Sunday, April 28, 2019

RUMAH PUSAKA P RAMLEE SIMPAN MISTERI?

🔴 Secebis Pengalaman

* Cerita ini pernah disiarkan akhbar tabloid No 1 Mingguan Perdana, 21 tahun lalu ketika saya bertugas sebagai wartawan. Namun cerita ini saya ringkaskan dan olah kembali untuk pemahaman pembaca di Fb.

MISTERI DI SEBALIK RUMAH P. RAMLEE

By: Mohd Zamri Salleh

1998, saya mengikuti rombongan wartawan hiburan yang berpangkalan di Kuala Lumpur menuju ke utara (atau lebih tepat lagi ke Pulau Pinang untuk menghadiri majlis pelancaran album Lagenda yang memuatkan lagu-lagu popular Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Lagu-lagu tersebut dinyanyikan semula oleh para penyanyi terkenal tanah air dan diberi nafas baharu pada gubahan dan susunan muziknya.

Kami (wartawan) menaiki keretapi malam dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur ke Butterworth. Pihak penganjur mahu bernostagia sebab itu mereka sengaja menempah satu koc khas untuk kami yang seramai lebih kurang 50 orang.

Kebetulan tempat pelancaran majlis berhampiran dengan rumah pusaka P Ramlee, jadi saya mengambil kesempatan untuk melawat rumah tersebut. Sebenarnya Rumah P Ramlee itu bukanlah yang asal tetapi dibina semula mengikut ciri-ciri asal seperti saiz dan ruang dalam rumah tersebut.

Rumah asal yang terletak di Jalan P Ramlee ini dibina pada 1926 oleh bapa P Ramlee dan bapa saudaranya, Rejab Husin dan dibaiki semula semasa pendudukan tentera Jepun.

Ketika saya sedang berehat di luar rumah tersebut, saya berbual dengan dua pemuda tempatan yang kemudiannya saya ketahui bahawa mereka adalah penduduk kampung tersebut.

Saya bertanyakan kepada mereka tentang sejarah rumah tersebut dan cerita sisinya, kalau-kalaulah ada misteri atau keanehannya.

Tak sangka pula, salah seorang daripada pemuda tersebut (saya lupa namanya, maklumlah sudah 21 tahun berlalu)  adalah anak kepada penjaga asal rumah tersebut.

Menurut Man (bukan nama sebenar), keluarganya telah diamanahkan oleh keluarga P Ramlee untuk menjaga rumah tersebut selepas P Ramlee meninggal pada tahun 1973. Pihak kerajaan Pulau Pinang, Arkib Negara dan Persatuan Sejarah Negeri turut mengamanah dan mengiktiraf keluarganya sebagai penjaga rasmi rumah berkenaan.

Apabila kerajaan negeri mahu meroboh dan membina semula rumah tersebut untuk dijadikan muzium dan tarikan terbaharu pelancongan, keluarga Man telah memohon untuk menyimpan kayu dan papan asal rumah tersebut yang sebahagiannya masih lagi elok.

Mereka tidak sanggup melihat kayu kayan asal rumah tersebut dilupuskan begitu sahaja kerana ianya ada nilai sentimental kepada keluarga Man, apatah lagi mereka adalah jiran terdekat kepada P Ramlee. Rumah tersebut juga merupakan tempat permainan Man dan rakan-rakannya sejak kecil lagi.

Man memberitahu, beliau (ketika itu) adalah penjaga rasmi yang diamanahkan dan bertanggungjawab untuk memberi info dan penerangan kepada para pelancong yang datang melawat rumah tersebut.

Sambil berbual, Man mendedahkan rumah tersebut sebenarnya menyimpan banyak misteri yang tidak pernah diketahui umum. Tidak pernah diceritakan oleh sesiapa. Katanya, dia mengetahui cerita-cerita tersebut dari arwah ayahnya (yang merupakan penjaga asal pertama).

Menurut Man, Biduan Negara Saloma (Salmah Ahmad) tidak berani tidur bersendirian di rumah tersebut kerana sering terasa seolah-olah ada makhluk lain yang tinggal bersama. Begitu juga dengan Seniwati Norizan (bekas isteri P Ramlee) yang enggan menginap lama-lama kerana berasa tidak serasi dengan suasana dalam rumah.

Rumah tersebut dakwa mereka 'panas'. Malah kata Man, ibunya (penjaga asal kedua) sering bermimpi tentang rumah tersebut dan mendakwa rumah tersebut bukan biasa-biasa.

Banyak juga saya dan Man bersembang tentang rumah tersebut dan rata-rata perbualan kami berkisar tentang misteri  yang tersimpan. Ada di antaranya tidak boleh saya ceritakan di di sini kerana ia mahu menjaga amanah orang. Cukuplah kalau saya nyatakan rumah tersebut memang menyimpan misteri.

Jangan salah faham, rumah yang bermisteri itu adalah rumah asal, bukan rumah replika yang ada sekarang.

Sempat juga saya bertanya tentang rumah pelakon lagenda M.Zain yang merupakan rakan karib P. Ramlee. M Zain dan P Ramlee adalah jiran dan rumah mereka berhampiran sahaja iaitu kira-kira 400 meter.

Senelum mengakhiri perbualan yang tidak dirancang itu, Man sekali lagi meminta saya dan mengamanahkan saya untuk menyimpan sebahagian cerita yang disampaikannya.

Menurut Man, bukan tidak mahu berkongsi cerita tetapi demi tanggungjawabnya sebagai penjaga rumah tersebut dan mengelakkan pelbagai persepsi negatif di kalangan orang ramai. Bagi Man, Rumah P Ramlee ini terlalu istimewa pada diri dan keluarganya.

Wallahualam.

Untuk membaca banyak lagi cerita dan info, sila lawati
Http://malimrindu.blogspot.com


No comments:

Post a Comment