MEMORI BURGER JALANAN
> mengimbau kenangan 36 tahun lalu
Saya mula menjual burger ketika di bangku sekolah atau lebih tepat lagi sewaktu di Tingkatan Empat iaitu tahun 1983. Bukan bisnes sendiri tapi tolong jual orang punya. Maknanya kuli la.
Pada masa tu, rasanya boleh dibilang dengan jari jumlah peniaga burger di Dungun ni. Kiranya macam eksklusif jugaklah burger ni
Masa tu jenama burger Ramly baru diperkenalkan di pasaran tetapi belum sampai ke bandar kami. Saya gunakan daging jenama Angus, untuk Hotdog pun guna jenama Angus. Rasanya kira bolehlah. Harga sebiji burger ayam atau daging dijual RM1.50.
Jarak tempat saya berniaga tu agak jauh dari rumah kira-kira 3km. Pergi meniaga pun kayuh basikal je. Maklum sajalah kuli. Tak mampu nak beli motor masa tu. Gaji pun hanya RM10 sehari. Satu nilai yang cukup besar pada masa tu bagi seorang pelajar seperti saya.
Jam 4 petang saya dah pun sedia menunggu pelanggan selepas menyediakan segala bahan-bahan. Pada usia 16 tahun itu saya dikira sudah mahir dan berpengalaman menggoreng daging burger dan menyiapkan segala bahan-bahannya.
Disebabkan saya masih bersekolah, jam 10 malam bisnes tutup. Lagipun waktu itu pelanggan dah kurang. Bisnes memang berjalan baik sebab tiada saingan.
Selepas beberapa tahun, ketika saya di Tingkatan Enam, saya memulakan bisnes sendiri dalam skala yang kecil. Modal pun kecil. Rasanya tak sampai RM300. Cukuplah untuk kais pagi makan pagi, kais petang makan petang...
Memang berkobar-kobar betul semangat masa tu, maklumlah lokasi tapak stall burger saya tu berhadapan pintu masuk UiTM Dungun di seberang jalan di bandar Sura Gate. Pelanggan saya majoritinya student perempuan yang ambil kursus Diploma Kesetiausahaan, Accountancy, Banking, Business Studies dan Hotel Catering (HotCat).
Lama kelamaan, student2 tu jadi pelanggan tetap saya. Saya pun dah tak guna burger jenama Angus sebab jenama baharu Ramly dah muncul di pasaran. Rasa dan aromanya pun lebih umphh dari Angus. Yang penting jenama orang kita Melayu, semestinya halal! Harganya pun lebih berpatutan berbanding jenama lain.
Seiring dengan kemunculan burger Ramly itu maka ramailah anak-anak muda mula berjinak-jinak jual burger.
Berbalik kepada student2 tu, memang genit-genit dan mengancam semuanya terutama student Steno (setiausaha). Tapi siapalah kita, sekadar peniaga burger jalanan... Oleh kerana saya ni mesra alam juga orangnya, kena pulak student2 tu comel-comel belaka kerap jugalah saya beri harga diskaun, lagipun mereka beli dalam kuantiti yang banyak. Strategi bisnes kononnya. Laju jer goreng daging burger bila mereka order!
Saya masih ingat nama beberapa orang daripada mereka iaitu Ju, Noreen, Ila, Jeny, Nurul dan Intan. Yang paling rapat dan mesra dengan saya adalah si Intan, budak JB. Intan inilah yang saya temui secara kebetulan ketika saya bertugas sebagai wartawan di akhbar tabloid Mingguan Perdana akhir 90an.
Bayangkan dah 10 tahun terputus hubungan, tau-taunya kami sama-sama berada di Taman Melawati. Pejabat saya di Taman Melawati berjiran dengan Maybank, Intan pula menyewa di kawasan perumahan Taman Melawati. Macam Jejak Kasih pula!
Dan saya menutup perniagaan apabila ditawarkan jawatan wartawan pada tahun 1993. Mungkin disebabkan jiwa saya ketika itu lebih kepada dunia penulisan maka saya memilih untuk bertukar profesion.
Saya berhijrah ke kota Metropolitan Kuala Lumpur membawa bersama memori indah sewaktu bergelar peniaga burger.
Berniaga burger ni kalau kena dengan gaya memang untung. Tapi kena kreatif dan rajin!
InshaAllah jika ada cerita menarik tentang burger ni, saya akan sambung lagi.
End.
Untuk lebih cerita dan info, kunjungi blog saya di
Http://malimrindu.blogspot.com
No comments:
Post a Comment