Saturday, March 17, 2018

SIRI MERINDING BULU ROMA - TETAMU DINIHARI

KETUKAN MISTERI...SIAPAKAH ITU?

Kisah benar yang dialami penulis sendiri ketika tinggal di Taman Cahaya, Ampang, Selangor beberapa tahun yang lalu.


Malam itu aku pulang agak lewat dari pejabat. Terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan kerana dateline sudah hampir. Kalau tak sempat siap mengikut waktu nanti kena stayback lagi di pejabat. Tak larat nak berjaga sampai pagi.

Bukan aku seorang sahaja yang kena stayback nanti tapi keseluruhan staff jabatan editorial, kalau artikel dan layout (susun letak) tak siap ikut jadual. Bos besar pun akan bising kepadaku sebab aku bos kecik...

Jadi untuk mengelakkan dari kena bambu dengan bos besar terpaksalah aku bekerja lebih masa secara sukarela. Tak apalah, aku kan memang suka kerja..hihihi

Tapi aku ni bukan suka sangat stayback sebab mata aku tak larat nak berjaga dan memandang skrin komputer. Lama-lama boleh jadi bengkak mata aku ni.

Beginilah rutin harianku sebagai tukang selak kain orang atau dalam bahasa moden - wartawan...

Jam sudah menunjukkan pukul 11 malam, selepas mengisi perut yang berkeroncong sedari petang tadi, aku berbaring seketika di dalam bilik sambil melayani lagu-lagu malar segar (evergreen) yang berkumandang di corong radio.

Mendayu-dayu pula lagu-lagu yang diputarkan juruhebah@DJ radio malam itu, banyak lagu yang berirama perlahan. Mungkin disebabkan sudah hampir tengah malam maka lagu-lagu semacam itulah yang sesuai untuk para pendengar...

Hampir saja aku terlena dibuai kesyahduan lagu-lagu romantis sehinggalah DJ mengumumkan jam sudahpun menunjukkan tepat pukul 12 malam dan diikuti dengan siaran berita dari Radio Nasional.

Sebaik sahaja berita dibaca, tiba-tiba,

'Tok! tok! tok!, tok! tok, tok!'  terdengar bunyi ketukan yang amat kuat di pintu bilik ku.

Terperanjat aku mendengar bunyi ketukan itu. Siapa pula yang mengetuk pintu bilik ku sedangkan aku tau bahawa aku seorang sahaja penghuni rumah itu. Tiada penghuni lain!

Tiba-tiba tombol pintu bilik ku pula dipulas-pulas! Berpusing-pusing seolah-olah ada seseorang dari luar mahu masuk ke dalam bilik! Lagilah menambahkan rasa terkejut pada aku.

Seketika kemudian... Dummmmm!

Bergegar pintu bilik aku dilanggar sesuatu yang aku tak pasti apa kebendanya... kuat sungguh 'benda' yang menghentam pintu bilik ku macam nak pecah dan tercabut dibuatnya

Timbul akal di fikiranku. Aku mengintai dari celahan bawah pintu untuk menyiasat apa benda yang melanggar pintu bilik ku, namun tiada apa-apa yang kelihatan. Tiada ternampak apa-apapun malah bayang pun tiada!

Disebabkan rasa tak puas hati, aku lantas membuka pintu bilik dan mataku melilau ke kiri dan kanan memandang ke serata rumah untuk memastikan apa yang berlaku sebenarnya. Sunyi dan sepi sahaja.

Aneh sungguh!

Sekonyong-konyongnya tiba-tiba sahaja aku terasa dingin dan macam ada angin yang bertiup lembut sehingga merinding bulu romaku.. kembang rasa bulu tengkuk,!

Aku pun lantas buka mp3 dan pasang bacaan ayat-ayat suci Al Quran untuk mententeramkan jiwa yang sedang dalam keresahan ini. Alhamdulillah tiada lagi gangguan selepas itu.

Besoknya di pejabat, aku menceritakan kejadian pelik itu kepada ustaz syarikat yang kebetulan berada di pejabat untuk segmen Tanyalah Ustaz.

Ustaz hanya ketawa kecil dan tersenyum mendengar ceritaku seraya menasihatkan aku agar tidak lalai mendirikan solat dan sentiasa pastikan badan dalam keadaan 'bersih'.

Adalah beberapa lagi tazkirah ringkas dari ustaz berkaitan kejadian misteri yang ku alami itu. Semuanya untuk kebaikan bersama.

Malah sempat pula ustaz mengusikku...

"Itulah...banyak sangat tulis cerita hantu misteri sampai benda tu datang rumah cari kamu..."ujar ustaz sambil menepuk-nepuk bahuku.

Bingung aku memikirkan tentang kejadian misteri itu. Dalam pada itu aku bersyukur kerana 'lembaga misteri' yang berkunjung ke rumahku pada malam itu tidak menjelma dan menampakkan rupanya yang sebenar!

Aku menganggap ia cuma mahu menduga dan mengusikku untuk menguji sejauh mana keberanianku. Tapi aku tidak pasti apa reaksi ku jika lembaga itu benar-benar muncul di hadapanku....

Sesungguhnya kejadian misteri itu satu peringatan kepadaku bahawa bukan kita sahaja makhluk Allah yang wujud di alam ini, ada makhluk lain yang hidup bersama kita... hidup kita ini penuh dengan perkongsian sebenarnya...

Siapakah yang mengetuk pintu bilikku di malam itu???.

Jangan biarkan hidup anda diselubungi misteri....

Follow blog saya: malimrindu.blogspot.my
gambar hiasan je...










Friday, March 16, 2018

SIRI NOSTALGIA - PERHENTIAN PUDURAYA

NOSTALGIA TERINDAH...

DI PERHENTIAN PUDURAYA

Lirik: M.Nasir  
Komposer: M.Nasir

Di perhentian puduraya
Tempat mula bersua
Dalam bas berwarna biru
Menuju ke utara
Senyum terukir untukmu
Kau membalas tunduk malu
Sungguh ayu
Ku terpanah dari godaan cinta pertama

Di perhentian puduraya
Mula kita bermesra
Dengan kesucian cinta
Kau membalas kasihku
Tapi kau harus pulang segera
Kerana masa telah lewat untuk kita

Oh..selamat tinggal
Jumpa lagi
Oh...esok hari
Diperhentian ini
Bila cinta sudah tersemai
Apa saja yang dibuat serba indah

Ooo..tak kusangka
Cinta berakhir
Esok ku menunggu
Dan menunggu
Khabar ku terima engkau di lamar
Dari pilihan kedua orang tuamu
Bas warna biru telah hilang cahayanya
Kerana cinta telah pudar dari mata
Selamat tinggal perhentian puduraya
Selamat tinggal perhentian puduraya
Selamat tinggal perhentian puduraya

Di sinilah destinasi aku tahun 90an dulu waktu aku mencari rezeki sesuap nasi di Kuala Lumpur. Tempat aku turun naik bas pulang ke kampung halamanku di Terengganu sebelum aku bertukar port ke Hentian Putra bersebelahan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)

Hentian Puduraya ini merupakan ikon paling popular di Kuala Lumpur, sebaris dengan kepopularan Chow Kit. Siapa yang tidak kenal Hentian Puduraya? Perantau dari segenap ceruk kampung dan desa pasti akan singgah ke sini samada untuk pulang atau tiba dari kampung.

Masihku ingat beberapa syarikat bas henti-henti di Kuala Lumpur menjadikan Hentian Puduraya ini sebagai pusat operasi mereka seperti Selangor Bus, Tong Fong, Ho Hup, Len Chee, Bas Hijau ke Rawang, Selangor Omnibus.

Pelbagai aktiviti boleh dilihat di dalam dan di luar atau di sekitar kawasan Hentian Puduraya menjadikan ikon popular ini tidak pernah sunyi dan sentiasa hidup siang dan malam. Penuh sessk dengan manusia dan penumpang yang menggunakan perkhidmatannya.

Kini Hentian Puduraya masih lagi meriah walaupun ia sudah bertukar fungsi menjadi UTC (Pusat Transformasi Bandar).

Begitulah hebat dan popularnya Hentian Puduraya sehinggakan kumpulan Kembara pun turut mengabadikannya dalam lagu mereka, Di Perhentian Puduraya.


Thursday, March 15, 2018

SELAMAT TINGGAL HENTIAN PUTRA...

Hentian Putra. Cukup sinonim dengan perantau2 dari Pantai Timur khususnya dari Terengganu dan Kelantan termasuklah aku. Sebagai penumpang setia, tidak pernah terkira berapa kali aku naik dan turun bas ekspres di hentian ini. Hentian Putra bagaikan rumah kedua bagiku.

Masih terngiang-ngiang di telingaku hiruk pikuk dan hingar bingar deruman injin bas juga telatah dan gelagat para penumpang yang sabar menanti bas pilihan mereka utk menuju ke destinasi masing2.

Paling meriah apabila tiba musim perayaan khususnya Hari Raya Aidil Fitri dn Aidil Adha, maka berpusu-pusulah para perantau berkampung di sini. Banyak jugalah coretan lucu dan pilu menjadi diari hidup anak rantau. Ada yg ditipu ulat tiket, ada yg tertinggal bas malah ada yang tersalah bas! Tak kurang juga ada yg bertemu jodoh dan pasangan hidup di sini.

Paling kuingati kata-kata pengumum ketibaan bas-bas yang menyebutnya dengan gaya bersahaja;

"Kepada pemegang2 tiket bas ekspres Transnasional menuju ke Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu, jam 10 malam, bas anda telahpun tiba dan berada di lorong kanan di hadapan sekali."

Satu lg pengumuman yg mencuit hati berbunyi;

"Kepada para penumpang, sila cari bas anda sendiri kerana bas-bas tersebut tidak mengenali anda!!,"

Setelah beroperasi berpuluh-puluh tahun lamanya, tahun 2014 menyaksikan detik-detik akhir Hentian Putra menoktahkan khidmatnya. Yang pasti memori tidak akan berlalu pergi tanpa kita melaluinya..

Kini, Hentian Putra hanya tinggal kenangan....



RUMAH MONA FANDEY

INILAH RUMAH PENINGGALAN MONA FANDEY DI KIJAL, KEMAMAN, TERENGGANU

IMBAS KEMBALI...

Coretan pengalaman penulis ketika negara digemparkan dengan tragedi pembunuhan Adun Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada tahun 1993.

Mona Fandey merupakan perancang utama di sebalik pembunuhan Adun Batu Talam, Raub, Pahang, Datuk Mazlan Idris, pd tahun 1993. Beliau dijatuhkan hukuman gantung sampai mati bersama-sama suaminya Mohd Affandi Abd Rahman dan pembantunya Juraimi Hussin pd 2 November 2001 di Penjara Kajang, Selangor.

Kes tersebut disifatkan antara yg paling menggemparkan dalam sejarah Malaysia. Pertamanya, Datuk Mazlan merupakan pemimpin politik yang agak dikenali dan yang keduanya arwah dibunuh secara kejam di luar batas dan norma manusia.

Mona atau nama sebenarnya Maznah Ismail adalah seorang penyanyi dan pelakon sebelum beralih ke bidang perbomohan. Namun begitu namanya kurang dikenali ramai sewaktu bergiat dalam dunia seni.

Waktu itu, saya bertugas sebagai wartawan di akhbar tabloid Mingguan Tempo. Ketika itu Umno sedang sibuk menghadapi pemilihan di peringkat bahagian. Datuk Mazlan ketika itu adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Raub yg akan bertanding merebut jawatan Ketua Umno Bahagian.

Paling mengharukan saya, seminggu sebelum kehilangan Datuk Mazlan dilaporkan media, saya ada berhubung dan bercakap dengannya beberapa kali untuk bertemu dan interbiu beliau menjelang pemilihan tersebut. Beliau memutuskan untuk berjumpa saya di Kampung Baru Kuala Lumpur.

Tetapi malangnya perjumpaan kami tidak menjadi kenyataan. Saya beberapa kali menghubungi talipon bimbitnya namun tidak berjawab. Saya kemudian menalipon ke rumahnya dan bercakap dengan isteri Datuk Mazlan dn saya diberitahu beliau sudah seminggu tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi. Kehilangan beliau kemudian dilaporkan media dan saya turut terperanjat mendengar berita tersebut.

Penangkapan Mona, Affandi dan Juraimi tidak lama selepas itu berjaya merungkai misteri kehilangan Datuk Mazlan. Kehidupan mewah mereka secara tiba-tiba dengan menayangkan kereta mewah dan gaya hidup yang luar biasa menimbulkan kecurigaan. Mereka juga menurut saksi adalah orang terakhir yang dilihat bersama Datuk Mazlan.

Juraimi, kemudian mengaku semua perbuatan itu adalah atas arahan Mona demi meragut kemewahan yg dimiliki Datuk Mazlan. Pembunuhan terancang itu sekaligus menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli-ahli politik akan keselamatan mereka selain menimbulkan kesangsian di kalangan orang awam tentang institusi perbomohan.

Setelah mengharungi tempoh perbicaraan yang agak panjang dari tahun 1993 hingga 2001, misteri, kesedihan, kepedihan dan seribu satu persoalan akhirnya menemui noktah sebaik sahaja mereka bertiga ke tali gantung.

Namun bukan sedikit yang menangisi kehilangan insan sebaik Datuk Mazlan. Apatah lagi pembunuhan tersebut dianggap paling kejam dalam sejarah negara kita. Yang pasti ia kekal misteri sehingga kini biarpun keadilan sudah dipersadanya.

Begitulah coretan detik-detik akhir antara saya dan Datuk Mazlan...

Al fatihah...


Ini ada satu cerita...

KENAPA Malim Rindu?

Selain akaun ini, saya mempunyai satu lagi akaun didaftarkan sebagai Malim Rindu sejak 2009 lagi. Ada rakan2 fb yg bertanyakan rahsia nama Malim Rindu. Sebenarnya tak ada apa-apa yang istimewa pun di sebalik nama Malim Rindu tu. Cuma ada sedikit rahsia dan sentimental value pada nama itu.

Semuanya bermula pada tanggal 1 Ramadan 1993, tahun saya terjun ke dunia kewartawanan. Mingguan Tempo merupakan akhbar tabloid pertama saya mengasah bakat sebagai wartawan. Ketika itu editor saya Dahlan Maamor (kini bergelar Datuk). Bersama-sama saya sbg rakan seperjuangan ketika itu adalah Mohd Rozi Hassan, Zuraidah Abd Halim, Ruzana Jaafar,  MOhamed Ali Othman, Rosmini Mohamed, Hasmidar Ali, Mohd Sakri dan beberapa rakan lain yg saya telah lupa nama mereka.

Saya kemudian dilantik sebagai Penolong Editor dan kemudiannya memangku tugas Editor selepas Dahlan Maamor meletak jawatan. Tidak lama kemudian Mingguan Tempo yang sebelum itu beroperasi di Taman Permata, Hulu Kelang berpindah ke Taman Kosas di Ampang, Selangor.

Dwan Inzaghi (Ridzuan Abd Rahman kini di Harian Metro) kemudian menyertai Mingguan Tempo sbg tenaga pentadbiran bersama arwah Haniff (bekas editor Media Hiburan) sbg wartawan dan Zamzuri Razmi. Kemudian diikuti Dik Zul  (Zulkifli Omar), Roslah Othman, Allahyarham Seri Bayu (Jamaluddin Sulik) dan Nazz Othman. Ada beberapa rakan yang saya terlupa nama mereka. Mohon maaf yer.

Dalam akhbar Mingguan Tempo terdapat satu halaman dikhususkan untuk berita dan artikel tentang sastera dan budaya. Di halaman itulah wujudnya satu sudut novel bersiri bertajuk Airmata Lelaki yang saya garap dengan nama Malim Rindu.

Sejarah Airmata Lelaki bermula ketika Dahlan Maamor menjadi editor dan saya meneruskan novel bersiri itu dalam gaya dan pengucapan serta fantasi sendiri sehingga ke tahun 1997 sebelum saya menyertai akhbar Mingguan Perdana.

Selama 5 tahun di Mingguan Tempo, saya kira lebih kurang 200 siri yang dihasilkan dalam 3 episod berbeza. Nama pun Airmata Lelaki, sudah pastilah ceritanya tentang cinta, keperitan dan kepedihan dalam percintaan. Ketiga-tiga cerita itu mengambil tempat di Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Melaka, Cameron Highland dan Kuala Lumpur.

Sebenarnya Airmata Lelaki adalah kisah 80% benar dan latar masanya bermula di bangku sekolah menengah sehingga kehidupan penulis di Kuala Lumpur. Menjadikan ia lebih menarik, segar dan realiti, Airmata Lelaki digarap disolek dengan perasaan dan rasa cinta yang abadi serta dihiasi dengan warna kehidupan suka dan duka.

Biarpun kini Airmata Lelaki sudah kering dan tidak menitis lagi, namun nama Malim Rindu tetap kekal dalam lipatan memori kerana ia membawa saya terbang tinggi dalam dunia sastera dan kewartawanan.

'Cinta Itu Nikmat Tetapi Azab...'

SIRI MERINDING BULU ROMA - Misteri Rumah Banglo Di Bukit Bauk

MISTERI RUMAH BANGLO DI BUKIT BAUK
(sepertimana yang diceritakan oleh Arwah Ayah Ngah Ismail kepada penulis).

Cerita ini panjang tetapi penulis sudah meringkaskannya tanpa mengubah jalan cerita, plot dan kesahihan. Ini adalah kisah benar!

Prolog
Sebut sahaja nama Bukit Bauk, warga Dungun atau pengguna jalan raya yang pernah lalu di kawasan itu pasti akan mengaitkannya dengan kisah misteri yang menyeramkan.

Wanita cantik berambut panjang, kelibat askar Jepun, adalah antara cerita misteri yg  tersebar sehingga menimbulkan rasa seram apabila melalui kawasan tersebut di waktu malam apatah lagi jika memandu bersendirian! Ada yang mengaitkan kejadian2 misteri itu dengan beberapa kemalangan yang pernah berlaku di laluan bengkang bengkok tersebut.

Misteri bermula...
Jusuh (bukan nama sebenar) berusia 50an dalam perjalanan pulang ke Jertih selepas menghantar penumpang di bandar Chukai, Kemaman. Ketika itu hampir dinihari. Jusuh memandu teksinya sendirian. Malam2 begitu agak sukar mendapatkan penumpang.

Jusuh memandu berhati-hati kerana hujan renyai-renyai mula turun. Sampai di Kemasik, seorang wanita menahan teksinya dan memberitahu mahu ke Dungun, kira-kira 45km dari situ. Senang hati Jusuh sebab ada teman berbual. Sesekali Jusuh mengerling ke sebelah. Cantik juga, bisik hati kecilnya.

Cuaca malam agak dingin. Jusuh menghulurkan sehelai kain pelikat setelah dia merasakan wanita itu seperti kedinginan. Pantas wanita itu membalut tubuhnya. Sedang rancak berbual wanita itu tiba-tiba meminta Jusuh memberhentikan teksinya dan memberitahu dia mahu turun di situ kerana rumahnya terletak berhampiran sahaja.

Jusuh sekonyong-konyongnya melihat sebuah rumah tersergam indah dan kelihatan terang benderang bercahaya tidak jauh dari situ. Jusuh melihat ke kiri kanan dan menyedari dia berada di Bukit Bauk. Wanita itu menghulurkan sekeping not RM50 kpd Jusuh namun Jusuh menolak, ikhlas kata Jusuh. Sebenarnya Jusuh sudah cukup mewah hari tu sebab penumpang sebelumnya dari Jertih ke Chukai telah membayar sejumlah wang yang banyak kepadanya. Dalam kebasahan Jusuh memberikan kain pelikat tadi kpd wanita itu sebagai penutup kepala.

Maka wanita itu pun berjalan menuju ke rumahnya sambil diperhatikan Jusuh sehinggalah wanita itu hilang dari pandangannya namun mata Jusuh tak berkelip memandang ke arah rumah yang tersergam indah itu.

Jusuh meneruskan permanduannya hingga ke Jertih sambil memikirkan tentang wanita cantik jelita itu. Setibanya di rumah, Jusuh pantas merebahkan badannya dek terlalu penat memandu seharian.

Dua tiga hari lepas tu, rezeki Jusuh murah sungguh. Ada sahaja penumpang yang mahu menyewa teksinya. Tak putus-putus! Ada yg dekat ada yang jauh. Senang hati Jusuh sebab pendapatannya meningkat.

Sebulan kemudian sekali lagi Jusuh ke Chukai menghantar tiga penumpang ke sana. Dalam perjalanan pulang setibanya di Bukit Bauk, Jusuh berhenti sekejap kerana terasa mahu membuang air kecil. Dia teringat tentang wanita jelita yang menumpang teksinya di tengah malam buta yang turun di situ kira-kira sebulan yang lalu.Matanya melilau mencari rumah wanita tersebut tetapi di depannya hanyalah hutan dan bukit sahaja. Pelik juga getus hati kecil Jusuh.

Selesai melepaskan hajatnya, Jusuh tergamam apabila terlihat sehelai kain pelikat tergantung pada dahan sebatang pokok tidak jauh dari situ. Melambai-lambai ditiup angin petang seolah-olah melambai-lambai kepadanya. Jusuh kenal benar itu kain pelikat yang diberikannya kepada wanita jelita dulu. Berderau darah Jusuh bila teringat kejadian malam itu. Merinding bulu romanya. Kembang rasa tengkuknya! Cepat-cepat Jusuh masuk ke dalam kereta dan beredar meninggalkan Bukit Bauk.

Sepanjang perjalanan, Jusuh tertanya-tanya sendirian apa sebenarnya yang terjadi dan siapakah wanita itu. Misteri wanita dan rumah banglo tersergam indah itu sehingga kini belum terungkai. Dan rezeki Jusuh terus murah!

Wallahualam...




You'll Never Walk Alone