Sunday, July 28, 2019

SUATU WAKTU DAHULU DI PANGKOR ISLAND, 2010

Mengimbau kembali memori bersana rakan2 seperjuangan ketika mengikuti program Santai Selebriti & Media anjuran Anita Entertainment & Production pada 1-3 Oktober 2010 di Teluk Dalam Resort Pangkor, Perak.






MEMORI TANJUNG LEMAN 2011

Santai Selebriti & Media di Felda Residen Resort Tanjung Leman, Mersing, Johor.










Wednesday, June 26, 2019

MEMORI BURGER JALANAN

MEMORI BURGER JALANAN
> mengimbau kenangan 36 tahun lalu

Saya mula menjual burger ketika di bangku sekolah atau lebih tepat lagi sewaktu di Tingkatan Empat iaitu tahun 1983. Bukan bisnes sendiri tapi tolong jual orang punya. Maknanya kuli la.

Pada masa tu, rasanya boleh dibilang dengan jari jumlah peniaga burger di Dungun ni. Kiranya macam eksklusif jugaklah burger ni

Masa tu jenama burger Ramly baru diperkenalkan di pasaran tetapi belum sampai ke bandar kami. Saya gunakan daging jenama Angus, untuk Hotdog pun guna jenama Angus. Rasanya kira bolehlah. Harga sebiji burger ayam atau daging dijual RM1.50.

Jarak tempat saya berniaga tu agak jauh dari rumah kira-kira 3km. Pergi meniaga pun kayuh basikal je. Maklum sajalah kuli. Tak mampu nak beli motor masa tu. Gaji pun hanya RM10 sehari. Satu nilai yang cukup besar pada masa tu bagi seorang pelajar seperti saya.

Jam 4 petang saya dah pun sedia menunggu pelanggan selepas menyediakan segala bahan-bahan. Pada usia 16 tahun itu saya dikira sudah mahir dan berpengalaman menggoreng daging burger dan menyiapkan segala bahan-bahannya.

Disebabkan saya masih bersekolah, jam 10 malam bisnes tutup. Lagipun waktu itu pelanggan dah kurang. Bisnes memang berjalan baik sebab tiada saingan.


Selepas beberapa tahun, ketika saya di Tingkatan Enam, saya memulakan bisnes sendiri dalam skala yang kecil. Modal pun kecil. Rasanya tak sampai RM300. Cukuplah untuk kais pagi makan pagi, kais petang makan petang...

Memang berkobar-kobar betul semangat masa tu, maklumlah lokasi tapak stall burger saya tu berhadapan pintu masuk UiTM Dungun di seberang jalan di bandar Sura Gate. Pelanggan saya majoritinya student perempuan yang ambil kursus Diploma Kesetiausahaan, Accountancy, Banking, Business Studies dan Hotel Catering (HotCat).

Lama kelamaan, student2 tu jadi pelanggan tetap saya. Saya pun dah tak guna burger jenama Angus sebab jenama baharu Ramly dah muncul di pasaran. Rasa dan aromanya pun lebih umphh dari Angus. Yang penting jenama orang kita Melayu, semestinya halal! Harganya pun lebih berpatutan berbanding jenama lain.

Seiring dengan kemunculan burger Ramly itu maka ramailah anak-anak muda mula berjinak-jinak jual burger.

Berbalik kepada student2 tu, memang genit-genit dan mengancam semuanya terutama student Steno (setiausaha). Tapi siapalah kita, sekadar peniaga burger jalanan... Oleh kerana saya ni mesra alam juga orangnya, kena pulak student2 tu comel-comel belaka kerap jugalah saya beri harga diskaun, lagipun mereka beli dalam kuantiti yang banyak. Strategi bisnes kononnya. Laju jer goreng daging burger bila mereka order! 

Saya masih ingat nama beberapa orang daripada mereka iaitu Ju, Noreen, Ila, Jeny, Nurul dan Intan. Yang paling rapat dan mesra dengan saya adalah si Intan, budak JB. Intan inilah yang saya temui secara kebetulan ketika saya bertugas sebagai wartawan di akhbar tabloid Mingguan Perdana akhir 90an.

Bayangkan dah 10 tahun terputus hubungan, tau-taunya kami sama-sama berada di Taman Melawati. Pejabat saya di Taman Melawati berjiran dengan Maybank, Intan pula menyewa di kawasan perumahan Taman Melawati. Macam Jejak Kasih pula!

Dan saya menutup perniagaan apabila ditawarkan jawatan wartawan pada tahun 1993. Mungkin disebabkan jiwa saya ketika itu lebih kepada dunia penulisan maka saya memilih untuk bertukar profesion. 

Saya berhijrah ke kota Metropolitan Kuala Lumpur membawa bersama memori indah sewaktu bergelar peniaga burger.

Berniaga burger ni kalau kena dengan gaya memang untung. Tapi kena kreatif dan rajin!

InshaAllah jika ada cerita menarik tentang burger ni, saya akan sambung lagi.

End.

Untuk lebih cerita dan info, kunjungi blog saya di
Http://malimrindu.blogspot.com

Sunday, June 23, 2019

SELANGKAH KE ALAM MISTERI

🔵 SELANGKAH KE ALAM FATAMORGANA

Lembaga Misteri Muncul Di Tapak Projek

> Mereka ada di sekeliling kita. Cuma kita tidak menyedarinya. Namun ada juga segelintir manusia diberikan keistimewaan oleh Allah SWT dapat melihat kewujudan makhluk halus/jin/entiti ini.

Aktiviti paranormal sebenarnya berlaku di mana-mana terutama sekali di malam hari dan di kawasan yang sunyi, sepi atau di lokasi 'kediaman' mereka.

Kewujudan lembaga misteri dalam foto di bawah membuktikan mereka ada di sekeliling kita. Penampakan lembaga ini tidak disedari oleh para pekerja projek membina bangunan bersebelahan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Lembaga lelaki misteri (dalam bulatan) dirakam ketika para pekerja sibuk menjalankan tugas masing-masing di kedalaman kira-kira 12 tingkat di bawah tanah pada waktu malam sekitar bulan Februari lalu.


Seorang pekerja merakam foto kerja-kerja mereka ini ketika mereka mahu mengangkat Piling paling berat untuk ditunjukkan kepada penyelia (supervisor).

Dan ketika meneliti foto yang diambil, pekerja tersebut terperanjat apabila mendapati sesosok lembaga misteri muncul dalam foto, berpakaian seperti askar Gurkha dan memiliki susuk badan yang besar dan tinggi.

Foto ini tidak pernah tersiar di mana-mana media atau internet dan saya memperolehinya dari sumber yang sahih. Ia adalah eksklusif!

Mungkinkah suatu waktu dahulu kawasan HKL dan sekitarnya pernah dijadikan kem tentera atau sebagai tempat hukuman bunuh kepada tentera musuh? Kita akan mencari jawapannya nanti.

*** Untuk lebih cerita dan misteri, kunjungi
Http://malimrindu.blogspot.com

Friday, June 14, 2019

ASAL USUL NAMA BUKIT BINTANG

🔵 BUKIT BINTANG

Nama Jalan Bukit Bintang ini diambil sempena sebuah bukit setinggi kira-kira 50m yang terletak berhampiran Kg Dollah suatu ketika dahulu.

Kg Dollah bagaimana sudah tiada dan digantikan dengan Jalan Changkat Thambi Dollah dan Jalan Barat.

Jalan Bukit Bintang sepanjang 3.4km ini bermula dari simpang Jalan Raja Chulan dan berakhir di Jalan Pudu. (Menyusuri Pavillion).



Pada zaman dahulu, Bukit Bintang itu menjadi kawasan penempatan penduduk. Di sebelah malam, para penduduk berehat di luar rumah melepaskan penat bekerja di waktu siang sambil menyaksikan keindahan alam dan bintang-bintang yang bertaburan di langit.

Pada waktu itu, tiada hiburan dan aktiviti malam sepertimana suasana Bukit Bintang hari ini. Begitulah kehidupan mereka ketika itu. Bukit untuk melihat bintang. Lama kelamaan penduduk menyebut penempatan mereka itu sebagai Bukit Bintang dan ia kekal sehingga ke hari ini.

Tuesday, May 28, 2019

NOSTALGIA PAWAGAM

🔵 SUATU WAKTU DAHULU

Pastinya ada di antara anda yang pernah melalui pengalaman sebegini suatu waktu dahulu.

Teringat zaman kanak-kanak, saya dan beberapa orang rakan berlari mengutip flyers (tempat saya di Dungun, Terengganu sebut SAKLA) yang dilemparkan oleh pakcik van yang mengumumkan/menghebahkan ada filem baharu masuk panggung pada minggu tersebut.

Menjadi suatu keseronokan pula apabila kami berkejaran mengutip flyers tersebut.

Di tempat saya, kebanyakan filem Melayu pada masa itu (70an & 80an) ditayangkan di Panggung Fajar dan Panggung Happy (Dungun).

Selalunya filem-filem pecah panggung tak kira filem Melayu, Indonesia, Inggeris, Hindi atau Cina menjadi pilihan. Hanya filem-filem tertentu sahaja.

Tujuan penghebahan tersebut tentunya sebagai promosi untuk menarik lebih ramai penonton ke pawagam. Maklum sajalah pada era tersebut belum ada medium seperti internet, WhatsApp, Facebook dan sebagainya.

Van tersebut akan melalui jalan depan rumah dan saya hanya perlu menunggu di tepi jalan. Dari jauh dah dapat dengar pengumuman yang dilaungkan menerusi pembesar suara jadi boleh standby awal-awal.

Walaupun pada masa itu saya belum pernah ke panggung wayang tapi memori indah ini tetap satu pengalaman yang menarik.

Seingat saya, flyers tentang filem-filem yang masuk panggung itu saya simpan sebagai koleksi sehinggalah saya berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1993 untuk bekerja sebagai wartawan.

Konsep penghebahan ini secara beransur-ansur lenyap apabila munculnya teknologi Home Video (video tape dan laser disc) yang boleh disewa.

Ketika itu pawagam tradisional seperti Rex, Federal, Capitol, Odeon dan lain-lain mula kehilangan penonton yang bertukar selera untuk menonton filem-filem di rumah. Lebih selesa dan boleh menonton berulang kali.

Untuk membaca lebih banyak cerita, kunjungi blog saya,
Http://malimrindu.blogspot.com


***
Cap Foto 1 - Filem box Office Bobby terbitan 1973.

Cap Foto 2 - Foto ini dirakamkan ketika filem Sumpah Orang Minyak ditayangkan di pawagam pada tahun 1958.

Sunday, April 28, 2019

RUMAH PUSAKA P RAMLEE SIMPAN MISTERI?

🔴 Secebis Pengalaman

* Cerita ini pernah disiarkan akhbar tabloid No 1 Mingguan Perdana, 21 tahun lalu ketika saya bertugas sebagai wartawan. Namun cerita ini saya ringkaskan dan olah kembali untuk pemahaman pembaca di Fb.

MISTERI DI SEBALIK RUMAH P. RAMLEE

By: Mohd Zamri Salleh

1998, saya mengikuti rombongan wartawan hiburan yang berpangkalan di Kuala Lumpur menuju ke utara (atau lebih tepat lagi ke Pulau Pinang untuk menghadiri majlis pelancaran album Lagenda yang memuatkan lagu-lagu popular Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Lagu-lagu tersebut dinyanyikan semula oleh para penyanyi terkenal tanah air dan diberi nafas baharu pada gubahan dan susunan muziknya.

Kami (wartawan) menaiki keretapi malam dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur ke Butterworth. Pihak penganjur mahu bernostagia sebab itu mereka sengaja menempah satu koc khas untuk kami yang seramai lebih kurang 50 orang.

Kebetulan tempat pelancaran majlis berhampiran dengan rumah pusaka P Ramlee, jadi saya mengambil kesempatan untuk melawat rumah tersebut. Sebenarnya Rumah P Ramlee itu bukanlah yang asal tetapi dibina semula mengikut ciri-ciri asal seperti saiz dan ruang dalam rumah tersebut.

Rumah asal yang terletak di Jalan P Ramlee ini dibina pada 1926 oleh bapa P Ramlee dan bapa saudaranya, Rejab Husin dan dibaiki semula semasa pendudukan tentera Jepun.

Ketika saya sedang berehat di luar rumah tersebut, saya berbual dengan dua pemuda tempatan yang kemudiannya saya ketahui bahawa mereka adalah penduduk kampung tersebut.

Saya bertanyakan kepada mereka tentang sejarah rumah tersebut dan cerita sisinya, kalau-kalaulah ada misteri atau keanehannya.

Tak sangka pula, salah seorang daripada pemuda tersebut (saya lupa namanya, maklumlah sudah 21 tahun berlalu)  adalah anak kepada penjaga asal rumah tersebut.

Menurut Man (bukan nama sebenar), keluarganya telah diamanahkan oleh keluarga P Ramlee untuk menjaga rumah tersebut selepas P Ramlee meninggal pada tahun 1973. Pihak kerajaan Pulau Pinang, Arkib Negara dan Persatuan Sejarah Negeri turut mengamanah dan mengiktiraf keluarganya sebagai penjaga rasmi rumah berkenaan.

Apabila kerajaan negeri mahu meroboh dan membina semula rumah tersebut untuk dijadikan muzium dan tarikan terbaharu pelancongan, keluarga Man telah memohon untuk menyimpan kayu dan papan asal rumah tersebut yang sebahagiannya masih lagi elok.

Mereka tidak sanggup melihat kayu kayan asal rumah tersebut dilupuskan begitu sahaja kerana ianya ada nilai sentimental kepada keluarga Man, apatah lagi mereka adalah jiran terdekat kepada P Ramlee. Rumah tersebut juga merupakan tempat permainan Man dan rakan-rakannya sejak kecil lagi.

Man memberitahu, beliau (ketika itu) adalah penjaga rasmi yang diamanahkan dan bertanggungjawab untuk memberi info dan penerangan kepada para pelancong yang datang melawat rumah tersebut.

Sambil berbual, Man mendedahkan rumah tersebut sebenarnya menyimpan banyak misteri yang tidak pernah diketahui umum. Tidak pernah diceritakan oleh sesiapa. Katanya, dia mengetahui cerita-cerita tersebut dari arwah ayahnya (yang merupakan penjaga asal pertama).

Menurut Man, Biduan Negara Saloma (Salmah Ahmad) tidak berani tidur bersendirian di rumah tersebut kerana sering terasa seolah-olah ada makhluk lain yang tinggal bersama. Begitu juga dengan Seniwati Norizan (bekas isteri P Ramlee) yang enggan menginap lama-lama kerana berasa tidak serasi dengan suasana dalam rumah.

Rumah tersebut dakwa mereka 'panas'. Malah kata Man, ibunya (penjaga asal kedua) sering bermimpi tentang rumah tersebut dan mendakwa rumah tersebut bukan biasa-biasa.

Banyak juga saya dan Man bersembang tentang rumah tersebut dan rata-rata perbualan kami berkisar tentang misteri  yang tersimpan. Ada di antaranya tidak boleh saya ceritakan di di sini kerana ia mahu menjaga amanah orang. Cukuplah kalau saya nyatakan rumah tersebut memang menyimpan misteri.

Jangan salah faham, rumah yang bermisteri itu adalah rumah asal, bukan rumah replika yang ada sekarang.

Sempat juga saya bertanya tentang rumah pelakon lagenda M.Zain yang merupakan rakan karib P. Ramlee. M Zain dan P Ramlee adalah jiran dan rumah mereka berhampiran sahaja iaitu kira-kira 400 meter.

Senelum mengakhiri perbualan yang tidak dirancang itu, Man sekali lagi meminta saya dan mengamanahkan saya untuk menyimpan sebahagian cerita yang disampaikannya.

Menurut Man, bukan tidak mahu berkongsi cerita tetapi demi tanggungjawabnya sebagai penjaga rumah tersebut dan mengelakkan pelbagai persepsi negatif di kalangan orang ramai. Bagi Man, Rumah P Ramlee ini terlalu istimewa pada diri dan keluarganya.

Wallahualam.

Untuk membaca banyak lagi cerita dan info, sila lawati
Http://malimrindu.blogspot.com