🔵 SUATU WAKTU DAHULU
Pastinya ada di antara anda yang pernah melalui pengalaman sebegini suatu waktu dahulu.
Teringat zaman kanak-kanak, saya dan beberapa orang rakan berlari mengutip flyers (tempat saya di Dungun, Terengganu sebut SAKLA) yang dilemparkan oleh pakcik van yang mengumumkan/menghebahkan ada filem baharu masuk panggung pada minggu tersebut.
Menjadi suatu keseronokan pula apabila kami berkejaran mengutip flyers tersebut.
Di tempat saya, kebanyakan filem Melayu pada masa itu (70an & 80an) ditayangkan di Panggung Fajar dan Panggung Happy (Dungun).
Selalunya filem-filem pecah panggung tak kira filem Melayu, Indonesia, Inggeris, Hindi atau Cina menjadi pilihan. Hanya filem-filem tertentu sahaja.
Tujuan penghebahan tersebut tentunya sebagai promosi untuk menarik lebih ramai penonton ke pawagam. Maklum sajalah pada era tersebut belum ada medium seperti internet, WhatsApp, Facebook dan sebagainya.
Van tersebut akan melalui jalan depan rumah dan saya hanya perlu menunggu di tepi jalan. Dari jauh dah dapat dengar pengumuman yang dilaungkan menerusi pembesar suara jadi boleh standby awal-awal.
Walaupun pada masa itu saya belum pernah ke panggung wayang tapi memori indah ini tetap satu pengalaman yang menarik.
Seingat saya, flyers tentang filem-filem yang masuk panggung itu saya simpan sebagai koleksi sehinggalah saya berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1993 untuk bekerja sebagai wartawan.
Konsep penghebahan ini secara beransur-ansur lenyap apabila munculnya teknologi Home Video (video tape dan laser disc) yang boleh disewa.
Ketika itu pawagam tradisional seperti Rex, Federal, Capitol, Odeon dan lain-lain mula kehilangan penonton yang bertukar selera untuk menonton filem-filem di rumah. Lebih selesa dan boleh menonton berulang kali.
Untuk membaca lebih banyak cerita, kunjungi blog saya,
Http://malimrindu.blogspot.com
***
Cap Foto 1 - Filem box Office Bobby terbitan 1973.
Cap Foto 2 - Foto ini dirakamkan ketika filem Sumpah Orang Minyak ditayangkan di pawagam pada tahun 1958.