Wednesday, April 18, 2018

PULAU UPEH, BERHANTU ATAU DISUMPAH?

MISTERI PULAU UPEH, MELAKA

Kebetulan malam ini (17 April 2018) saya menonton rancangan Paranormal disiarkan ASTRO yang mengisahkan tentang aktiviti paranormal di Pulau Upeh, Melaka. Pulau tersebut didakwa berhantu dan menjadi tempat kediaman pontianak (lokasinya tangki air) dan ada yang mendakwa pernah ternampak pontianak muncul di tangki air itu.

Teringat sewaktu bertugas sebagai wartawan akhbar Mingguan Tempo pada tahun 1997,  kakitangan syarikat diwajibkan menghadiri kursus motivasi di Pulau Upeh secara bergilir-gilir. Saya dan Kamarul (jurukamera) merupakan kumpulan terakhir dari syarikat kami yang berkursus.

Pulau Upeh ini saiznya tidaklah sebesar mana. Tetapi panoramanya sangat cantik dan terdapat sebuah resort di pulau tersebut. Resort berkenaan juga merupakan salah sebuah anak syarikat dalam kumpulan syarikat induk kami. Sebagai wartawan saya cuba mendapatkan info menarik tentang resort dan pulau tersebut. Namun lain yang dicari lain pula yang saya dapat!

Seorang pekerja resort memaklumkan pada saya, salah sebuah calet di situ ditutup kerana pernah berlaku 'gangguan' terhadap penghuni yang menyewa calet tersebut. Khabarnya penyewa mendengar pelbagai bunyi pelik, dinding calet dicakar-cakar dan apabila bangun dari tidur keesokkan paginya penyewa itu mendapati dirinya berada di luar calet sedangkan pada malamnya dia tidur di dalam calet! Bukan itu sahaja, mukanya juga berdarah dan ada kesan dicakar!

Pekerja tersebut turut menasihati saya agar tidak keluar bersiar-siar pada waktu malam kecuali lah saya mahu mengisi perut di kafe. Sebenarnya banyak lagi kisah misteri yang diceritakannya tetapi cukuplah jika saya katakan Pulau Upeh bukanlah sebuah pulau yang biasa-biasa!

Saya dan Kamarul diberi satu calet. Lebih 'mengujakan' terdapat sebuah kubur panjang (kira-kira 5 meter) terletak betul-betul depan tangga calet, jaraknya hanya 3 meter! Dalam hati saya Allah sahaja yang tau. Dugaan sungguh! Lebih mencemaskan saya, malam itu dan sepanjang tempoh berkursus saya terpaksa menginap seorang diri kerana Kamarul dihantar pulang ke Kuala Lumpur disebabkan deman. Hairan juga tiba-tiba sahaja beliau demam sedangkan sebelum itu beliau kelihatan sihat! Memang cobaannn.......

Malam itu saya tidur seorang diri. Tidur-tidur ayam! Sudahlah bersendirian di calet, di luar sana pula terdapat kubur panjang yang didakwa bersemadi seorang pahlawan atau peneroka awal pulau tersebut. Bermacam-macam perkara melintas di fikiran saya. Badan pun mula terasa seram sejuk, kadang berpeluh memikirkan apa yang bakal terjadi. Nak menumpang dicalet lain semuanya dah ada penghuni, lagipun nanti malu juga jika dikatakan penakut...Ego nak kena jaga juga!

Bila teringat cerita pekerja resort tadi memang cemas juga saya dibuatnya. Menyesal juga saya bertanya tentang misteri pulau tersebut! Sepanjang malam itu, saya antara tidur dan jaga, sebabnya saya macam terdengar paip air seperti dibuka seseorang dan ada bunyi derap tapak kaki seperti seseorang mundar mandir...

Namun, alhamdulillah, sepanjang saya berkursus tidak ada kejadian ganjil dan pelik berlaku kepada saya cuma saya masih tertanya-tanya tentang kewujudan kubur panjang yang terletak depan tangga calet.

Pulau Upeh kini terbiar tidak berpenghuni. Resort pun dah lama tutup. Persekitarannya nampak tidak terurus. Suasana pun kian sepi. Nampak begitu menyeramkan. Tiada sesiapa yang mahu berkunjung ke pulau tersebut kecuali para nelayan yang menumpang teduh dan berehat seketika melepaskan penat lelah setelah seharian mencari rezeki serta kumpulan penjejak paranormal yang mahu membuktikan kewujudan entiti makhluk halus di pulau berkenaan.

Memetik kata-kata host program itu, apa jua projek dan pembangunan di pulau tersebut tidak mungkin berhasil kerana mungkin ada pantang larang telah dilanggar. Yang pasti, saya juga punya cerita dan pengalaman tersendiri sewaktu berkursus di situ. Wallahualam.

Sila lawati blog saya - Http://malimrindu.blogspot.com



Cap: Siapa sangka pulau kecil ini menyimpan misteri dan rahsia tersendiri. Dari sebuah pulau yang sering dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara, Pulau Upeh kini hilang daya tarikan dan menjadi rumah persembunyian makhluk halus....


Friday, April 13, 2018

ANAK KU DIAMBIL BUNIAN

(Disiarkan di akhbar Mingguan Tempo tahun 1993)

TOLONG PULANGKAN EMI...

Prolog
Ini adalah pengalaman aku menemubual sebuah keluarga yang kehilangan anak lelaki berumur 2 tahun di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves, Selangor. Kejadian misteri ini berlaku pada tahun 1993. Sudah 25 tahun berlalu. Aku pun sudah lupa nama ketua keluarga tersebut tapi nama anaknya yang hilang itu masih kuingati.

Ini juga merupakan antara tugasan terawalku sebagai wartawan.
                              ***********

Misteri kehilangan Emi benar-benar mengejutkan penduduk Kampung Melayu Wira Damai. Belum pernah lagi dalam sejarah kampung tersebut berlaku kejadian seperti itu. Lebih mengejutkan kehilangannya langsung tidak meninggalkan sebarang jejak atau petunjuk. 

Timbul pelbagai pendapat dan pandangan di kalangan penduduk. Ada yang kata Emi diculik tapi kalau betul kanak-kanak malang itu diculik untuk apa dia diculik. Keluarganya bukan orang kaya, tambahan pula tiada sesiapapun yang menghubungi keluarganya menuntut wang tebusan!

Beberapa hari sebelum kehilangan Emi, ibunya bermimpi didatangi seorang lelaki berjubah putih, berserban dan berjanggut putih. Anehnya wanita itu bermimpi hal yang sama berulang kali.

Ketika kejadian, Emi dikatakan sedang bermain sendirian di depan rumahnya manakala rumah jiran terdekat yang terletak berhadapan hanya berjarak 5 meter. Si ibu ketika itu sedang sibuk menyediakan juadah untuk berbuka puasa maghrib nanti.

Tergerak hatinya untuk melihat Emi yang ditinggalkan sebentar tadi, si ibu lantas ke muka pintu namun kelibat Emi langsung tidak kelihatan. Setelah puas mencari di dalam rumah dan di kawasan sekitar Emi tidak juga ditemui.

Hati ibu mana yang tidak risau bila anak kesayangan yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa tiba-tiba hilang begitu sahaja. Lesap sekelip mata. Hancur luluh hati si ibu. Berderai air mata gugur tidak berhenti.

Emi, anak kecil yang keletah dan bijak berkata-kata sememangnya menjadi tumpuan jiran-jiran. Emi jua lah penghibur keluarga tersebut. Namun kini Emi hilang secara misteri. 

Sejam kemudian penduduk kampung mula berkumpul dan gerakan mencari mula dilakukan. Rumah-rumah di kawasan sekitar diperiksa namun Emi masih tidak juga ditemui. 

Malam itu beberapa orang bomoh dan pengamal perubatan tradisional dipanggil untuk membantu mengesan Emi namun semuanya tidak membuahkan hasil. Mereka cuma berkata Emi dilarikan oleh sesuatu yang tak dapat dilihat oleh mata kasar!

Selang beberapa hari ibu si Emi bermimpi didatangi lelaki berjubah putih yang pernah muncul dalam mimpinya sebelum itu. Lelaki berjubah putih itu memberitahu wanita berkenaan bahawa anaknya itu berada dalam keadaan selamat di bawah jagaannya. 

Menurut lelaki berjubah putih itu lagi, Emi seorang kanak-kanak  istimewa dan beliau mengambilnya sebagai anak angkatnya. Lelaki itu juga berpesan agar wanita itu tidak risau dengan kehilangan Emi kerana sampai masa nanti Emi akan dihantar pulang dengan selamat namun lelaki berjubah putih itu tidak pula menyatakan berapa lama dan sampai bila Emi akan berada di dunianya.

Berhubung dengan misteri kehilangan Emi itu aku bertanyakan kepada seorang kenalan (guru silat terkenal) tentang kejadian tersebut.

Beliau mendakwa kawasan kampung berkenaan berkemungkinan besar merupakan penempatan orang bunian dan waktu kejadian/kehilangan Emi (tengahari) merupakan waktu orang bunian keluar bersiar-siar dari perkampungan mereka.

Sewaktu aku mendengar penjelasan tersebut, tidak semena mena bulu romaku meremang! Malah guru silat berkenaan turut berasa seperti yang aku rasai.

Beberapa tahun berlalu dan aku kembali berjumpa keluarga Emi namun khabar sedih yang kuterima Emi masih tidak ditemui atau dalam erti kata lain Emi masih belum dipulangkan...

Benarkah Kampung Melayu Wira Damai merupakan kawasan perkampungan bunian? Dan aku tidak menolak dakwaan itu!

Ikuti blog saya; Http://malimrindu.blogspot.com




Sunday, April 1, 2018

MISTERI WANITA KEBAYA MERAH

MISTERI WANITA BERKEBAYA MERAH
-kisah seram dari pengalaman seorang rakan

Dari semalam hingga ke hari ni, netizen masih membicarakan penampakan misteri wanita berkebaya merah berjalan sendirian dalam kegelapan malam yang akhirnya terungkai hanyalah sekadar lakonan dan mainan nakal beberapa orang pemuda bertujuan untuk meraih publisiti.

Ramai yang marah-marah namun tak kurang juga yang tersenyum dan tersengih dengan humor drama yang dipersembahkan mereka. Malah saya sendiri pada kali pertama menonton 'lakonan' tersebut turut terpedaya!

Namun hakikat sebenarnya wanita berkebaya merah benar-benar wujud dan kejadian yang menyeramkan itu pernah dialami seorang rakan facebook saya..

Ini kenyataan penuh rakan saya tanpa suntingan apa-apa:

"Pengalaman ni sama yg mcm sy dan keluarga sy penah lalui.. Dalam jam 12mlm.. kami dr SP nak balik ke Nami @ felda Lubuk Merbau.. kami ikut jalan hutan kayu balak utk shotcut.. Kami heran ada org tua bawak moto xada lampu dan org tua tu mmg dh tua sgt... dlm hutan bawak moto tiba2 nampak ada ppuan pakai baju kebaya merah duduk bersimpuh dgn payung kubur kat belakang... kami diam je... masing2 baca apa yg blh ingat.. sampai kat kawasan pekan felda makngah kami suruh berhenti dulu jgn balk umah terus... mmg real nampak .. pengalaman yg tak dpt dilupakan.

Ye tak dpt nk bayangkan... tp nasib moto tu arah bertentangan dan dia xmenjelma berulang kali.. so lepas kejadian tu kami semua dh sepakat klu blk kpg make sure sampai dlm kpg sebelum senja.. dan klu nk klr dr kpg pun sebelum senja.. byk dah org berckp pasal hal ni.. cuma kami sekali sekala blk kedah dr KL xpernah terfikir benda yg mcm ni.."

**** Apa pandangan anda semua?

NOSTALGIA PETALING STREET

SIRI NOSTALGIA

Petaling Street Di Zaman Silam.

Saya masih ingat pertama kali berkunjung ke Petaling Street atau Jalan Petaling di Kuala Lumpur sewaktu berusia 7 tahun (ketika itu tahun 1974) bersama Datuk saudara (Pak Su Jan) .

Tentu sekali pada ketika itu saya tidak tahu tempat yang saya kunjungi itu adalah China Town yang hari ini merupakan pusat perniagaan paling popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara.

Seingat saya, para penjaja di situ kesemuanya adalah berketurunan Cina yang menjual pelbagai barangan seperti ubat-ubatan, lukisan, jam tangan, makanan, pakaian dan sebagainya.

Mereka berjualan di hadapan kaki lima kedai dengan beralaskan kertas dan plastik. Ada juga yang menggunakan meja. Suasana ketika itu sungguh meriah dengan hiruk pikuk dan hingar bingar peniaga yang menawarkan barangan jualan mereka serta pembeli yang sibuk memilih barangan yang dihajati. Dan suasana itu masih lagi sama seperti sekarang, cuma jenis barangan yang dijual lebih beraneka.
 
Kini, Petaling Street antara lokasi wajib bagi pelancong yang berkunjung ke Kuala Lumpur.

Petaling Street dulu dan sekarang

Wednesday, March 28, 2018

NOSTALGIA - MENGUTIP PENGALAMAN DARI MATA PENA

BERUBAH HALUAN

Episod 2

Akhirnya khabar angin yang kami dengar itu menjadi kenyataan. Pada tahun 1994, warga kerja Mingguan Tempo berpindah ke Taman Kosas di Ampang secara rasmi.

Tempat baru, pejabat baru, perabot baru malah komputer PC pun baru. Semuanya serba baru!

Dan secara rasmi jugalah aku mengambil alih tugas Editor dari Dahlan Maamor - sesuatu yang tidak pernah kujangkakan. Aku bukan sahaja bertanggungjawab khusus untuk Editorial malah hampir keseluruhan benda yang ada dalam pejabat itu.

Sungguh berat tanggungjawab yang kupikul namun aku bersyukur dan beruntung kerana dibantu rakan-rakan yang bersama sewaktu di Taman Permata. Sebenarnya tanggungjawab ini juga adalah suatu ilmu dan pelajaran yang bagus untuk menguji kewibawaanku dalam dunia kewartawanan.

Menguruskan Editorial, sebagai Editor, sebagai wartawan, sebagai jurukamera dan menguruskan sebuah akhbar serta bertanggungjawab kepada operasi syarikat sesuatu yang menuntut komitmen yang tinggi.

Pergi pagi dan pulang lewat malam sudah menjadi kebiasaan bagiku. Seminggu sekali aku perlu ke kilang percetakan di Petaling Jaya untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan, seminggu sekali juga aku ke Segambut untuk memastikan filem (negatif) disiapkan untuk dihantar ke kilang percetakan.

Pada tahun 1994 juga, beberapa staff baru menyertai Mingguan Tempo sebagai wartawan dan juga tenaga pengurusan serta pentadbiran.

Antaranya ialah Ridzuan Abd Rahman (kini di Harian Metro), Zamzuri Razmi, Yahya Hamid, Mr Lawrence, Zulkifli Omar, Ku Zairul Hizan, Nazaria Othman, Hasniza Hasim, Roslah Othman, Rosmaria, Dewi dan beberapa rakan lagi.

Di sini jugalah bermulanya Airmata Lelaki versi Malim Rindu, sebuah novel bersiri yang disiarkan setiap minggu. Novel bersiri ini disiarkan selama 4 tahun dan dalam tempoh itu sebanyak 200 siri disiarkan.

Sehingga kini aku masih mengekalkan nama Malim Rindu sebagai trademark.

Suka dan duka, pengalaman yang diraih ketika di Mingguan Tempo terus mematangkan aku. Bagiku, Mingguan Tempo banyak mengajarku erti kedewasaan dan merakamkan memori terindah buat dalam hidup ini.

Pada tahun 1997, aku mengambil keputusan meletak jawatan dan memulakan perjuangan di Mingguan Perdana. Cabaran lebih hebat sedang menantiku..

Bersambung...

Tuesday, March 27, 2018

NOSTALGIA KERETAPI BUKIT BESI

SIRI KENANGAN SILAM

NOSTALGIA KERETAPI BUKIT BESI

Ramai yang tidak tahu bahawa di Terengganu, Dungun adalah satu-satunya daerah yang mempunyai perkhidmatan keretapi di zaman silam. Ia bermula pada tahun 1930 apabila lombong bijih besi mula dibuka di Bukit Besi dan berakhir pada tahun 1970.

Bukit Besi atau nama lamanya Bukit Batu Besi sangat terkenal di waktu itu dan menjadi tumpuan pelbagai bangsa mencari rezeki disebabkan aktiviti perlombongan yang begitu rancak.

Bandar Bukit Besi ini terletak kira-kira 30km dari Dungun dan dihubungkan oleh Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melalui jajaran Lebuhraya Jerangau Jabor.

Selepas aktiviti perlombongan dihentikan pada tahun 1970, secara beransur-ansur juga perkhidmatan keretapi ini ditamatkan. Keriuhan dan kesibukan para pekerja dan penumpang mula lenyap. Yang tinggal kini hanyalah beberapa monumen dan kesan sejarah sebagai bukti kewujudan aktiviti perlombongan.

Sekitar tahun 70an dan 80an, landasan keretapi masih boleh dilihat dari Bukit Tebuk melalui jajaran Nibong Stesen, Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Kg Alor Jejawi, Perumahan Jln Merbok, Pasar Malam Sura Gate hingga ke bandar Sura Gate dan seterusnya ke Pantai Teluk Lipat.

Difahamkan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), kerajaan Terengganu dan pihak berkuasa tempatan sedang berusaha untuk menjadikan Bukit Besi sebagai Bandar Sejarah menjelang tahun 2030 apabila siapnya sistem Rangkaian Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Ikuti blog saya Http://malimrindu.blogspot.com



Thursday, March 22, 2018

NOSTALGIA OTAI LIVERPOOL TAMAN DAGANG AMPANG

Tribute Untuk Rakan Otai Liverpool

Saya berkenalan dengan sekumpulan otai yang akhirnya saya ketahui mereka adalah penyokong tegar Liverpool selepas saya berpindah ke Taman Dagang Ampang Selangor dari Kg Baru KL awal tahun 2005.

Sebagai orang baru susah juga nak sesuaikan diri di tempat baru tapi mujurlah grup otai Liverpool banyak membantu saya. Memang tak sangka pula akan bertemu dan bersahabat dengan sekumpulan otai yg rata2 berumur 50 tahun ke atas sedangkan saya baru 30an.

Lebih menyeronokkan mereka semua (adalah dalam 10 org) memang kaki bola. Bukan setakat minat malah mereka juga tahu tentang sejarah Liverpool.

Saya hanya ingat beberapa nama iaitu Hamid, Muhiddin, Yusuf, Hassan, Hafiz, Jakim dan Pak Long.

Setiap mlm minggu, restoran tomyam Man Tom jadi port lepak kami untuk menonton perlawanan membabitkan Liverpool. Maka hiruk pikuk lah suasana dengan sorakan dan maki hamun persis mcm di stadium pula! Man Tom pula satu-satunya penyokong tegar Manchester United, musuh ketat kami. Hihihi....

Jika menang maka tersenyum simpul dan berseri-serilah wajah otai tapi bila seri atau kalah jawabnya sunyi sepi dan muramlah suasana, wajah pun masam mencuka!

Kemuncak kegembiraan kami menjelma apabila Liverpool menjulang kejuaraan ke 5 Piala Eropah/Liga Juara2 Eropah setelah menewaskan AC Milan menerusi penentuan penalti selepas terikat 3-3 dalam masa sebenar dan tambahan masa. Final epik itu dianggap antara yg terhebat dlm sejarah Piala Eropah/Liga Juara2.

Kegembiraan dan kepuasan jelas terpancar dari raut wajah masing2 dan selepas itu setiap kali jumpa mesti topik perbualan berkisar ttg kejayaan gemilang Liverpool itu.

Namun beberapa tahun kemudian saya berpindah ke Wangsa Maju KL dn hanya sesekali dpt berjumpa dan berborak dgn para otai disebabkan kesibukan kerja.

Biarpun masa berlalu namun memori persahabatan dengan otai2 penyokong setia Liverpool tetap kekal selama lamanya kerana Liverpool lah yang menemukan kami.

Semoga Liverpool akan terus berjaya dan muncul sekali lagi sebagai pasukan noq 1 di England dan juga Eropah..

Terimakasih rakan2 otai saya. YOU'LL NEVER WALK ALONE