Wednesday, November 20, 2019

MEMBURU EMAS DI LUBUK MANDI

SIRI PERTAMA (1)

* Membuat liputan di Lubuk Mandi, Marang, Terengganu adalah antara tugasan terawal penulis ketika bertugas sebagai wartawan di akhbar tabloid Mingguan Tempo pada tahun 1993.

Kisah Lubuk Mandi ini disiarkan sebanyak 10 siri (10 minggu)  ketika itu. Lubuk Mandi terkenal pada tahun 1988 ekoran penemuan emas di kawasan tersebut dan mula dibanjiri ribuan pelombong haram.

                                     -----------------

🔴 MEMBURU EMAS DI LUBUK MANDI
(Ini adalah tajuk asal sepertimana yang disiarkan dalam akhbar dahulu)

Oleh: Zackusa Trg

Awal pagi itu, Ketua Pengarang, Dahlan Maamor (kini Datuk - Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan) memanggil aku ke  biliknya. Risau dan berdebar juga dibuatnya, kalau-kalau ada sesuatu yang tidak kena dengan artikel/berita yang aku tulis. Maklum sahajalah, beliau dikenali sebagai boss yang tegas dan garang.

"Zam, kau orang Terengganu kan?" Soal Dahlan sebaik sahaja aku melabuhkan punggung ke kerusi.

"Ya En. Dahlan, kenapa? Aku bertanya kembali.

"Kau tahu Lubuk Mandi? Beliau bertanya lagi.

"Tahu, di Marang, Terengganu", aku menjawab dan mula memahami maksud pertanyaannya itu.

"Kau pernah pergi tempat tu? Soal bossku lagi.

"Tak pernah tapi rasanya saya tahu tempat tu", aku menjawab dengan penuh keyakinan

"Ok! Kalau begitu saya nak kamu balik ke Terengganu buat cerita Lubuk Mandi!" Ujar beliau lagi.

"Bila En. Dahlan nak saya ke sana?" tanyaku.

"Lusa! Amacam? Boleh?" tanya Dahlan lagi.

"Boleh, tiada masalah," jawabku dengan senang hati.



Maka akupun mencari maklumat tentang Lubuk Mandi atau lebih tepat lagi berita tentang penemuan emas di kawasan tersebut. Ini tugasan yang mencabar!

Aku memang tahu tentang Lubuk Mandi. Tentang emas yang terdapat di kawasan tersebut sebab sebelum menjadi wartawan aku ada membaca dan mendengar berita tentang aktiviti perlombongan (yang ditafsirkan haram kerana tiada permit) emas di situ.

Aku ada menyimpan beberapa keratan akhbar tentang Lubuk Mandi namun entah hilang di mana.

Aku tak pasti cerita sebenar tentang penemuan emas di Lubuk Mandi tapi dari cerita-cerita orang kampung, ia bermula kononnya seorang lelaki yang bekerja sebagai penoreh getah secara tiba-tiba menjadi kaya raya sehingga menimbulkan kehairanan serta menjadi buah mulut penduduk kampung.

Lelaki berkenaan dikatakan mendapat rezeki terpijak apabila pada suatu hari, beliau ternampak emas yang berkilauan di sebatang anak sungai di Lubuk Mandi.

Semenjak hari itu, lelaki berkenaan awal-awal pagi lagi keluar menuju ke kawasan kebun getah. Bukan untuk menoreh tapi mendulang!

Begitulah cerita yang kudengar. Entah betul atau tidak, hanya Allah yang Maha Mengetahui.



Ok. Kembali pada perjalanan kisah pemburuan emas. Untuk melancarkan kerja, aku mendapatkan bantuan dari rakan karibku, Cikgu Azhar Su (Allahyarham baru sahaja meninggal dunia dua bulan lalu. Al Fatihah. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan insan-insan yang beriman dan beramal soleh).

Sebelum ke Lubuk Mandi, aku berkejar ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di Kuala Terengganu untuk mendapatkan maklumat tentang Lubuk Mandi.  Memang langkah kanan hari tu sebab aku dapat beberapa keping foto Lubuk Mandi dan aktiviti perlombongan di kawasan tersebut.

Sekitar jam 3 petang, aku dan Azhar Su sudahpun berada di pintu masuk Lubuk Mandi. Ada palang besi yang diletakkan di pintu masuk sebagai hadangan. Tertera di situ - DILARANG MASUK TANPA KEBENARAN!

Aku meminta kebenaran untuk masuk namun pengawal di situ enggan memberi kebenaran. Agak lama juga aku menerangkan tujuan aku untuk masuk. Mungkin disebabkan kasihan (sebab aku datang dari jauh, aku dan Azhar akhirnya dibenarkan masuk tapi dengan syarat kami harus meninggalkan kereta di situ dan berjalan kaki masuk ke dalam. Kami juga perlu menanggung sendiri jika ada insiden yang tak diingini berlaku.

Apa yang penting, aku mesti menjelajah juga kawasan Lubuk Mandi ni. Takkan aku dah datang sejauh ini tiba-tiba aku nak berpatah balik. Tiada istilah putus asa atau patah semangat dalam dunia kewartawanan! Perjuangan perlu diteruskan.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment