Wednesday, October 31, 2018

BANGUNAN PARLIMEN SIMBOL DEMOKRASI

44 TAHUN DAHULU
>Simbol Demokrasi Berparlimen



Foto ini dirakamkan pada tahun 1974. Ia adalah sebahagian daripada koleksi emas saya.

Bangunan Parlimen ini mula dibina pada September 1962 dan siap setahun kemudian. Ia dirasmikan pada November 1963. Kos pembinaannya adalah sebanyak RM18 juta.

Terdiri daripada 2 bahagian iaitu bangunan utama 3 tingkat dan menara 17 tingkat. Ia menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Untuk mendapatkan lebih banyak lagi cerita dan artikel sila lawati blog rasmi saya.

Http://malimrindu.blogspot.my

MEMORI ZAMAN REMAJA

BOLA LAWAN KAMPUNG

Pelik bunyinya kan? Baca sampai habis cerita ini untuk mengetahui apa itu Bola Lawan Kampung.

Salah satu memori indah zaman remajaku ketika penghujung tahun 70an dan 80an pastinya adalah berkisar tentang permainan. Seperti remaja yang lain, aku memang minat bolasepak dan disebabkan minat ku itu, aku dipilih mewakili sekolahku, SK Batu 48, Dungun, Terengganu ke pertandingan peringkat daerah.

Selain bermain untuk sekolah, aku juga mewakili pasukan bolasepak untuk rumah sukan Delima (Merah) ketika di bangku sekolah. Ada tiga lagi pasukan iaitu Nilam (Hijau), Zamrud (Biru) dan Intan (Kuning).

Boleh dikatakan setiap petang jika tiada aktiviti di sekolah, aku akan bermain bolasepak di padang kampungku bersama rakan-rakan sekampung yang sebaya. Ada juga beberapa rakan dari kampung lain yang tumpang bermain.

Ketika itu keluargaku menyewa sebuah rumah di Jalan Bunga Raya dan jarak padang tersebut dari rumahku hanyalah 5 minit jika berbasikal.

Selain bermain dengan rakan-rakan sekampung, kami juga mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa kampung lain seperti Kampung Sungai Buaya, Sungai Udang, Padang Jambu, Sura, Alor Tembesu dan beberapa kampung lain.



Dari sinilah munculnya istilah LAWAN KAMPUNG di mana beberapa orang wakil dari pihak kami akan berunding dengan pihak kampung lawan membincangkan tarikh, padang dan masa untuk berentap.

Tiada hadiah diberikan. Hanya sekadar suka-suka. Tetapi kampung yang menang akan diberikan hak untuk bercakap besar dan berbangga dengan kemenangan. Tiada jurulatih dan pengurus tetapi ketua pasukan akan menentukan siapa yang akan turun bermain. Biasanya perlawanan diadakan pada petang Jumaat atau Sabtu kerana di Terengganu itu adalah hari cuti.

Tempoh permainan biasanya sejam atau lebih bergantung kepada cuaca atau keadaan semasa. Kebiasaannya kami akan berentap di padang rasmi sekolah di mana-mana kampung.

Had umur juga tidak terhad. Tapi semestinya tidak lebih dari Tingkatan 5 atau bawah 17 tahun. Atas pada tu dah dikira dewasa.

Antaran beberapa nama rakan sepasukanku yang masih kuingat ialah Nordin, Hamdan, Zakaria, Rosli, Anuar, Azman, Manan, Kassim, Karim, Adnan  dan Raziman.



Disebabkan zaman tu, kami kurang mampu, ada yang hanya memakai guard (kain elastik) yang dibeli di kedai barangan sukan sebagai pengganti boot (kasut bola). Ada juga yang memakai kasut sekolah malah ada yang berkaki ayam!

Maklum sajalah waktu itu, harga boot antara RM40 ke atas. Nilai duit tinggi. Kami yang masih bersekolah tidak mampu nak beli. Sekarang ni harga boot sudah mencecah ratusan ringgit bergantung kepada jenama.

Akhirnya dapat juga aku beli sepasang boot Adidas (stud 13) hasil menabung dan sedikit tambahan dari ayahku. Harganya aku dah lupa tapi rasanya kira-kira RM50.

Walaupun kini aku sudah bersara dari bermain bolasepak atau gantung boot, aku masih lagi memberikan sokongan kepada pasukan negeriku Terengganu, team Malaysia dan semestinya kelab kesayanganku Liverpool!

Sememangnya sungguh indah zaman remaja dahulu sebab waktu itu tiada gajet seperti sekarang. Tiada hp, tiada komputer. Yang ada cuma radio dan TV sebagai hiburan. Jika ada duit ldbih barulah ke pawagam menontong wayang.

Betullah kata orang zaman remaja adalah zaman paling indah...




Friday, October 26, 2018

TETAMU SENJA - Misteri Pusara Bercahaya Di Sungai Manik

MISTERI PUSARA BERCAHAYA DI SUNGAI MANIK

(Ini adalah catatan pengalaman saya sewaktu melakukan tugasan sewaktu saya bertugas di akhbar Mingguan Perdana satu ketika dulu)

Aku dan Azman dalam perjalanan ke Sungai Manik di Perak untuk membuat tugasan satu kejadian aneh lagi misteri - sebuah pusara yang didakwa bercahaya atau mengeluarkan cahaya oleh para penduduk sebuah kampung di kawasan tersebut.

Tidak banyak maklumat yang aku dapat berhubung kejadian misteri itu namun aku sudah merencana beberapa langkah dan strategi untuk menyiapkan tugasan tersebut. Sudah menjadi kelazimanku, jika diberi tugasan luar (out station) aku akan membuat research sebelum berangkat.

Sebagai wartawan, aku sudah biasa menjelajah ceruk kampung, hutan, pulau dan sebagainya mencari cerita dan berita. Itu semua mesti kutempuhi. Aku tidak terikat dengan satu jurusan sahaja. Bukan mahu mendabik dada namun itulah aku, all rounder. Dan bos aku memang faham benar stail kerja aku.

Setibanya di Teluk Intan, kami berhenti untuk lunch dan berbincang apa yang patut. Cuaca nampak baik sekali bagaikan merahmati perjalanan kami.

Setelah mendapat panduan dari seorang jemaah surau sewaktu kami singgah untuk menunaikan solat Zuhur, kami segera ke lokasi yang dimaksudkan kerana tugasan harus diselesaikan sebelum senja. Kami tidak mahu bermalam di kampung tersebut. Kami perlu pulang ke Kuala Lumpur sebaik tugasan selesai.

Kami menuju ke rumah keluarga yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan arwah yang dikaitkan dengan pusara bercahaya itu namun malangnya setibanya kami di sana, rumah berkenaan sepi tak berpenghuni.

Akhirnya kami mengambil keputusan ke Tanah Perkuburan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas dan maklumat terperinci tentang kejadian aneh lagi misteri itu.

Setibanya di sana, kelihatan beberapa orang penduduk sedang berbual sesama sendiri sambil tangan mereka menunjukkan sesuatu ke arah tanah perkuburan tersebut. Aku merapati mereka untuk mendapatkan sedikit maklumat.

Aku mengarahkan Azman merakamkan beberapa keping foto yang bersesuaian dengan cerita yang akan kukarang nanti.

Dari perbualanku dengan mereka, aku dimaklumkan kejadian aneh itu sudah hampir seminggu berlaku dan cahaya misteri itu didakwa muncul pada waktu senja dan malam.

Pusara tersebut adalah milik Hajah Siah Hj Tamin, seorang penduduk yang tinggal di Sungai Manik,

Menurut mereka, sejak itu, berduyun-duyun penduduk kampung dan orang luar datang untuk menyaksikan sendiri dan memastikan kesahihan kejadian tersebut. Ada yang sanggup menunggu dari siang hingga ke malam!

Dari pengamatan dan tinjauan aku, tiada apa-apa yang luarbiasa atau tanda-tanda perbuatan manusia yang boleh dikaitkan dengan kejadian misteri tersebut.

Namun, misteri tetap jua misteri yang sememangnya sukar difahami, diduga dan diterima akal manusia. Sukar untuk ditafsirkan tapi hakikatnya ia adalah petunjuk dan sesuatu yang berhubungkait dengan kehidupan manusia.

Penduduk terawal yang menyedari dan menyaksikan kejadian misteri itu adalah seorang wanita yang rumahnya terletak kira-kira 50 meter dari tanah perkuburan tersebut. Ketika itu beliau sedang membersihkan halaman rumah dan mendakwa ternampak cahaya biru kehijauan yang menerangi suatu sudut di tanah perkuburan itu.

Pada awalnya Makcik Rokiah (bukan nama sebenar) tidak merasakan sesuatu yang ganjil kerana beranggapan mungkin ada seseorang membuat kerja di situ.

Bagaimanapun, kejadian sama berulang keesokkan harinya, namun cahaya itu muncul di waktu malam. Ia mengundang rasa pelik lantas menceritakan kepada suaminya tentang apa yang dilihatnya.

Seorang lagi saksi, juga seorang penduduk yang tinggal berhampiran tanah perkuburan tersebut mendakwa, bukan semua orang dapat menyaksikan cahaya misteri itu. Hanya insan terpilih yang dibuka hijabnya sahaja yang diberi keistimewaan oleh Allah SWT.

Menurut Pak Ismail (bukan nama sebenar), pusara yang didakwa bercahaya itu adalah milik seorang wanita yang semasa hayatnya mengajar kanak-kanak mengaji. Arwah juga dikatakan seorang yang sangat pemurah dan suka bersedekah. Selain itu, arwah sangat disenangi jiran tetangga dan penduduk sekitar kerana peribadinya yang luhur, mesra dan suka membantu orang susah.

Pendekata, jika dinilai latarbelakang, kehidupan dan peribadi arwah pastinya ia bukanlah perkara ganjil jika Allah SWT mahu meningkatkan martabat dan darjat seseorang hambaNya samada hambaNya itu masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Begitulah hujah Pak Ismail sambil memuji kebesaran Allah SWT. Itu semua pedoman untuk kita yang masih hidup.

Wednesday, October 3, 2018

MEMORI PANGGUNG WAYANG HAPPY

SIRI KENANGAN LALU

MEMORI PANGGUNG HAPPY DUNGUN

Dalam siri yang lepas, aku telah ceritakan tentang Panggung Fajar, kali ni aku nak cerita pula tentang sebuah lagi panggung wayang gambar (pawagam) iaitu Panggung Happy yang terletak di Kuala Dungun. Jarak antara kedua-dua panggung ini lebih kurang 5km.

Sebenarnya tak banyak memori aku tentang Panggung Happy ni sebab ia jauh dari rumah aku. Ketika itu aku tinggal di Jalan Bunga Raya. Disebabkan Panggung Fajar lebih dekat dengan rumah jadi aku lebih kerap menonton di panggung itu.

Panggung Happy ni terletak berhadapan dengan Padang Astaka dan bersebelahan dengan Stesen Bas Dungun (kini dipanggil Hentian Pengangkutan Awam Dungun).

Panggung Happy ni kerap menayangkan filem-filem Hindi, Indonesia dan Inggeris. Harga tiketnya lebih mahal sedikit dari Panggung Fajar. Kalau tak silap aku paling murah RM1 dan paling mahal RM2.

Disebabkan penjaga pintu panggung tu kaum kerabat ayah aku, seingat aku namanya Pak Man, jadi aku selalu dapat masuk free. Alah, setakat aku sorang masuk free takkan tokey panggung tu boleh bangkrap pulak kan..hihi.. 😆

Panggung Happy ni cuma setingkat. Saiznya lebih besar, lebih luas dan selesa berbanding Panggung Fajar. Di bahagian tengah hingga ke belakang kedudukan kerusi lebih tinggi untuk memberi keselesaan kepada penonton.

Aku tak pasti bila Panggung Happy menamatkan operasinya sebab aku dah berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1993 untuk mencari rezeki di Kota Metropolitan itu.

Namun panggung ni macam Panggung Fajar juga, menjadi tumpuan warga Dungun sewaktu era 60an,70an dan 80an. Maklumlah, itu sahaja hiburan yang ada waktu itu selain menonton wayang kulit, wayang pacak, funfair, ekspo dan sarkas (yang hanya muncul sekali sekala).

Majoriti penonton adalah golongan muda dan para nelayan kerana panggung ini terletak berhampiran dengan Pasar Dungun dan jeti pendaratan ikan serta hasil laut.

Panggung Happy ini kemudian dirobohkan setelah terbiar agak lama. Dengar cerita, bangunannya retak dan boleh mengundang kejadian yang tak diingini, jadi sebab itulah tokeynya ambil keputusan 'tutup kedai'.

Mungkin juga sebab penonton dah berkurangan apabila munculnya Home Video tape bersaiz besar (masa tu belum ada vcd) yang boleh disewa dari kedai HV membuatkan orang lebih gemar menonton filem di rumah.

Dan aku adalah antara generasi yang bertuah kerana pernah melalui dan merasai pengalaman menonton di pawagam tradisional ini sebelum munculnya pawagam yang selesa dan canggih seperti TGV, GSC, MBO dan sebagainya.

Ikuti blog saya - Http://malimrindu.blogspot.com
Panggung Wayang Happy

Tapak asal 

Hentian Pengangkutan Awam Dungun terletak bersebelahan dengan Panggung Wayang Happy

MEMORI BAS MINI WILAYAH (BMW)

SIRI MEMORI

BAS MINI WILAYAH (BMW)
(Episod 1)
-mula diperkenalkan 23 September 1975
-ditamatkan perkhidmatan 1 Julai 1998
-60 laluan

Merupakan antara pengangkutan bas awam tertua dan paling popular di Malaysia, merangkumi kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Bas-bas berkenaan dicat dengan warna asas merah jambu berserta jalur putih pada bahagian tepi, serta mempunyai muatan sekitar 20-30 penumpang, berikutan saiznya yang kecil. Bas kerkenaan beroperasi berasaskan sistem komisen, dengan pengusaha perkhidmatan dibayar mengikut jumlah kutipan tambang.

Perkhidmatan bas mini dihentikan mulai 1 Julai 1998 serta digantikan dengan perkhidmatan bas Intrakota dan kemudiannya, Bas rapidKL pada tahun 2005.

*******

Perkhidmatan bas mini bermula pada 23 September 1975 di bawah Kementerian Pengangkutan. Pada masa itu, bas mini beroperasi pada pelbagai laluan mengikut warna bas masing-masing (biru-putih, kuning-putih, merah-putih, ungu-putih dan hijau tua-putih).

Bas mini berkenaan bertanggungjawab mengendalikan sehingga hampir enam puluh laluan berbeza. Tiga syarikat utama (Syarikat Kerjasama Pengaman (M) Bhd, Bas Mini Wilayah dan Konsortium Pengusaha Bas Mini Sdn Bhd) memonopoli kebanyakan laluan bas sementara pengusaha yang lebih kecil dibenarkan beroperasi di tempat tertentu sahaja.

Pada tahun 1975, semasa bas mini diperkenalkan sebagai satu bentuk perkhidmatan, tambang bas asalnya cuma 40 sen. Kemudian pada tahun 1991, tambang dinaikkan ke 50 sen dan dua tahun kemudian, tambang dinaikkan lagi kepada 60 sen.

Bas mini tidak mempunyai jadual waktu tetap. Sebaliknya, perkhidmatan dijalankan berasaskan komisen di mana pengusaha dibayar mengikut bilangan trip serta kutipan tambang dalam sehari. Kadang-kadang, untuk bersaing dengan pengusaha lawan, pemandu mungkin akan melencong daripada laluan asal sehingga menyusahkan penumpang.

Pada tahun 1990, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Paduka Rahmah Osman, menetapkan warna piawai bas mini kepada "merah jambu" dan putih.