Tuesday, March 15, 2011

POCO POCO....Ayuh dong .....


Sesekali kita berdansa, hiburkan hati sambil sihatkan badan....

RAHSIA GAYA WANITA BERJALAN

Kaum lelaki sememangnya gemar sekali memerhatikan wanita berjalan. Tidak kira samada wanita itu cantik atau sebaliknya, lenggang lenggok mereka seringkali jadi perhatian! Apatah lagi jika si wanita itu pakaiannya agak seksi dan meruntun hati maka kaum lelaki pastilah tidak melepaskan peluang.

Mengenai cara berjalan, ianya ada kaitan juga dengan 'mood' kita pada ketika itu. Kalau berjalan di tempat sunyi, mungkin langkah kita lebih cepat. Kalau berjalan bersama 'awek' mungkin dada kita nampak besar sedikit dan perut kita nampak kempis sedikit. Si 'awek' pula, mungkin goyangnya lebih sedikit. Bila kembali berjalan seorang, di masa itulah mungkin kita akan dapat lihat cara berjalan mereka yang sebenar, itu pun kalau mereka ini tidak perasan bahawa mereka sedang diperhatikan!


Nah, cuba lihat analisa ini tentang rahsia gaya wanita berjalan. Mungkin ada tergolong dalam analisa ini..





1. Jika berjalan, dari belakang kelihatan seperti tidak memijak tanah. Golongan wanita yang jalannya berginjat, konon wanita ini adalah wanita yang tidak jujur, kalau berbual, mulutnya laser dan menyinggung perasaan orang lain. Wanita yang berjalan seperti ini juga terkenal dengan sikap egonya. Lebih parah, wanita ini biasanya pemboros atau suka membazir wang tanpa berfikir sebelum berbelanja. Padahal, wang yang dimilikinya itu masih banyak kegunaannya. Tapi jangan berkecil hati, kerana wanita seperti ini biasanya menjadi pujaan ramai lelaki. 

2. Jika berjalan, sering menoleh ke kanan and kiri. Wanita seperti ini biasanya pandai menyimpan rahsia. Walaupun ramai yang menganggap wanita seperti ini tidak jujur, suka menipu teman sendiri,dan merugikan teman bualnya, namun, ramai lelaki yang berusaha untuk menakluk hatinya. Konon wanita seperti ini senang diatur dan diuruskan. 

3. Jika berjalan suka menunduk. Cara berjalan melambangkan wanita seperti ini memiliki sifat yang tertutup. Ia hanya akan berbual dengan orang-orang yang rapat dengannya dan boleh dipercayai untuk menyimpan rahsianya. Wanita seperti ini biasanya sukar untuk ditakluk hatinya. Di samping sikapnya yang dingin, wanita seperti ini tidak peduli dengan kehidupan cinta. 

Namun, jika ada lelaki yang berjaya menawan hati wanita dengan cara berjalan menunduk ini, dijamin akan mendapat kebahagiaan. Sebab, wanita jenis ini sangat setia, dan dia tidak akan mengkhianati lelaki yang dicintainya. 

4. Jika berjalan menatap lurus ke depan. Wanita seperti ini biasanya memiliki pendirian yang teguh, bukan senang hendak menggoncangkan imannya. Jangan sekali-sekali menentang apa yang pernah dikatanya, jika anda tidak mahu mendengar dia berleter panjang lebar. Meski pendiriannya teguh, tapi dia selalu berselisih pendapat. Jangan hairan jika wanita seperti ini hanya mahu berbual dengan orang yang berpengalaman luas. 

5. Jika berjalan badan bergerak ke kanan dan kiri. Wanita yang berjalan dengan gaya yang sedemikian tidak ambil kisah dengan masalah yang berlaku. Apa pun masalah yang ada dihadapannya, dia dianggap kecil. Padahal masalah itu sebenarnya memerlukan kebijaksanaan untuk diselesaikan. Kerana sifatnya yang suka ambil mudah ini, banyak persoalan yang akhirnya tidak dapat diselesaikan dan akibatnya merugikan dirinya sendiri. 

6. Jika berjalan badan tampak tegak. Wanita ini tegas menentukan sikapnya sendiri. Dia tidak mahu urusan peribadinya dicampur oleh orang lain. Gaya bicaranya serius seperti ingin menunjukkan dia memiliki pendirian teguh. Yang menarik dari wanita ini, dia bertanggungjawap terhadap apa yang pernah dilakukannya. Dia menyenangi lelaki yang berdikari tanpa meninggalkan sifat-sifat romantiknya. 

7. Jika berjalan seperti zirafah. Maksudnya, ketika melangkahkan kaki ,badannya ia kelihatan bergerak ke depan dan ke belakang. Wanita jenis ini sangat lemah perasaannya. Dia seorang yang mudah terasa dan mudah tersinggung. Jadi, jika anda berbual dengan wanita seperti ini kenalah menjaga perasaannya agar tidak tersinggung, kerana wanita ini mudah mengalirkan air mata. 


Habis dah......

Friday, March 4, 2011

Mencari Rindu di Tunjuk Laut



Pertama kali mendengar nama Tunjuk Laut, aku terpaut hati untuk mengetahui apa yang tersirat di sebalik nama Tunjuk Laut yang begitu unik itu. Kata orang, apa ada pada nama...tapi bagiku sesuatu nama itu membawa pengertian dan maksud yang tersendiri. Nama juga adalah pengenalan dan identiti tak kiralah untuk manusia, haiwan, tempat dan apa saja yang mempunyai nama. Kalau namanya pelik maka peliklah maksudnya, kalau namanya unik, maka sudah tentulah unik juga maknanya.

Kenapa Tunjuk Laut? Tunjuk Laut di Tanjung Leman. Apa kaitannya Tunjuk Laut dengan Tanjung Leman? Pelik tapi menarik! Siapa pula Leman ni? Apa kaitannya dengan Tunjuk Laut?

Benarlah kata orang, tak kenal maka tak cinta, dah kenal baru rasa nak bercinta...alkisahnya Tunjuk Laut itu membawa maksud menunjuk ke arah laut - kerana lokasinya yang terletak paling hujung di Tanjung Leman, mungkin  Leman lah orangnya yang suka menunjuk-nunjuk ke arah laut maka dikhabarlah sekalian orang kampung bahawa itulah tempatnya yang bernama Tunjuk Laut.

Maka sesiapa jua yang berada di tanjung itu, akan tangannya pasti menunjuk-nunjuk ke arah laut yang terbentang luas saujana mata memandang. Apa yang ditunjuk tiada siapa jua yang tahu, hanya si penunjuk yang tahu apa yang ditunjuknya. Disebabkan terlalu ramai yang mennjuk-nunjuk maka kata sepakat dicapai - namakan saja Tunjuk Laut kata si Leman sewaktu dia dan orang-orang kampung berada di hujung tanjung itu......

Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun, orang kampung makin serasi dan terlalu suka akan nama Tunjuk Laut itu. malah dikhabarkan juga jika ada orang berdagang yang datang berkunjung ke situ maka Tunjuk Laut lah tempat mereka dan bermalam. Begitulah kisahnya......



Kami berkesempatan bersantai di Tunjuk Laut Resort yang terletak bersebelahan dengan Felda Residence. Panorama yang mengasyikkan membuatkan aku terlupa sejenak akan kebingitan kota. Sungguh mendamaikan sekali. Deruan ombak yang berlagu memukul pantai diselangi jeritan sang camar yang bebas menakluki angkasa menambat rasa hati ini.

Sesekali berada jauh dari kesibukan memang sesuatu yang dicari oleh orang macam aku yang sering dihimpit urusan kerja yang tak berkesudahan. Apatah lagi berada di hujung tanjung yang indah dan mempesonakan terasa seperti tidak mahu pulang lagi ke Kuala Lumpur!

Tunjuk Laut Resort tidak kurang hebatnya berbanding Felda Residence yang menawarkan pelbagai kemudahan selesa kepada para pengunjung. Resort yang berkonsepkan secara terbuka dan lokasinya yang terletak hampir dengan pantai pasti menggamit mereka yang mencari kelainan ketika bercuti. Sesuai sekali bagi mereka yang ingin bercuti secara berpasangan, berkumpulan atau berkeluarga.

Pantainya memang menarik, cuma yang kurang menariknya, aku lihat pantainya kian terhakis sehingga sedikit sebanyak mencacatkan permandangan. Dengar khabar, pihak berkaitan akan menjalankan kerja-kerja menambak dan membuat benteng pemecah ombak bagi menghalang berlakunya hakisan.

Bersambung.....


Thursday, March 3, 2011

CERPEN SERAM - KORBAN MALAM PENGANTIN

KORBAN MALAM PENGANTIN

by Malim Rindu on Friday, February 11, 2011 at 12:44am

(Disiarkan dalam Majalah Apo? terbitan MOY Publishing Sdn Bhd 1999)

Shakila tiba-tiba jatuh terjelepok di atas pelamin. Tetamu yang sedang asyik menyaksikan pengantin bersanding menjadi kecoh. Ada yang menjerit. Masing-masing tergaman. Pak Ngah yang sedang menepung tawar Shakila juga tergaman. Azrul suami Shakila teperanjat bukan kepalang. Shakila diusung ke bilik pengantin. Pak Ngah semakin tidak keruan. 

Para tetamu yang sedang menjamu selera bawah khemah di laman juga turut terkejut. Manakala Mak Ngah, ibu kepada pengantin perempuan yang sibuk di dapur terkocoh-kocoh ke ruang tamu. Bala apa pula yang menimpa majlis perkahwinan anak sulung mereka itu?

Badan Shakila bermandikan peluh. Terdengar jeritan dari dalam bilik. Itu jeritan Mak Ngah. Tiba-tiba Shakila muntah darah. Membuak-buak. Merah pekat. Darah hidup! Meleleh keluar dari mulut Shakila. Kemudian keluar pula dari kedua-dua belah telinga Shakila. Mak Ngah makin panic. Pak Ngah pula cemas bukan main.

“Ya ALLAH! Apa dah jadi pada anak kita ni bang?” Mak Ngah cemas bukan kepalang. Tak terduga majlis perkahwinan Shakila bertukar jadi bala.

“Sabar,sabar! bawa bertenang! agaknya dia tak sihat!” Pujuk Pak Ngah menenangkan isterinya, sedangkan dia sendiri mengelabah. Mak Ngah mula melolong-lolong. Saudara-mara yang ada membantu menenangkannya.

“Tapia bang, Ila ni muntah darah. Pasti ada sesuatu yang tak kena ni? Cepat panggilkan Pak Harun! Takkan kita nak biarkan Ila macam ni sahaja?!” Mak Ngah sudah seperti orang sasau melihat keadaan Shakila. Dia mengesat peluh di muka anaknya itu. Mata Shakila terpejam rapat. Nafasnya turun naik. Sekujur badannya dibasahi peluh. Darah meleleh-leleh membasahi baju pengantin yang dipakainya. Bau hanyir menusuk-nusuk rongga hidung. Shakila masih tidak sedarkan diri. Badannya masih panas. Darah masih keluar dari mulut dan telinga dan mula membasahi cadar pengantin pula.

Azrul termenung di beranda. Kemudian mundar mandir keresahan. Malam pertama yang diimpikan sekian lama sudah tidak difikirkan lagi. Semua sudah tidak penting. Yang penting sekarang ialah nyawa isterinya. Dia akur, semua dugaan ALLAH kepada hambaNya. Dia harus bersabar dan bersedia menerima sebarang kemungkinan. Dia sejak tadi berfikir apakah punca isterinya jadi begitu. Adakah itu suatu penganiayaan? Jika benar ada orang yang menganiaya isterinya. Siapakah yang tergamak melakukannya? Siapakah yang mahu memalukan keluarga sebelah mentuanya? Siapa? Adakah dia atau Shakila dimusuhi? Dia resah, geram dan marah.

Lamunan Azrul terhenti apabila mendengar namanya dipanggil. Dia bergegas ke bilik pengantin melabuhkan punggung di sisi Shakila yang baru dinikahinya semalam. Azrul memandang wajah Shakila yang kelihatan pucat itu dengan penuh kasih sayang. Wajah Shakila ditatapnya sepenuh hati. Diusap-usap rambut Shakila. Digenggam erat-erat tangan Shakila. Inai di jari masih merah. Hiba hati Azrul melihat keadaan isterinya. Pak Harun yang dipanggil sedaya upaya untuk memulihkan keadaan. Sehabis daya Pak Harun berikhtiar. Namun darah masih tidak berhenti keluar dari mulut Shakila. Membuak-buak. Tak habis-habis Mak Ngah panic. Pak Ngah berusaha untuk kelihatan tenang.

Pak Harun menggeleng-gelengkan kepala. Wajahnya berkerut. Muka dan badannya juga berpeluh. Sekejap badannya menggigil seperti kesejukkan. Sekejap tegak seperti menarik sesuatu. Lebih kurang lima belas minit barulah Pak Harun menghela nafas. Shakila yang tadinya terbaring tiba-tiba bingkas bangun. Pantas dia melompat dari katil. Beberapa orang yang ada di situ pantas memegangnya. Azrul kemas memegang isterinya sementara yang lain cuba membaringkannya semula ke katil tetapi Shakila menggelepar. Meronta-ronta. Lima orang yang memegangnya terpelanting.

Shakila sudah dikuasai sesuatu. Kekuatannya amat luar biasa. Ada kuasa aneh yang menyerap masuk ke dalam tubuhnya. Kemudian kedengaran Shakila merungut-rungut dalam buah butir yang tidak difahami. Dia terus mahu melepaskan diri. Pak Harun menghampiri Shakila. Dia menekan ibu jarinya ke pangkal leher Shakila. Shakila menjerit sekuat hati. Jeritannya itu kedengaran hingga ke laman. Sebentar kemudian dia pengsan semula dan keadaan kembali tenteram.

Menurut Pak Harun, Shakila terkena santau dari miang buluh bercampur dengan habuk kaca. Kata Pak Harun lagi, ada orang yang sakit hati dengan mereka anak beranak. Pak Ngah dan Mak Ngah berpandangan sesama sendiri. Tak sangka. Benar-benar tidak sangka. Siapa pula yang sanggup menganiaya keluarga mereka. Setahu Pak Ngah, dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa. Setahunya, Shakila juga tidak bermusuh dengan sesiapa. Nak kata dia pernah menolak pinangan orang. Seingat mereka, tiada. Malah, tiada siapa yang datang meminang anaknya itu selain daripada keluarga Azrul. Bingung dia.

Habis, siapa punya angkara? Malam itu keadaan tenang. Shakila tidur nyenyak. Mak Ngah masih belum berenggang dengan anaknya. Masing-masing berjaga, takut-takut kalau keadaan Shakila semakin parah. Santau yang menyerap ke dalam tubuh Shakila bukan sebarangan. 

Namun, sebelum fajar menyingsing, keluarga Pak Ngah sekali lagi dikejutkan. Mak Ngah melolong-lolong. Mukanya disembam ke tubuh Shakila. Air matanya bercucuran. Pak Ngah terduduk. Azrul terdiam tak terkata.

Penangan santau yang menyerap ke tubuh Shakila terlalu ampuh. Shakila menghembuskan nafasnya yang terakhir. Azrul menangisi pemergian isteri yang baru dinikahinya. Pak Ngah terkedu menahan sebak di dada. Mak Ngah pengsan. Saudara-mara dan jiran tertangga sama-sama bersedih, sama-sama tumpang simpati dengan apa yang berlaku. 

Azrul kelihatan tenang, namun hatinya amat terhiris. Takdir menentukan segala-galanya. Dia dan Shakila bercerai mati hanya dalam tempoh dua hari selepas bernikah. Kasih sayang yang di pupuk dan dibaja sejak sekian lama akhirnya putus kerana angkara manusia yang tidak berhati perut. Namun, kasihnya tidak terlerai. Biarpun Shakila telah pergi untuk selama-lamanya dia tetap tabah menghadapi dugaan itu. Dia redha.

“Sabarlah Azrul, biarlah dia pergi dengan tenang. Ayah dan mak kehilangan anak dan kau pula kehilangan isteri, kita sama-sama kehilangan…sabarlah! Ingat banyak-banyak pada ALLAH….” Ujar Pak Ngah sambil memeluk menantunya. Keduanya tenggelam dalam kesedihan. Suasana diselubungi hiba. Azrul memandang jarinya, inai masih merah.

The End.


Catatan Perjalanan ke Tanjung Leman






Sebelum ini. aku tidak mengenali Tanjung Leman yang terletak di daerah Mersing, Johor. Pernah mendengar namanya namun tidak pernah menjejakkan kaki ke sana. Alhamdulillah, akhirnya aku tiba jua ke destinasi yang menghadap Laut China Selatan  itu pada 25hb Feb 2011.

Tiada catatan menarik sebenarnya sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tanjung Leman. Permandangan kiri dan kanan biasa sahaja, maklumlah kami menyusuri Lebuhraya Utara Selatan yang berlatarbelakangkan ladang kelapa sawit dan getah, senario biasa yang kulihat setiap kali pulang ke kampung halaman ku di Terengganu ketika melalui Lebuhraya Pantai Timur.

Tapi yang menariknya dan rasanya inilah kali pertama aku lalui - kami (aku dan rakan-rakan media termasuk rakan-rakan dari Discover Global & Tour Sdn Bhd) terpaksa menukar bas sebanyak 3 kali sebelum selamat tiba di Felda Residence Resort Tanjung Leman. Memang memenatkan perjalanan 7 jam itu. 

Begitupun, pengalaman menukar bas sebamyak 3 kali itu rasanya berbaloi kerana dapat menikmati keenakan Nasi Ayam Penyek yang ditaja oleh bos LC Catering Sdn Bhd, Haji Zaini Atan di Johor Bharu. Itulah pertama kali aku merasai kelembutan dan aroma Nasi Ayam Penyek. Memang sedap dan menyelerakan!
Kalau tak percaya, anda boleh berkunjung ke Restoran LC Catering yang terletak di Jalan Tebrau, Taman Melodies Johor Bharu. Thanks Haji Zaini.

Jam 3.30 petang, kami selamat tiba di Felda Residence Resort yang menjadi tempat penginapan kami selama 3 hari 2 malam itu. Baru 2 bulan dibuka. Tempatnya agak mengujakan meskipun lokasinya agak jauh. 


FELDA RESIDENCE RESORT TANJUNG LEMAN


View yang menarik...

bersambung..

Sunday, February 6, 2011

Edisi pertama RAJA SEHARI berada di pasaran

Alhamdulillah.....akhirnya yang ditunggu dah tiba!!!!Setelah empat bulan menanti, buah tangan sulung Karya Lagenda Enterprise menemui pembaca di minggu pertama bulan Februari 2011. Sememangnya penantian itu suatu penyiksaan kata orang, namun ianya berbaloi kerana Raja Sehari mendapat feed back yang cukup positif dari para pembaca.

Sebenarnya masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian berhubung dengan kemunculan Raja Sehari. Bagaimanapun yang pasti kehadiran Raja Sehari merancakkan lagi senarai majalah-majalah yang berkaitan dengan dunia perkahwinan. Tak kisah lah walaupun dah banyak majalah-majalah semacam itu berada di pasaran, ianya tetap sesuatu yang menarik, lagipun bukankah dalam dunia perkahwinan sentiasa sahaja ada benda baru!

Setiap majalah pastinya ada kelainan tersendiri, begitulah juga dengan Raja Sehari. Tak boleh disamakan Raja Sehari dengan majalah lain kerana ianya pasti berbeza. Kalau anda tak percaya, anda boleh mendapatkan senaskhah Raja Sehari, Harganya pun tak mahal, cuma RM7.90.

Nak tahu apa yang lainnya tentang Raja Sendiri? Kenapa tidak dapatkan senaskhah untuk anda hari ini di kedai-kedai buku berhampiran anda?

BACA DULU BARU TAHU!!!!!!!