 tak panjang apabila pejabat aku berpindah ke Taman Kosas Ampang pada awal 1994.  Mujur juga bas mini nombor 34 melalui Kg Bharu menuju ke Ampang, jadi mudahlah sikit.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment